TANJUNG MALIM – Pertembungan tiga penjuru antara Barisan Nasional (BN) dan dua calon Bebas termasuk seorang wakil dari parti bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bakal menghangatkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada 29 Ogos ini.
Perkara itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus PRK Slim, Shamsul Ridzuan Idris di pusat penamaan calon di Majlis Daerah Tanjung Malim hari ini.
Calon BN, Mohd Zaidi Aziz akan dicabar dua calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi serta Santharasekaran Subramaniam.
“SPR menerima 3 borang pencalonan. Saya telah semak kertas penamaan tersebut, saya berpuas hati dan tiada kertas pencalonan ditolak,” katanya yang dipetik Free Malaysia Today.
Mohd Zaidi, 43, ialah pemangku Ketua Umno Bahagian Tanjung Malim, manakala Amir Khusyairi ialah peguam yang mewakili kem Mahathir. Beliau mengemukakan borang pencalonan pada pukul 9.03 pagi.
Atas semangat Muafakat Nasional, Ketua Pas Tanjung Malim, Mohd Tarmizi Ab Rahman menjadi pencadang Zaidi manakala Setiausaha MIC Bahagian Tanjung Malim, G Mahendran, 74 sebagai penyokong.
Dalam pada itu, Amir Khusyairi, 38, menjadi individu ketiga mengemukakan borang pencalonan pada 9.04 pagi.
Amir Khusyairi yang juga peguam syarie dan peguam bela akan menggunakan simbol pokok.
Pertandingan kali ini turut menyaksikan seorang lagi calon Bebas, S Santharasekaran, 44, mengemukakan borang pencalonan pada 9.02 pagi.
Santharasekaran yang juga Presiden Pertubuhan Konservasi Alam Malaysia (PERKAM) menggunakan simbol buku dalam pilihan raya ini.
Sementara itu, Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu yang juga ketua PPBM Perak, parti sekutu dalam Perikatan Nasional akan mengerakkan jentera parti masing-masing untuk berkempen bagi calon BN.
“Kami percaya dengan kerjasama erat parti-parti yang ada ini, rakyat akan beri sokongan pada Zaidi.
“Saya yakin rakyat akan pilih untuk tidak berpolitik dan fokus isu tangani wabak Covid-19,” katanya.
Beliau juga berharap semua calon dan pihak yang terbabit dalam kempen PRK Slim tidak mengamalkan politik cacat cela.
PRK Slim diadakan berikutan kematian penyandang, Khusairi Abdul Talib, 59, akibat serangan jantung pada 15 Julai lalu.
Khusairi mempertahankan kerusi itu pada 2018 selepas mengalahkan calon PPBM, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal dengan majoriti 2,183 undi.