25.5 C
Kuala Lumpur
Sunday, July 14, 2024

Relakah PH benarkan BN bertanding di kesemua lapan PRK?

Mesti Baca

LAPAN pilihan raya kecil (PRK) ‘berpotensi’ diadakan setelah Bersatu telah menyerahkan notis kekosongan kerusi-kerusi membabitkan wakil mereka yang berpaling tadah sebelum ini.

Satu kerusi iaitu di DUN Nenggiri sudah disahkan kosong oleh Speaker DUN Kelantan setelah menghantar notis kekosongan tersebut kepada SPR.

Manakala SPR sendiri sudah menerimanya dan akan bermesyuarat bagi menentukan tarikh PRK, walaupun penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim cuba mencabar keputusan itu di mahkamah.

Manakala tujuh lagi kerusi masing-masing enam membabitkan kerusi Parlimen dan satu kerusi DUN Selangor.

Menariknya, kesemua kerusi tersebut merupakan kawasan yang ditandingi oleh UMNO pada PRU-15 dan PRN yang lalu.

Malahan tiga kerusi tidak ditandingi oleh sekutu dalam kerajaan perpaduan iaitu Pakatan Harapan (PH) masing-masing di Parlimen Tanjong Karang, DUN Selat Klang dan Nenggiri.

Manakala kerusi Parlimen Jeli, Kuala Kangsar, Bukit Gantang dan Labuan pula menyaksikan pertembungan yang membabitkan wakil Barisan Nasional (BN) dan PH.

Ini bermakna, di atas kertas kesemua kerusi tersebut, sekiranya berlaku PRK, adalah hak milik BN/UMNO untuk ditandingi.

Advertisements

Jika PH mahu menuntut kerusi untuk ditandingi, mungkin sahaja di Kuala Kangsar dan Bukit Gantang yang mana jumlah undi yang diterima calon BN dan PH hampir sama banyak.

Di Kuala Kangsar, calon BN mendapat 10,814 undi manakala calon PH 10,356 undi sementara di Bukit Gantang, BN mendapat 19,869 undi dan PH 18,565 undi.

Persoalannya, sama ada BN khususnya UMNO bersedia melepaskan sekurang-kurangnya dua kerusi kepada PH atau sebaliknya.

Di sinilah bakal menguji kesetiakawanan antara PH dan BN, antara Anwar Ibrahim dan Zahid Hamidi.

Sebelum ini, dalam beberapa siri PRK pasca-PRU15 kecuali di Tioman, Pelangai dan Kemaman, BN telah menyerahkan kerusi-kerusi terbabit kepada PH.

Ahli-ahli Parlimen Bersatu yang hilang keahlian parti.

Ini termasuk Padang Serai, Kuala Terengganu, Simpang Jeram, Pulai, Jepak, Kuala Kubu Baharu dan terbaharu di Sungai Bakap.

Tindakan BN tidak bertanding di kerusi-kerusi berkenaan kerana mengambil semangat kesetiakawanan antara BN dan PH. Justeru, tujuh PRK yang mungkin diadakan nanti akan menguji pula jiwa besar PH.

Apakah mereka sedia menyerahkan kesemua kerusi tersebut kepada UMNO/BN untuk ditandingi dan turut sama berkempen bagi memastikan kemenangan sekutu mereka dalam kerajaan Perpaduan atau sebaliknya?

Inilah yang akan menjadi persoalan sekiranya kesemua tujuh kerusi yang kini disandang Bersatu itu dikosongkan dan PRK diadakan. Dan perkara ini bukan sahaja diperhati oleh orang awam, tetapi juga kalangan ahli-ahli parti itu sendiri terutama di pihak UMNO/BN.

Advertisements

Terkini

Ancaman ikan yu: Langkah perlindungan dan pemuliharaan

TANGGAL 14 Julai merupakan Hari Kesedaran Yu yang diraikan bagi meningkatkan kesedaran awam tentang kepentingan pemuliharaan spesies yu di...

Lagi Artikel Berkaitan