PILIHAN Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim yang membuka gelanggangnya pada hari ini bakal menjadi ujian pertama kepada kerjasama Bersatu dengan UMNO dan Pas yang bergabung dalam Muafakat Nasional (MN).
Walaupun Bersatu belum mengutuskan surat secara rasmi bagi menyertai MN namun ia tidak bermakna parti itu tidak mempunyai tanggungjawab bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) di PRK tersebut.
Justeru itulah Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tanpa berselindung dan secara tegas mahukan jumlah undi yang bakal dimenangi parti itu di Slim bukan hanya melebihi jumlah undi yang diperoleh dalam pilihan raya umum lalu tetapi juga mengambil kira jumlah 4,000 daripada Pas dan 6,000 daripada Bersatu.
Ketika melancarkan Jentera Pemuda BN PRK Slim, hari ini, beliau yang juga Presiden UMNO berkata;
‘’Kalau tak dapat harus tanya semula apakah nilai perkongsian kuasa jika tidak ada sokongan untuk kemenangan. Jika mahu berkongsi biarlah dengan perkongsian sepenuhnya, tidak ada agenda di belakang tabir kerana kita tidak mahu UMNO dan BN dijadikan batu loncatan.
“Jangan main-main dengan BN dan Muafakat Nasional kerana mesej kita hanya satu iaitu buktikan jujur dan ikhlas untuk perkongsian kuasa.’’.
Mungkin ketegasan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu akan menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan penyokong-penyokong Bersatu apatah lagi pada majlis itu kedengaran Armada Bersatu ‘diboo’.
Walaupun perbuatan itu ‘tidak molek’ tetapi ia hakikatnya satu cabaran kepada Armada Bersatu untuk membuktikan kehadiran mereka mampu memberikan impak kepada perjuangan BN mempertahankan kerusi tersebut dalam PRK kali ini.
Lagi pula, reaksi seumpama itu adalah perkara biasa dalam usaha menyatukan penyokong parti yang sebelum ini bertentangan. Apa yang penting bagaimanakah semua pihak melihat situasi tersebut, apakah ia bertujuan memalukan atau sebagai satu cabaran?
Biarpun penulis tidak selesa dengan apa yang berlaku, apatah lagi ia melibatkan parti Melayu tetapi penulis lebih suka melihat ia dari sudut positif dan bukannya terpancing dengan provokasi pihak-pihak tertentu yang mahu menjadikan ia sebagai modal mahu memecah belahkan kerjasama pertama Bersatu bersama Muafakat Nasional.

Dan perlu diingat, Ahmad Zahid bukan sahaja melemparkan cabaran kepada Bersatu tetapi juga kepada komponen lain kerana kata beliau PRK Slim adalah masa sesuai untuk membuktikan bahawa sokongan tetap kepada BN.
“Ini masa sesuai untuk pemuda MCA buktikan bawa sokongan tetap kepada BN dan akan dapat mencapai jumlah pengundi Cina yang ditetapkan iaitu 600 malah boleh menjadi hingga 1,200 undi.
“Untuk MIC, Makkal Sakti, IPF pastikan rampas kembali sokongan yang kita kalah dalam PRU lalu dan buktikan kali ini sokongan kepada BN.”
Oleh itu tidak perlulah mana-mana pihak cuba membuat kesimpulan bahawa Ahmad Zahid angkuh apabila melontarkan cabaran kepada Bersatu kerana apa yang dituntut oleh beliau ialah keikhlasan dan kejujuran daripada parti berkenaan.
Tidak salah untuk beliau berbuat demikian, apatah lagi sebelum ini ada dalam kalangan pemimpin-pemimpin Bersatu yang ‘tidak pandai jaga mulut’ apabila membuat kenyataan yang menggores hati pemimpin dan ahli UMNO.
Sebab itulah Ahmad Zahid menegaskan, ‘’betul kita dalam kerajaan tetapi jangan jadikan kita sebagai melukut di tepi gantang.’’
Justeru terserahlah kepada Bersatu bagaimana mahu membuktikan kehadiran di PRK Slim bukan sekadar hadir apatah lagi ‘perhiasan’, tetapi perlu memastikan parti itu juga akan menjadi penyumbang besar kepada usaha BN mengekalkan penguasaan di DUN tersebut.
Apa yang pasti, Ahmad Zahid ikhlas melontarkan cabaran berkenaan memandangkan BN berdepan dengan calon daripada Parti Perjuangan Pejuang – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang merupakan parti serpihan Bersatu.
Sudah pasti dalam keadaan tidak menentu berikutan kemelut dalaman Bersatu, akan ada pihak yang mungkin akan menggagalkan usaha BN mencapai kemenangan dengan majoriti besar di PRK Slim.
Disebabkan itulah kejujuran dan keikhlasan yang ditekankan oleh Ahmad Zahid amat penting kerana Muafakat Nasional tidak mahu ada sebarang elemen ‘musuh dalam selimut’ dan ‘gunting dalam lipatan’ di Slim.