KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim yang dijadual pada 29 Ogos ini bakal menjadi medan terbaik bagi menentukan sokongan yang diterima kumpulan yang menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad atau Bersatu ‘Blackout’.
Ini selepas Pakatan Harapan (PH) hari ini bersetuju memberi ruang kepada blok Bebas Mahathir itu untuk bertanding.
Keputusan itu dibuat selepas mesyuarat Majlis Presiden PH memutuskan untuk tidak bertanding dan membuka ruang kepada Bersatu ‘Blackout’ bertanding.
Setiausaha Sekretariat PH, Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan bahawa, gabungan pembangkan itu tidak akan bertanding pada PRK yang dijadual pada 29 Ogos ini.
“PH bersetuju tidak bertanding. Akan memberi ruang kepada Bersatu Tun (Bersatu Blackout) bertanding,” katanya.
Oleh itu, kini terpulang kepada Bersatu ‘Blackout’ untuk menentukan calon yang bakal bertanding.
Sebelum ini, Senator Marzuki Yahya memaklumkan kem Dr Mahathir melahirkan hasrat bertanding pada PRK itu selepas dimaklumkan ahli Majlis Presiden PH bahawa gabungan itu tidak akan meletakkan calon.
Susulan itu, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mereka akan berbincang dengan kem Dr Mahathir berhubung calon PRK Slim.
PRK Slim mencuri tumpuan kerana ia akan menjadi medan pertama melibatkan Perikatan Nasional dan PH, yang tidak bertanding pada pilihan raya kecil Chini.
Kerusi DUN Slim kosong selepas penyandangnya dari BN, Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, meninggal dunia pada 15 Julai lalu akibat serangan jantung.
Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Dun Slim diadakan pada 29 Ogos, hari penamaan calon pada 15 Ogos, manakala tarikh mengundi awal pada 25 Ogos.
Pada PRU ke-14, lalu Khusairi memenangi kerusi DUN Slim dengan menewaskan calon Bersatu, Mohd Amran Ibrahim dan Muhammad Zulfadli Zainal dari PAS.
Allahyarham memperoleh 8,327 undi dengan majoriti 2,183 undi.
Selain nama calon, perkara yang akan menjadi tumpuan selepas ini adalah lambang yang akan digunakan Bersatu ‘Blackout’.
Adakah kumpulan itu akan menggunakan tiket PH sebagaimana yang dilakukan pada Pilihan Raya Umum yang lalu.
Ketika ditanya sama ada calon Bersatu ‘Blackout’ akan menggunakan tiket PH pada PRK itu atau sebaliknya, Saifuddin berkata dia tidak mempunyai jawapan.
“Tidak ada idea. Hanya Tun (Dr Mahathir) boleh jawab,” katanya lagi.
Untuk rekod, Marzuki sebelum ini berkata bahawa Bersatu ‘Blackout’ tidak akan menggunakan logo PH pada PRK tersebut.
“Kami tidak akan bertanding menggunakan logo PH. Sama ada kami guna lambang baru atau lambang yang diberikan oleh SPR,” katanya.
Bersatu ‘Blackout’ adalah kumpulan bekas anggota parti yang menyokong Dr Mahathir selepas tidak bersetuju keputusan presiden parti itu, Muhyiddin Yassin membawa Bersatu keluar daripada PH pada penghujung Feb lalu.
Krisis selama seminggu itu menyaksikan presidennya, Muhyiddin Yassin dilantik sebagai perdana menteri selepas Mahathir membuat keputusan meletakkan jawatannya.
Pada Mei lalu, Mahathir dan beberapa pemimpin yang menyokongnya termasuk Marzuki yang merupakan setiausaha agung Bersatu digugurkan keahlian mereka.