30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Irmohizam dilantik Pengerusi Majlis Penasihat Asia Pasifik WTCA

Mesti Baca

PERSATUAN Pusat Dagangan Sedunia (WTCA) melantik Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Anggota Asia Pasifik (Persidangan & Pameran) mulai 2 Julai lalu.

Beliau akan memainkan peranan mempengerusikan dan menetapkan agenda mesyuarat untuk semua pusat dagangan dunia seluruh Asia Pasifik.

Bekas Ahli Parlimen Kuala Selangor itu juga akan berperanan penting dalam menentukan hala tuju dan memimpin perbincangan dan projek yang relevan dengan Majlis Penasihat Anggota Asia Pasifik dan juga menggalakkan penyertaan pusat dagangan dunia lain ke dalam persatuan.

Untuk makluman, jawatan Pengerusi Majlis Penasihat Anggota Asia Pasifik adalah selama satu tahun dan kemungkinan pelantikan semula untuk menjalani penggal tambahan seterusnya.

Selain menjalankan inisiatif yang ditetapkan WTCA, Pengerusi juga akan bekerjasama dengan anggota Majlis lain yang wujud di dunia termasuk APEC, EU, ASEAN untuk menentukan projek tambahan yang bersesuaian.

Irmohizam dalam kenyataan media  berkata, beliau berbesar hati dengan pelantikan tersebut dan berharap akan dapat menyumbang idea baharu bagi meningkatkan daya maju industri.

Beliau juga berharap dapat memacu perkembangan ekonomi negara Pasca COVID-19 melalui kemasukan semula persidangan dan pameran antarabangsa ke Malaysia.

“Saya mengharapkan kerjasama padu dari seluruh anggota persatuan supaya dapat meneruskan sikap keterbukaan serta bersikap inklusif kepada semua dengan semua ahli. 

“Ini dapat menyumbang ke arah tata kelola persatuan yang lebih baik dan ingin menjadikan Malaysia sebagai hub lokasi perdagangan dan Pameran dunia, “katanya.

Pelantikan itu mencatatkan rekod baharu kerana Irmohizam merupakan rakyat Malaysia yang pertama memegang jawatan berkenaan.

Terkini, Majlis Penasihat Anggota Asia Pasifik sedang bekerjasama dengan Ketua Pegawai Eksekutif WTCA, Scott Ferguson dalam program Access Asia untuk mempromosikan pusat dagangan dunia dan perniagaan di seluruh rantau Asia Pasifik.

Untuk rekod, terdapat 93 pusat dagangan dunia di Asia Pasifik yang berdaftar di bawah WTCA.

Antaranya Pusat Dagangan Dunia Sydney, Pusat Dagangan Dunia Beijing, Pusat Dagangan Dunia Taipei, Pusat Dagangan Dunia Metro Manila dan Pusat Dagangan Dunia Tokyo. – EDISI 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan