SLIM RIVER – Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim selepas calonnya, Mohd Zaidi Aziz jauh mendahului calon-calon lain pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim dengan majoriti selesa.
Mengikut pengiraan 50 daripada 56 saluran peti undi setakat ini, Zaidi memperoleh 11,352 undi, manakala dua calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi mendapat 1,861 undi manakala Santhara Sekaran Subramaniam meraih 242 undi.
Ini menunjukkan BN mendahului dengan majoriti 9,491 undi.
Mengambil kira 73 peratus yang keluar mengundi, BN dengan itu mencatat kemenangan PRK Slim.
Malah, berdasarkan kiraan undian yang dikira setakat ini, BN sudah melebihi jumlah undi yang diterimanya semasa pilihan raya umum (PRU) 2018.
PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya, Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai lalu akibat serangan jantung.
Khusairi menjadi Adun Slim sejak Pilihan Raya Umum ke-11 pada 2004.
Pada PRU14, beliau berjaya mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 2,183 undi, menewaskan calon PPBM yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.
PRK DUN Slim ialah PRK ke-2 yang diadakan dalam normal baru susulan penularan Covid-19 selepas PRK DUN Chini bulan lalu.