33.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

MN calonkan Muhyiddin sebagai PM menghadapi PRU-15

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Parti gabungan terbesar Perikatan Nasional (PN), UMNO dan Pas sepakat untuk mengekalkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri semasa menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Memetik laporan Free Malaysia Today, persetujuan itu dicapai semasa mesyuarat Muafakat Nasional (MN) baru-baru ini.

Terdahulu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu menzahirkan kepercayaan kepada Muhyiddin sebagai calon perdana menteri bagi menghadapi PRU15.

“PAS menzahirkan dukungan kepada kepimpinan Muhyiddin dan permuafakatan politik Perikatan Nasional (PN) demi mensejahterakan negara dan rakyat,” tulis beliau dalam hantaran dalam Facebooknya.

Dalam pada itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, secara prinsipnya kedua-dua parti bersetuju untuk menamakan atau menyokong, Muhyiddin sebagai calon perdana menteri seterus dan ia akan dibawa dalam saluran parti masing-masing.

“Di peringkat jawatankuasa bersama MN yang saya setiausaha agungnya memang betul apa disebutkan oleh Presiden PAS itu adalah ia telah dibincangkan bersama.

“Pendirian Pas dan Umno dalam soal ini adalah pendirian sama. Saya sahkan,” katanya, hari ini.

Semalam, pemimpin Barisan Nasional, Pas serta parti dari Sarawak dan Sabah mengisytiharkan sokongan kepada gabungan PN yang diketuai Muhyiddin “demi kestabilan politik, kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negara”.

Sokongan itu disuarakan dalam mesyuarat 2 jam di Putrajaya yang dihadiri Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Abdul Hadi; Presiden MCA, Wee Ka Siong; Presiden MIC, S. Vigneswaran dan Setiausaha Agung PPBM, Hamzah Zainudin.

Turut hadir Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg; Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Dr Sim Kui Hian; Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Seri Tiong King Sing; Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri Dr. James Jemut Masing; presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili; Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup dan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr. Jeffrey Kitingan. – Edisi 9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan