26 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Pengarah Yusof Kelana meninggal dunia akibat kanser kulit

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Pengarah dan penerbit filem veteran, Yusof Kelana meninggal dunia kira-kira pukul 9.30 pagi hari ini akibat kanser kulit tahap empat.

Menurut sahabat baiknya yang juga Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PVTM), Datuk Jurey Latiff Rosli, 54, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di kediamannya yang terletak di Taman Melawati, Hulu Klang.

Kata Jurey, buat masa kini jenazah masih berada di rumah dan pihak keluarga dalam proses untuk mendapatkan kebenaran lokasi pengkebumian di kawasan berdekatan.

“Ya… arwah meninggal dunia kira-kira pukul 9.30 pagi tadi di rumahnya. Doktor datang ke rumah untuk pengesahan. Sekarang ini nak kena buat laporan polis dahulu dan baru proses nak dapatkan kebenaran lokasi perkebumian pula.

“Isteri Yusof mahu Allahyarham suaminya dikebumikan di kawasan berdekatan dengan rumah dia. Mungkin selepas solat zohor akan selesai semuanya,” kata Jurey yang dipetik mStar Online.

Keadaan Allahyarham dilapor semakin kritikal awal bulan ini.

Pada 6 Ogos lalu, Allahyarham Yusof ketika itu berada dalam keadaan kritikal akibat menghidap kanser kulit tahap empat dan dirawat di Institut Kanser Negara, Putrajaya.

Sementara itu, isteri kepada Allahyarham Yusof iaitu Nur Maynah berkata, suaminya dalam keadaan baik sebelum menghembuskan nafas terakhir ketika dia dan anak-anak sedang membacakan surah Yasin.

“Arwah berada dalam keadaan sedar, cuma dia diam dan tak bergerak sebelum meninggal dunia. Saya panggil anak-anak untuk membaca Yasin. Saya juga sempat bisik ke telinganya dengan menyebut kalimah Lailahaillallah.

Advertisements

“Kelmarin dia okey saja. Arwah tidak menunjukkan perubahan yang ketara, mungkin sudah tiba ajalnya. Arwah dijangka dikebumikan selepas solat Asar hari ini, namun belum dipastikan lokasi pengebumian.

“Tetapi kalau boleh saya ingin arwah dikebumikan di tanah perkuburan yang berhampiran dengan rumah,” katanya.

Yusof atau nama sebenarnya Omar Saleh, 66, mendapat tanda awal kansert tersebut selepas mengalami luka sebesar syiling 50 sen pada tapak kaki sejak dua tahun lalu.

Namun, sikap yang tidak suka ke hospital membuatkan Yusof membiarkan luka tersebut merebak tanpa mendapatkan rawatan sewajarnya dan dia disahkan mengidap kanser tersebut pada Jun lalu.

Yusof memulakan kerjaya sebagai pengarah filem pada tahun 1996 menerusi Tragedi Oktober yang menerima kutipan pecah panggung RM3.2 juta.

Dia kemudian meneruskan kerjasama bersama Skop Production menerusi filem MX3 (2003) dan Pontianak Menjerit (2005).

Yusof menerbitkan filem Bidong: The Boat People (2018) dan Mahathir: The Journey (2019) menerusi syarikat miliknya YKS Film Maker dan Reliance Media Group.

Selain filem, Yusof juga antara pengarah drama kepolisian popular Gerak Khas yang ditayangkan di RTM.

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan