25 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Politik Mahathir ‘ada pun tak untung, tak ada pun tak rugi’

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

‘’Cukuplah kami dah letih’’ – Itulah rata-rata keluhan yang penulis dengar ketika berbual-bual dengan orang kampung ketika balik menziarahi orang tua di Kedah, Rabu lalu.

Negeri Jelapang Padi itu baru sahaja berubah kepemimpinan Kerajaan Negeri apabila Datuk Seri Mukhriz Mahathir terpaksa melepaskan jawatan Menteri Besar selepas kehilangan majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN). Tempat beliau diambil alih oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Jeneri daripada Pas, Muhammad Sanusi Md.Noor.

Penulis berbual-bual dengan ramai orang tetapi bukan ahli politik. Penulis mahu mendengar pandangan akar umbi rakyat Kedah berhubung politik semasa khususnya melibatkan Tun Dr.Mahathir Mohamad. Ternyata populariti dua beranak itu semakin merudum dalam kalangan rakyat negeri tersebut.

Tindakan Mahathir yang mahu terus menjadi Perdana Menteri dengan mendapat sokongan DAP dan Amanah ternyata tidak begitu digemari orang kampung. Bagi mereka, Mahathir sepatutnya memberi laluan kepada orang lain.

‘’Dia nak apa lagi, cukuplah dua kali. Dia cakap la ni (sekarang) pun dah kelam kabut, dah tua sangat dah,’’ kata seorang warga emas ketika kami bertemu di sebuah warung di Bedong.

Warga emas itu yang satu ketika pernah menyertai sebuah parti politik dan pernah menjadi penyokong kuat Mahathir berkata, rakyat sudah letih dengan cara politik Ahli Parlimen Langkawi itu yang tidak sudah-sudah mengganggu siapa juga yang menjadi Perdana Menteri.

‘’Dia yang letak jawatan, bila (Yang di-Pertuan) Agong minta tarik balik, dia tak mau tapi bila (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) naik, dia kacau pulak. Muhyiddin dah baguih (bagus) dah, semua rakyat suka, Mahathir dok diam-diam sahaja la,’’ kata warga emas itu lagi.

Seorang anak muda yang turut menyertai ‘sesi sembang’ politik kami, turut menyampuk, ‘’ Rakyat la ni tengah susah, Mahathir tak apala dia dan anak-anak dah kaya, patutnya dia dok la diam-diam, biar Muhyiddin jaga negara. Tok sah (jangan) dok kacau sangat, politik jadi kelam kabut, sampai bila dia nak kacau sapa saja jadi PM.’’

Anak muda tersebut yang membuat kerja sambilan menghantar barang itu berkata lagi, ‘’ la ni dia pi calon Shafie jadi PM, awat dia ingat, dia seorang ada kuasa pilih sapa nak jadi PM.’’

Bercakap soal Mohd.Shafie, semalam ketika penulis berada di Pulau Pinang, penulis membaca berita, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng. Gambar pertemuan mereka disiarkan dalam media sosial milik Anwar dengan ayat, ‘kawan tetap kawan’.

Penulis juga membaca kenyataan pemimpin Amanah yang menegaskan, calon Perdana Menteri daripada Pakatan Harapan akan ditentukan oleh Majlis Presiden. Kedua-dua perkembangan ini membuktikan tindakan Mahathir mencalonkan Datuk Seri Mohd.Shafie Apdal mula tidak disenangi oleh pemimpin DAP dan Amanah.

Advertisements

Apatah lagi dalam wawancara terbarunya dengan sebuah media, Mahathir terus mengulangi pendiriannya menolak Anwar. Ia bermakna Mahathir telah membuka ‘peperangan terbuka’ dengan Anwar, sekaligus akan menjejaskan ‘ketenteraman’ dalam PH.

Penulis percaya, dengan ketegasan PKR dan Anwar menolak keputusan Mahathir mencalonkan Mohd.Shafie, ia menyebabkan DAP dan Amanah terpaksa mempertimbangkan kembali pendirian mereka terhadap Mahathir, apatah lagi Gabungan Parti Sarawak (GPS) pula menegaskan tetap bersama Muhyiddin.

Ia bermakna PH tidak boleh lagi bergantung kepada Mahathir untuk mendapat sokongan parti-parti dari negeri berkenaan dan pada masa sama, kemungkinan mereka juga ada maklumat bahawa populariti Mahathir dalam kalangan orang Melayu semakin merudum.

Oleh itu, kedudukan Mahathir kini sedang menuju ke arah ‘ ada pun tak untung, tak ada pun tak rugi’. Bukan sahaja beliau mungkin akan dipinggirkan oleh PH, malah dalam kalangan rakyat khususnya orang Melayu, mereka pun sudah melihat Mahathir tidak ada apa-apa lagi keistimewaan.

Tambahan pula, beliau pun tidak kuat lagi, berbanding Anwar yang memilik 38 kerusi, Mahathir hanya ada 5 kerusi. Dalam keadaan PH mahu menjadi pembangkang yang kuat atau berusaha kembali berkuasa, mereka lebih memerlukan PKR berbanding Mahathir.

PKR pula dilihat sudah tidak begitu berminat untuk ‘menumbangkan’ kerajaan Muhyiddin. Mereka lebih bersedia menjadi pembangkang yang efektif apabila menubuhkan jurucakap Parlimen yang mempunyai portfolio ‘bayangan’ kepada menteri-menteri Perikatan Nasional.

Melalui penubuhan itu, 36 daripada 38 ahli Parlimen PKR mempunyai kedudukan dalam pasukan berkenaan, dengan 19 ahli Parlimen sebagai jurucakap dan 17 lagi MP menjadi timbalan.

Tindakan PKR ini sudah tentulah mengecewakan Mahathir yang mungkin siang malam ke sana ke sini mencari jalan mahu menjatuhkan Muhyiddin.

Tetapi Mahathir sepatutnya menyalahkan diri sendiri kerana akibat terlalu mahu menghalang Anwar menjadi Perdana Menteri, beliau sanggup mencalonkan nama Mohd.Shafie dan meletakkan anaknya sebagai Timbalan Perdana Menteri II.

Sebenarnya, Mahathir salah strategi lagi – sama seperti mana beliau meletakkan jawatan pada Februari lalu. Kali ini bekas Perdana Menteri berusia 95 tahun itu mencipta musuh dengan semua orang termasuk sekutunya sendiri.

Justeru beliau kini berada dalam keadaan, ‘kawan pun semakin menyampah, musuhpun semakin membenci’, kesudahannya Mahathir akan terkontang-kanting dan kehadiran beliau akan dlihat ‘ada pun tak apa, tak ada lagi bagus’.

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan