26 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Pindah rumah baharu, To’ki ucap syukur

Mesti Baca

PENDERITAAN penyanyi To’ki yang hidup serba kekurangan di sebuah pondok di pinggir hutan dekat Batu 12 Gombak berakhir selepas dia menerima bantuan kediaman yang dijanjikan oleh Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan (PPZ), hari ini.

Pemberian rumah sewa di Taman Setapak Indah itu jelas memberi kelegaan kepada To’ki atau nama sebenarnya Mohd Zaki Mansur, 53, dan isterinya,Sharifah Fairuz Syed Yusof, 48.

Memetik laporan Astro Awani, hadir menyerahkan kunci rumah berkenaan kepada To’ki ialah Ketua Pegawai Eksekutif PPZ, Ahmad Shukri Yusoff.

“Alhamdulillah.. seperti yang kita janjikan lebih kurang seminggu sebelum ini bahawa kita mahu keluarkan To’ki dari pondok di Batu 12. Tempat itu akan terus dijadikan tempat untuk To’ki berkarya, dan hari ini, rumah ini untuk To’ki dan isterinya tinggal.

“Kita juga telah lengkapkan rumah ini dengan perabot-perabot asas supaya To’ki dan juga keluarga dapat hidup dalam keadaan selesa. Ini adalah usaha kita bersama dan kita mahu To’ki terus mampu berkarya selepas ini,” kata Shukri semalam.

Sementara itu, To’ki sangat bersyukur dengan usaha yang telah dijalankan oleh pihak PPZ yang sudi mencari rumah berkenaan kepadanya selepas hampir dua tahun menghuni pondoknya itu.

Baginya, peranan yang dimainkan oleh pihak PPZ dan pihak lain dalam membantu beliau sangat besar dan tidak mampu dibalas.

Advertisements

“Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT dan terima kasih kerana PPZ sampai tahap ini membantu saya. Saya tak terfikir sebelum ini sampai macam ni orang ambil berat pasal saya sekeluarga.

“Terima kasih kerana terus memberikan sokongan untuk saya terus berkarya,” kata To’ki.

Bukan itu sahaja PPZ juga telah menanggung kos pembaikan kereta To’ki yang telahpun siap bagi membolehkannya lebih mudah bergerak.

Malah PPZ juga turut menyediakan katil yang lebih sesuai untuk isterinya yang masih cedera selepas terbabit dalam kemalangan bulan lepas selain menghadiahkannya kerusi roda yang baharu.

Bagai dikunjung tuah, nasib To’ki bertambah ceria selepas sebuah syarikat penjual kenderaan terpakai, pihak ZZ Auto Services, menerusi pemiliknya Zaihan Che, bersetuju untuk menghadiahkan sebuah kereta yang lebih selesa kepadanya untuk memudahkan urusan hariannya.

Kisah To’ki mula mendapat perhatian ramai awal bulan ini dan menarik perhatian pelbagai pihak yang tampil menghulurkan bantuan kepadanya.

Advertisements

Terkini

Sultan Nazrin berkenan letak batu asas IPTTI, URCC UPSI

SULTAN Perak, Sultan Nazrin berkenan berangkat ke Majlis Perletakan Batu Asas bagi Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (IPTTI)...

Lagi Artikel Berkaitan