29.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Nasib bekas kakitangan Utusan terus diabaikan

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Berita akhbar Utusan Malaysia diterbitkan kembali sudah tentu menggembirakan banyak pihak yang selama ini ternanti-nantikan akhbar yang telah lama sinonim dengan perjuangan orang Melayu, sejak zaman sebelum kemerdekaan sehingga ditutup pada Oktober tahun lepas.

Bagaimanapun, bagi lebih 800 bekas kakitangan yang ditamatkan perkhidmatan tahun lepas dan lebih 800 lagi bekas kakitangan yang mengambil skim pemberhentian sukarela (VSS), kemunculan akhbar itu bersama Kosmo hanya menambahkan pedih luka lama.

Manakan tidak, selepas 10 bulan ditutup, tiada sebarang wang pampasan dibayar kepada bekas kakitangan yang diberhentikan, malahan wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan potongan cukai berjadual (PCB) cukai pendapatan 2019 bekas kakitangan juga tidak dibayar kepada Lembga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Kami mungkin akan dikenakan tindakan oleh LHDN kerana dikatakan ‘tidak membayar PCB,’ walhal wang tersebut telah dipotong oleh majikan dari gaji bulanan kakitangan sejak awal tahun,” kata seorang bekas kakitangan yang enggan namanya disebut.

Apa yang menarik, walaupun secara terang-terang Utusan Melayu telah melanggar Akta KWSP 1991 dan Peraturan Dan Kaedah KWSP 1991 yang membolehkan kerajaan mengambil tindakan terhadap bekas pengarah syarikat seperti menyita aset, menghalang mana-mana pengarah syarikat ke luar negara tetapi perkara itu tidak berlaku.

“Malahan, ada bekas pengarah syarikat yang diketahui umum bebas keluar masuk ke luar negara kerana mempunyai perniagaan dan juga keluarga yang bermastatutin di luar negara,” kata bekas kakitangan itu.

Mengenai pembelaan nasib pekerja, walaupun bekas kakitangan telah membuat aduan kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) bagi menuntut pembayaran pampasan sewajarnya dan telah mengadakan pertemuan dengan pegawai-pegawai JPP di seluruh negara, tetapi tiada sebarang perkembangan positif berlaku.

KILANG mencetak akhbar Utusan di Bangi, Selangor merupakan antara empat kilang cetak dimiliki Utusan Melayu di seluruh negara yang mempunyai nilai aset yang tinggi.

Kali terakhir bekas kakitangan dimaklumkan JPP, kes aduan kakitangan Utusan Melayu itu akan dibawa kepada peringkat Menteri, sebelum dibawa ke mahkamah.

Bagi bekas kakitangan yang mengambil VSS pula, janji syarikat untuk membayar pampasan ratusan ribu kepada mereka hanya ‘tinggal janji’ sahaja kerana Utusan Melayu (yang kini diambil oleh syarikat pelikuidasi, UHY Malaysia) masih membisu seribu bahasa mengenai tarikh sebenar pelunasan baki pembayaran VSS.

Sebagai maklumat, lebih 800 kakitangan Utusan Melayu yang mengambil VSS pada 2018 hanya dibayar tidak sampai separuh dari jumlah yang dijanjikan sebelum ini dan rundingan demi rundingan menemui jalan buntu walaupun mereka mempunyai kontrak rasmi.

Akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo yang diterbitkan semula hari ini diterbitkan oleh syarikat baru, Media Mulia Sdn. Bhd. selepas syarikat Utusan Melayu ditutup pada Oktober lepas oleh pengurusan ketika itu dengan alasan hutang yang terlalu tinggi walaupun pada hakikatnya, syarikat itu masih mempunyai aset bernilai ratusan juta ringgit.

Menurut berapa ahli perniagaan dan pakar perundangan, secara logiknya, syarikat yang telah 80 tahun beroerasi itu masih boleh diselamatkan walaupun mempunyai hutang sebelum ini kerana nilai asetnya jauh lebih tinggi daripada nilai hutang syarikat.

Mereka turut bertanyakan, mengapakah hasil jualan permit akhbar Utusan Malaysia, Kosmo dan portal Utusan Online dan Kosmo Online oleh Utusan Melayu kepada Media Mulia (pemilik baru Utusan Malaysia, Kosmo) tidak digunakan untuk membayar pampasan kepada bekas kakitangan kerana difahamkan jumlahnya berbelas-belas juta ringgit.?

Sementara itu, bekas kakitangan yang hanya ingin dikenali sebagai Abu berharap akan menerima pampasan segera kerana kehilangan pekerjaan secara tiba-tiba dan telah berusia yang menyukarkannya untuk mendapatkan pekerjaan semula, tambahan pula ekonomi negara sedang tidak menentu kerana masalah Covid-19.

“Pakcik dah tua. Susah nak dapat kerja lain. Penyakit pun macam-macam ada,” katanya yang telah terkena penyakit angin ahmar baru-baru ini dengan suara yang sayu dan hiba. – EDISI9

Terkini

Veto AS ke atas Palestin: Pengkhianatan terhadap keadilan

Oleh AZRIL MOHD AMIN DALAM tindakan terbaharu kedegilan diplomatik, Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa vetonya untuk menggagalkan resolusi yang mahu...

Lagi Artikel Berkaitan