25.8 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Rundingan terus adalah lumrah, perkara biasa – Guan Eng

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng menyifatkan kelulusan bagi beberapa projek secara rundingan terus ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) adalah lumrah dan perkara biasa.

Memetik Harian Metro, Guan Eng menjelaskan, dalam beberapa keadaan, keputusan perlu dibuat tanpa melalui tender atas beberapa faktor termasuk keselamatan.

Menurutnya, keputusan yang diambil itu mengikut garis panduan permohonan secara rundingan terus dan ia mengikut apa yang dijanjikan di dalam manifesto pilihan raya.

“Kementerian Kewangan PH mengamalkan sistem tender terbuka, selaras Janji 23,manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) iaitu ‘kami akan memastikan sistem tender terbuka digunakan dengan meluas dan telus terutamanya bagi projek besar.

“Jelas di sini, tidak disebut bahawa tidak boleh menggunakan kaedah rundingan terus dalam keadaan tertentu,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Guan Eng berkata, projek rundingan terus di zaman PH hanya mewakili enam peratus daripada keseluruhan nilai pembangunan atau 1.4 peratus berbanding keseluruhan perolehan.

TENGKU ZAFRUL TENGKU AZIZ

Semalam, Dewan Rakyat gamat selepas Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mendedahkan sebanyak 101 projek membabitkan nilai perolehan RM6.61 bilion secara rundingan terus sepanjang 22 bulan PH mentadbir negara.

Ketika mencelah, Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa keseluruhan projek terbabit tidak pernah dibentangkan ke Kabinet sebelum ini.

Mengulas mengenainya, Guan Eng berkata, bekas Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu sudah lupa daratan dan pakar kelentong.

Guan Eng pada masa sama mencabar Tengku Zafrul, mendedahkan 101 projek dikatakan berjumlah RM6.6 bilion yang diberi secara rundingan terus oleh pentadbiran lepas.

Menurutnya, beliau mahu menteri dedah syarikat mana yang berjaya mendapat tender, kroni siapa yang dapat, serta menteri mana yang memohon kelulusan rundingan terus.

“Menteri kewangan tidak harus menyembunyi dan main sorok-sorok maklumat,” katanya.

Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah menerima beberapa memorandum daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini berhubung isu pemberian 101 projek atau perolehan kerajaan bernilai RM6.61 bilion secara rundingan terus.

Menerusi satu kenyataan SPRM berkata, mereka akan mendapatkan senarai 101 projek daripada Kementerian Kewangan yang dikatakan diberi secara runding terus semasa pemerintah kerajaan terdahulu. 

“Satu kajian menyeluruh akan dibuat bagi menentukan sama ada wujud unsur-unsur rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa berhubung perkara ini,” kata SPRM.

Sehubungan itu, SPRM menggesa semua pihak untuk memberikan ruang kepada suruhanjaya ini untuk meneliti perkara berkenaan.

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan