30.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Memahami tuntutan Filipina terhadap Sabah – Bahagian 1

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

Oleh PROF MADYA DR NAZARUDIN ZAINUN

PERBALAHAN antara Filipina dan Malaysia mengenai siapa yang berhak memiliki Sabah masih belum selesai.

Bagi Filipina isu kepemilikan Sabah masih tergantung, tiada penyelesaian muktamad, tapi Malaysia anggap telah selesai berdasarkan keputusan rakyat Sabah sendiri yang memilih untuk bergabung dalam Malaysia.

Persoalannya, siapakah berhak ke atas Sabah?

Filipina memperolehi kuasa memerintah Sabah daripada Kerajaan Sulu, manakala Malaysia berkuasa memerintah Sabah daripada Kerajaan British.

Inggeris mendapat kuasa dari Syarikat Inggeris Borneo Utara yang mendapatkannya daripada Overbeck & Dent [Penerima hak-hak & Keistimewaan-keistimewaan tertentu] yang dikurniakan oleh Sultan Sulu (Sultan Muhammad Jamalul Alam) berasarkan dokumen ditandatangan pada 22 Januari 1878.

Berdasarkan dokumen ini Filipina nyatakan hak dan keistimewaan yg diperolehi Overbeck & Dent sebagai satu lease (penyewaan), bukan cession (penyerahan) seperti didakwa Inggeris dan kemudian oleh Malaysia sebagai penyerahan (penjualan).

Dokumen tersebut yang ditulis dalam bahasa Melayu-Arab menimbulkan masalah apabila terdapat dua versi terjemahan dokumen berkenaan:

Terjemahan pertama oleh Maxwell-Gibson dalam Treaties and Engagements Affecting the Malay States and Borneo, menterjemahkannya sebagai ‘cession‘ dan dianggap oleh Filipina sebagai tidak betul.

Tajuk terjemahannya ialah Grant from the Sultan of Sulu to Baron de Overbeck and Alfred Dent Esquire of Certain Territories and Lands on the Mainland of the Island of Borneo, dated 22nd January 1878.

Satu lagi terjemahan oleh Prof. Conklin menggunakan kata ‘lease‘ dan ini diakui oleh Filipina sebagai betul.

Tajuk terjemahan adalah Grant by the Sultan of Sulu of a Permanent Lease Covering his Lands and Territories on the Island of Borneo, dated 22nd January 1878.

Bekas Presiden Filipina, Ferdinand Marcos pernah menggugurkan tuntutan mereka terhadap Sabah.

Daripada terjemahan berbeza inilah tuntutan tersebut bermula apabila terdapat terjemahan lain yang diminta oleh Filipina dan dibuat oleh waris Sultan Jamalul Kiram serta pakar bahasa Belanda yang menterjemah sebagai ‘penyewaan’.

Masalah sama ada penyewaan atau suatu pengurniaan yang mutlak (penyerahan) adalah suatu perkara semantik. Apa yang patut menentukannya ialah hasrat rakyat Sabah sendiri.

Sebenarnya pada 22 Januari 1878 bukan dokumen tersebut sahaja ditandatangani, tetapi terdapat satu lagi dokumen yang mengesahkan perlantikan Overbeck sebagai ‘Raja Sandakan’.

Dua dokumen tersebut masing-masing tentang penggunaan tanah dan kuasa untuk berkerajaan di wilayah Borneo Utara.

Dokumen kedua ini sering diabaikan dalam pertikaian, maka perbalahan hanya berkisar tentang soal cession atau lease sahaja.

Tinjauan Kedua-dua Versi Perjanjian 1878

Asasnya, selain soal cession atau lease kedua-dua versi adalah sama (keluasan, jumlah bayaran iaitu $5,000 dibayar setiap tahun), tetapi dalam versi cession dinyatakan sebagai ganti rugi (pampasan) kerana perihal melepaskan hak.

Versi kedua menyatakan bayaran sebagai rental atau sewa. Kedua-dua versi menyatakan:

  • Wilayah ini tidak akan dipindah milik tanpa persetujuan kerajaan Inggeris.
  • Jika wujud sebarang perselisihan antara kedua-dua pihak, maha perkara tersebut harus dirujuk kepada Konsul General Inggeris di Borneo/ Brunei.

Syarat terakhir menyatakan jika Sultan Sulu perlukan sebarang bantuan atau berada dalam kesusahan, maka pihak satu lagi perlu membantu baginda.

Jadi, pihak Sultan Sulu lebih untung kerana di samping mendapat bayaran tahunan sebanyak $5,000 juga bantuan Inggeris jika perlu.

Seorang penulis Filipina, Quiason pertikai penggunaan istilah cession oleh Prof. Tregonning – Under Chartered Company Rule, yang cenderung samakan erti cession dengan lease.

Apa yang menghairankan ialah dokumen perjanjian tersebut tidak ditandatangani oleh Rumah Bicara Sultan (Majlis bagi Datu-Datu atau Hereditary Lords) seperti sepatutnya.

Nama-nama mereka juga tidak disebut dalam perjanjian tersebut, ini satu perkara memeranjatkan manurut Prof. T. Otley Beyer seorang pakar sejarah Filipina.

Perjanjian penyerahan tersebut ringkas yang menyerahkan kepada Overbeck dan satu pembayaran tahunan yang tidak tetapkan satu masa penamat, menunjukkan ianya penyewaan selama-lamanya.

Jika perjanjian tersebut adalah satu penyerahan kedaulatan kepada Overbeck, kenapa beliau perlu menyediakan dokumen kedua?

Jadi jelas kuasa kerajaan hanya diamanahkan kepada Overbeck sebagai Raja Sandakan dan boleh ditarik balik.

Overbeck pula telah mendapat tandatangan sultan dalam perjanjian tersebut melalui ancaman Tentera Laut British mahu memusnahkan Sulu.

  • Penulis adalah pensyarah Universiti Sains Malaysia dan merupakan pakar sejarah Asia Tenggara. Artikel ini dipetik dari Facebook beliau.

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan