KUALA LUMPUR – Segala urusan pinjaman usahawan yang terjejas ekoran wabak Covid-19 akan dipercepatkan, kata Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) yang baharu, Tan Sri Noh Omar.
Menurut beliau, perkara itu antara yang pertama yang akan dilakukan sejurus memasuki pejabat bagi memulakan tugas secara rasminya di agensi itu hari ini.
“Awal perkhidmatan saya ini, Insya-Allah saya akan cuba usahakan untuk percepatkan apa jua urusan pinjaman buat usahawan yang terkesan dengan pandamik Covid-19. Semoga dipermudahkan. Mohon doa dari semua,” katanya menerusi Facebooknya hari ini.
Noh yang sebelum ini dilantik sebagai Pengerusi MISC Berhad, sebuah syarikat perkapalan milik Petronas telah melepaskan jawatannya hanya dua minggu selepas pelantikan sebelum dilantik Pengerusi PUNB.
Ahli Parlimen Tanjung Karang itu berkata, beliau akan menggunakan segala pengalaman sebagai menteri di beberapa kementerian untuk membangun dan memantapkan lagi ekonomi usahawan bumiputera.
Beliau pernah dilantik sebagai menteri di Kementerian Pembangunan Usahawan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Sebelum itu, turut diadakan majlis serah tugas oleh Pengerusi PUNB sebelum ini, Datuk Hazimah Zainuddin kepada Noh di ibu pejabat PUNB di sini. – Edisi 9