24.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

PRK Slim: BN menang besar, ‘sapu’ semua 56 saluran

Mesti Baca

TANJUNG MALIM – Barisan Nasional (BN) mengekalkan rentak cemerlang parti apabila memenangi satu lagi pilihan raya kecil (PRK) dengan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, hari ini.

Selepas kemenangan pada PRK Chini, Slim menyaksikan BN mengekalkan kerusi DUN itu dengan majoriti lima kali ganda lebih banyak berbanding Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu.

BN memperoleh majoriti lima kali ganda lebih banyak berbanding pilihan raya lalu.

BN yang mencalonkan Mohd Zaidi Aziz meraih 13,060 undi mengetepikan saingan dua calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dan Santhara Sekaran Subramaniam dengan majoriti 10,945 undi.

Pegawai Pengurus PRK Slim, Shamsul Ridzuan Idris ketika mengumumkan keputusan pemilihan di Majlis Daerah Tanjung Malim berkata, Amir Khusyairi  hanya memperoleh 2,115 undi manakala Santhara Sekaran hanya mendapat 276 undi sekali gus mengakibatkannya hilang deposit.

Menurutnya, sebanyak 27 kertas undi ditolak daripada semua 56 saluran peti undi untuk PRK Slim dengan peratusan keluar mengundi hari ini sebanyak 68.4%.

Dalam pada itu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr  Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu menang di semua 13 pusat mengundi, termasuk undi pos.

Beliau menjelaskan, ia merupakan perbezaan besar berbanding PRU 2018 yang mana BN kalah di enam pusat mengundi.

Advertisements

Katanya, keputusan itu jelas menunjukkan rakyat memilih kepimpinan BN dan gabungan itu akan cuba sebaik mungkin pada Pilihan Raya Negeri Sabah bulan depan serta PRU15.

Mohd Zaidi mengetepikan saingan dua calon Bebas

“Syukur, secara rasmi saudara Mohd Zaidi Aziz, calon BN menang dengan majoriti 10,945. Terima kasih kepada pengundi DUN Slim kerana mengundi Barisan Nasional.

“Terima kasih kepada seluruh jentera Barisan Nasional, rakan-rakan dalam Barisan Nasional, Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional, NGO serta semua yang membantu kemenangan calon Barisan Nasional di PRK Slim,” kata Ahmad Zahid di Facebook beliau.

PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya, Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai lalu akibat serangan jantung.

Khusairi menjadi ADUN Slim sejak Pilihan Raya Umum ke-11 pada 2004.

Pada PRU14, beliau berjaya mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 2,183 undi, menewaskan calon PPBM yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.

PRK DUN Slim ialah PRK ke-2 yang diadakan dalam normal baru susulan penularan Covid-19 selepas PRK DUN Chini bulan lalu.

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan