26.5 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Kesilapan terbesar PH terlalu banyak manifesto – Rafidah

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tan Sri Rafidah Aziz mengkritik Buku Harapan yang mengandungi janji manifesto Pakatan Harapan (PH) dan menyifatkannya sebagai kesilapan terbesar gabungan itu.

Rafidah yang dipetik Free Malaysia Today berkata, manifesto yang dirangka pemimpin PH terlalu meluas dan banyak hinggakan tidak ada mana-mana pihak yang boleh memahami isi kandungannya.

RAFIDAH AZIZ

Malah katanya, beliau ‘boleh tertidur’ jika membacanya, merujuk kepada manifesto pilihan raya umum ke-14 gabungan politik itu.

“Saya beritahu kesilapan terbesar PH adalah adanya manifesto, terlalu banyak, tidak ada sesiapa boleh hadam. Kami dahulu tidak pernah ada manifesto besar-besar semasa saya dalam Barisan Nasional. Saya juga salah seorang dalam jawatankuasa, tidak ada gunanya (ia) terlalu terperinci.

“Ambil contoh dalam isu Covid-19, apa yang berlaku ini adalah di luar kawalan kita. Dalam erti kata lain, rangkakan perkara utama sahaja dan dalam tempoh itu kita perbaiki dan ubah. Tetapi anda (PH) lakukannya seperti Quran, kitab Injil, tidak boleh diubah. Jadi ia salah.

“Saya sendiri gelarkan ia sebagai ‘manifesto bodoh’ dan tidak perlu. Sebaliknya, datanglah dengan satu format untuk terus maju ke hadapan,” katanya dalam siaran langsung di Facebook ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh malam tadi.

Rafidah berkata demikian ketika menjawab persoalan yang dibangkitkan Yeoh, yang membayangkan mengenai kesukaran dialami penjawat awam selepas berlakunya transisi pentadbiran kerajaan PH kepada Perikatan Nasional (PN), apabila kerajaan ketika ini tidak mempunyai manifesto yang jelas.

Bagaimanapun menurut Rafidah, PH wajar diberikan mandat mentadbir selama lima tahun, bagi menentukan kemampuan gabungan berkenaan mentadbir Putrajaya.

“Saya tidak melihat kenapa anda tidak perlu diberikan peluang, rakyat perlu berikan PH peluang. Saya selalu beritahu rakyat, berikan mereka peluang selama lima tahun, ia tidak adil,” katanya.

Mengulas mengenai pemberian jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dilakukan pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Rafidah berkata, jawatan dalam GLC bukanlah sumber untuk ahli politik mendapatkan wang.

“Ia juga tidak seharusnya diberikan kepada kroni untuk mereka lakukan apa yang mereka suka. Jika tidak ada kepimpinan yang jujur, berintegriti, yang mengutamakan negara berbanding diri sendiri, perkara ini akan tetap berlaku.

“Dengan meletakkan rakan di sana (GLC), membuang orang yang belum tamat tempohnya, ia tidak boleh dilakukan.

“Melainkan dia memang benar-benar tidak kompeten. Tetapi, membuang individu yang sudah melakukan kerja dan sudah boleh dilihat hasilnya, saya terkejut,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan