25.5 C
Kuala Lumpur
Monday, February 17, 2025

Banyak lagi Syed Saddiq perlu belajar daripada Dr. Mahathir

Mesti Baca

SEMUA orang tahu betapa sayangnya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kepada Dr. Mahathir Mohamad.

Satu ketika beliau pernah berkata, langkah mayat beliau dahulu kalau ada sesiapa mahu menjatuhkan bekas Perdana Menteri itu.

Bagaimanapun akhirnya Dr. Mahathir jatuh dengan sendirinya apabila beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri sekaligus menumbangkan Kerajaan Pakatan Harapan.

Berikutan itu berakhirnya kedudukan Syed Saddiq sebagai menteri termuda dalam Kabinet Dr. Mahathir.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bangun meminta laluan untuk mencelah ketika
Dr. Mahathir Mohamad berbahas pada Sidang Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Demi sayangnya Syed Saddiq kepada Dr. Mahathir, beliau mengikut sahaja rentak politik pemimpin berusia 95 tahun itu sehingga beliau sanggup digugurkan sebagai Ketua Pemuda Armada Bersatu apabila mengikut Dr. Mahathir duduk di blok bebas di Dewan Rakyat.

Tetapi dari semasa ke semasa, Syed Saddiq dilihat jarang bersama Dr. Mahathir, tidak seperti dahulu, malah apabila Dr. Mahathir mengumumkan penubuhan parti baru Pejuang, Syed Saddiq turut tidak bersama.

Dan segalanya terjawab apabila Syed Saddiq mengikut jejak idolanya apabila menyatakan akan menubuhkan parti politik baharu berbilang kaum dan memfokuskan belia.

Kata Syed Saddiq, “Jika di Thailand mereka boleh menubuhkan Future Forward, di Perancis mereka boleh menubuhkan En Marche di bawah Macron, saya rasa sudah sampai masanya di Malaysia untuk menubuhkan gerakan terdiri daripada orang muda.”

“Pada akhirnya anak muda tidak boleh dipandang ringan lagi. Sudah sampai masanya pada hari ini bahawa politik tidak akan dikuasai oleh orang yang sama – dikawal dan dimonopoli oleh orang yang sama.”

Advertisements

Kita tak tahu apa arah tuju parti baru itu tetapi apa yang pasti beliau tidak akan meninggalkan Dr.Mahathir, setakat ini Pejuang pun tidak meninggalkan Pakatan Harapan apabila kempen bersama-sama di Tanjung Malim, persoalan adakah parti Syed Saddiq akan bergabung dengan Dr.Mahathir dan Pakatan Harapan?

Bagaimanapun dalam keterujaan Syed Saddiq mahu menunjukkan beliau pemimpin muda yang hebat, Ahli Parlimen Muar itu perlu menjaga tutur kata dan berhati-hati dalam tindakan.

Ciapan beliau yang mengaitkan hukum hudud apabila menyentuh isu kegagalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dr. Khairuddin Aman Razali membangkitkan kemarahan banyak pihak.

Tindakan Syed Saddiq ini mengingatkan kembali kita bagaimana Dr. Mahathir dikecam kerana didakwa mempersendakan hukum hudud.

Dalam ciapannya, Syed Saddiq menulis, “bila melibatkan menteri, undang-undang lain dipakai untuk menyelamatkan kawan. Kalau hudud dilaksanakan, rakyat biasa dipotong tangan, menteri potong kuku (potong gaji) sahaja.”

Penulis faham Syed Saddiq mahu menjadi pemimpin yang hebat dan pembela kepada nasib rakyat, tetapi berhati-hatilah berhujah kerana bimbang ia akan dituduh mempersendakan agama.

Kalau Syed Saddiq benar-benar mahu menjadi pemimpin yang telus, maka beliau juga perlu mendesak supaya Kementerian Kewangan mendedahkan senarai 101 projek yang diluluskan secara runding terus ketika pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan dahulu.

Janganlah hanya melihat kelemahan dan kesilapan pemimpin lawan sahaja. Apabila musuh politik buat silap, beliau akan ‘serang’ habis-habisan, tetapi apabila kalau ada isu atau kes melibatkan kawan sendiri maka ia akan disanjung sebagai negarawan dan pejuang – seperti mana tulisan Syed Saddiq mengenai Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam portal Malaysiakini.

Syed Saddiq perlu sedar, banyak lagi perlu belajar daripada idolanya, Dr. Mahathir dalam kalau mahu menjadi ahli politik yang hebat, bukan setakat soal bagaimana mahu tubuh parti baharu dan menyindir pemimpin Pas sahaja. Syed Saddiq belum berhadapan dengan cabaran sebenar.

Cabaran yang akan membuktikan sejauh manakah kemampuan beliau menjadi pemimpin bukan sekadar pengikut kepada pemimpin. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bekas ADUN Kemasik kritikal, keluarga mohon kemaafan 

BEKADS Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Terengganu, Datuk Abu Bakar Ali dalam keadaan kritikal dan kini dirawat di...

Lagi Artikel Berkaitan