24.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Bersatu setuju sertai Muafakat Nasional – Muhyiddin

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersetuju untuk menyertai Muafakat Nasional (MN), kerjasama politik antara UMNO dan Pas.


Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata,  penyertaan parti itu dalam Muafakat Nasional (MN) akan dimuktamadkan dalam waktu terdekat.

Menurutnya, dengan menyertai MN yang mendokong Perikatan Nasional (PN), Bersatu akan berada dalam satu gabungan besar atau ‘the grand coalition’.

“​Saya percaya inilah pilihan terbaik untuk Bersatu. Kita memilih untuk berada dalam satu jemaah besar yang menghimpunkan parti-parti utama di negara kita.

“Dengan terbentuknya penyatuan antara Bersatu, UMNO, Pas dan parti-parti lain dalam kerajaan PN, sebahagian besar sokongan rakyat sudah pun berada di pihak kita.

“InsyaAllah, penyatuan dalam jemaah besar ini akan mewujudkan kestabilan politik negara yang pastinya memberikan limpahan nikmat keamanan, keharmonian dan kemakmuran kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan khas sempena persidangan Angkatan Muda Bersatu (ARMADA), Srikandi dan Bahagian Bersatu yang disiarkan secara langsung melalui Facebook rasminya,  hari ini.

Muhyiddin dalam pada itu mengingatkan ahli parti di akar umbi menyubur dan mengukuhkan hubungan dengan parti rakan dalam MN dan PN dari semasa ke semasa.

Ujarnya, beliau tahu proses itu mungkin mengambil sedikit masa tetapi yakin Bersatu akan dapat mewujudkan hubungan kerjasama yang baik dan kukuh dengan parti-parti rakan.

Kesepakatan yang dicapai dalam pembentukan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu dipelihara dan pertahankan. Gambar ini dirakamkan ketika Perdana Menteri selesai mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin PN baru-baru ini.

​Di peringkat pusat, katanya beliau sering mengadakan perbincangan dengan pucuk pimpinan parti UMNO; Pas; MCA; MIC; Gabungan Parti Sarawak (GPS); Parti Bersatu Sabah (PBS); Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yang membentuk kerajaan PN.

“Beberapa persetujuan utama sudah dicapai dalam pertemuan ini yang saya percaya akan memperkukuhkan lagi kedudukan Bersatu dan parti-parti rakan yang lain dalam PN,” katanya.

Advertisements

Muhyiddin sementara itu menyatakan Bersatu sudah menjadi sebuah parti yang penting dan berpengaruh dalam persada politik tanah air walaupun akan menyambut ulang tahun keempat September nanti.

“Kita kini sebuah parti yang utama dalam kerajaan baik di peringkat Persekutuan dan negeri-negeri dan ini adalah satu pencapaian yang amat membanggakan.

“​Dalam tempoh empat tahun ini, jumlah keahlian parti kita mencecah lebih 420,000 orang di seluruh negara. Kita juga sudah menubuhkan 197 Bahagian dan 2,950 cawangan yang berdaftar.

“Ini adalah satu pencapaian yang memberangsangkan dalam tempoh yang singkat. Untuk bergerak ke hadapan, sudah pastilah parti perlu menambah jumlah keahlian dan cawangan.

“Ini pastinya akan memperkukuhkan lagi parti kita. Jadikan penambahan ahli dan cawangan sebagai Indeks Prestasi Utama (KPI) setiap Bahagian,” katanya

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin yang juga memangku Pengerusi parti berkata, beliau tidak mengkhianati perjuangan Bersatu dan tiada sebab untuknya mengkhianati parti yang ditubuhkannya bersama beberapa pengasas lain, termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Dahulu Mahathir bersama-sama dengan kita. Saya tidak boleh nafikan sejarah sumbangan Mahathir kepada parti kita. Saya hormat beliau sebagai bekas pemimpin parti. Orang-orang yang dekat dengan saya pasti tahu betapa hormatnya saya kepada Mahathir.

“Saya dan kita semua pastinya berasa sedih kerana beliau tidak lagi bersama-sama kita. Tidak mengapalah. Beliau memilih haluannya sendiri. Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau,” katanya.

Bagi Muhyiddin, apa yang lebih penting ialah perjuangan PPBM mesti diteruskan kerana pemimpin parti datang dan pergi, tetapi wadah perjuangan parti perlu dipertahankan.

“Kita mesti jalan terus. Jangan kita berpaling ke belakang. Teruslah mara ke hadapan. Apa yang ada di hadapan kita mesti kita hadapi dengan tabah.”

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan