Pada 26 Ogos dan 27 Ogos lalu, Dr.Mahathir Mohamad melalui blog beliau menulis dua artikel bertajuk ‘Kekeliruan’ dan ‘Selamat Tinggal’. Kedua-dua artikel itu secara jelas bertujuan melakukan ‘serangan’ ke atas UMNO dan Bersatu.
Dalam artikel bertajuk, ‘Kekeliruan’ bekas Perdana Menteri menutup artikel tersebut dengan ayat, ‘’ Bersatu mungkin dibubar dan sertai UMNO. Tamat riwayat parti yang dicuri. Pening kepala Muhyiddin. Tidak ada haluan untuk dituju. Cari sakit. Dapat Sakit.’’
Manakala dalam artikel bertajuk ‘Selamat Tinggal’, Dr.Mahathir mengakhiri artikel itu dengan ayat, ‘Apa engkau tanam, itulah yang engkau tuai. Selamat Tinggal Bersatu.’’
Tetapi tiga hari selepas itu, tepatnya semalam, Dr.Mahathir terpaksa menelan kata-katanya sendiri, apabila parti Pejuang yang ditubuhnya dan bertanding atas tiket Bebas, kalah teruk dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.
Calon Pejuang, Amri Khusyairi Mohamad Tanusi tewas kepada Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz. Turut kecundang seorang lagi Calon Bebas S. Santharasekaran.
Perolehan undi sebanyak 13,060 undi membolehkan Mohd Zaidi ‘membenamkan’ calon parti Dr.Mahathir dengan majoriti 10,945 undi.
Amir Khusyairi hanya mampu meraih undi ibarat ‘bernafas dalam lumpur’ iaitu 2,116 undi manakala Santharasekaran hilang deposit apabila hanya mendapat 276 undi.
Walaupun pertarungan melibatkan tiga calon tetapi tumpuan diberikan kepada pertarungan antara BN yang dibantu oleh Pas melalui Muafakat Nasional menentang Pejuang.
Ketika Pakatan Harapan (PH) tidak berani masuk ke gelanggang atas alasan Covid-19, Dr.Mahathir cuba tunjuk berani apabila meletakkan calon partinya bertanding.
Ternyata, Dr.Mahathir seperti mana ayat beliau, ‘Cari sakit.Dapat sakit’ dan ‘Apa engkau tanam, itulah yang engkau tuai’, beliau terpaksa menerima kekalahan paling teruk dan paling memeritkan, kalah dalam pertarungan ketika parti belumpun diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan.
Dr.Mahathir boleh memberi seribu satu alasan bagi ‘memujuk hati’ akibat kekalahan memalukan itu memandangkan beliau adalah bekas Perdana Menteri dan dilihat seorang tokoh politik hebat, tetapi Dr.Mahathir terlupa beliau sudah tiada apa-apa bisanya lagi.
Walaupun beberapa pemimpin PH cuba membantu dengan turut berkempen termasuk bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman namun ia tidak memberi apa-apa kesan, masyarakat Slim memberi isyarat mereka menolak Dr.Mahathir dan Pejuang secara total.
Bekas Perdana Menteri itu tidak perlu menyalahkan orang lain tetapi beliau perlu belajar untuk menginsafi diri bahawa pengaruhnya dalam politik sudah terhakis. Tindakan menubuhkan Pejuang hanya menampakkan ‘Kekeliruan’ hala tuju politik beliau.
Ia memandangkan rakyat khususnya orang Melayu melihat Pejuang ditubuhkan semata-mata untuk mencapai agenda politik Dr.Mahathir yang dicengkam kebencian mendalam terhadap Bersatu, UMNO dan Najib Tun Razak.
Serangan ke atas Najib yang dilakukan oleh beliau dan anaknya, Mukhriz ketika berkempen di Slim ternyata hanya memakan diri. Masyarakat termasuk pengundi Cina dan India sudah muak dengan politik ‘ratib Najib, Najib Najib’ yang tidak sudah-sudah dilakukan oleh Dr. Mahathir.
Lanjutan itu di PRK DUN Slim mereka menghantar mesej jelas kepada Dr.Mahathir apabila kembali menyokong BN berbanding apa yang mereka lakukan pada PRU-14.
Ia dapat dilihat melalui keputusan Pusat Daerah Mengundi (PDM) di kawasan India dan Cina iaitu Ladang Sungkai dan PDM Sungai Slim Utara.
Pada masa sama, kekalahan itu juga disebabkan pengundi-pengundi melihat Dr.Mahathir dan Pejuang berada dalam ‘Kekeliruan’ apabila menyatakan tidak akan bekerjasama dengan Perikatan Nasional atau PH tetapi pemimpin-pemimpin PH turun berkempen untuk Pejuang.
Ulasan Mukhriz yang menyatakan adalah menjadi satu kebiasaan bagi pengundi bukan Melayu memilih calon parti kerajaan pada PRK – adalah alasan cukup dangkal.
Tidak perlu ulas panjang, Mukhriz sepatutnya melihat semula keputusan PRK sebelum ini khususnya ketika beliau menjadi Menteri Besar Kedah pada tahun 2013.
Sebagai contoh ketika PRK DUN Sungai Limau, pengundi bukan Melayu tetap menolak BN walaupun ketika itu BN memerintah pusat dan kerajaan negeri sekaligus memungkinkan Pas mengekalkan kerusi berkenaan dalam PRK tersebut.
Faktanya ialah seperti mana kata Ketua Pembangkang Perak, Aziz Bari bahawa pengundi tidak lagi menyokong Dr.Mahathir dan yakin tarikan peribadi terhadap bekas Perdana Menteri semakin berkurangan.
Lebih menarik Aziz yang juga ADUN Tebing Tinggi seperti mana dilaporkan oleh Malaysiakini berkata, mungkin kini masa bagi Dr.Mahathir ‘menutup mulutnya’.
Kesimpulannya, ayat-ayat yang Dr.Mahathir gunakan dalam dua artikelnya ‘Kekeliruan’ dan ‘Selamat Tinggal’ kini terkena kepada beliau sendiri.
Selepas tersingkir daripada Bersatu dan meletakkan jawatan Perdana Menteri sehingga tumbang Kerajaan PH, Dr.Mahathir ternyata berada dalam ‘Kekeliruan’ sehingga beliau terpaksa menghadam ‘Apa yang engkau tanam. Itulah yang engkau tuai’.
Mungkin selepas ini berikutan kekalahan teruk Pejuang di PRK DUN Slim, PH akan mengucapkan ‘Selamat Tinggal, Dr.Mahathir’! – Ia tidak mustahil akan berlaku kerana mereka pun tidak mahu berada dalam situasi ‘Cari Sakit, Dapat Sakit’. Siapa tahu?