24.7 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Lanjutan Moratorium dan Bantuan Bank Bersasar bantu rakyat – PM

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan Lanjutan Moratorium dan Bantuan Bank Bersasar yang lebih fokus kepada golongan benar-benar memerlukan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tempoh moratorium bagi individu yang kehilangan pekerjaan pada tahun ini dan masih belum mendapat pekerjaan baharu akan dilanjutkan bagi tempoh tiga bulan.

Beliau berkata, selepas tiga bulan, tempoh moratorium boleh dilanjutkan oleh bank-bank bergantung kepada situasi individu terbabit.

“Selain itu, bagi individu yang masih bekerja tetapi gaji mereka terjejas atau berkurangan akibat Covid-19, bayaran ansuran bulanan dikurangkan selaras dengan kadar pengurangan gaji, bergantung kepada jenis pinjaman.

“Sebagai contoh, bagi pinjaman perumahan atau pinjaman peribadi, bayaran ansuran bulanan akan dikurangkan pada kadar yang sama dengan pengurangan gaji.

“Bantuan ini adalah untuk tempoh sekurang-kurangnya enam bulan dan lanjutan boleh diberikan tertakluk kepada keadaan gaji semasa individu berkenaan,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian semasa mengumumkan lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar yang disiarkan secara langsung di saluran televisyen hari ini.

Muhyiddin dalam pada itu berkata, bank telah memberikan komitmen untuk membantu semua peminjam individu atau perusahaan kecil dan sederhana (PKS) atau yang bekerja sendiri.

Namun katanya, ia bergantung kepada situasi peminjam dengan bantuan yang ditawarkan termasuk membayar faedah sahaja untuk suatu jangka masa ditetapkan.

Advertisements

“Memanjangkan tempoh keseluruhan pinjaman bagi mengurangkan pembayaran balik bulanan atau memberi pelepasan lain sehingga peminjam mencapai kedudukan kewangan yang lebih stabil,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, bagi pinjaman sewa beli, bank akan turut menawarkan pilihan penjadualan ansuran yang bersesuaian tertakluk kepada Akta Sewa Beli

“Contohnya, memanjangkan tempoh bayaran balik pada kadar ansuran bulanan lebih rendah,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, langkah tersebut dijangka memanfaatkan tiga juta individu dan PKS namun sekiranya lebih ramai memerlukan bantuan, institusi perbankan telah memberikan komitmen untuk mempertimbangkan bantuan sewajarnya.

Menurutnya, peminjam yang layak boleh menghubungi bank masing-masing untuk membuat permohonan mulai 7 Ogos ini.

Ujarnya, keputusan lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar itu dibuat kerajaan selepas mendengar rintihan rakyat.

Sehubungan itu beliau berharap ia akan dapat meringankan beban rakyat yang terjejas dengan masalah ekonomi akibat pandemik Covid-19.

“Keputusan yang dibuat oleh kerajaan ini dengan kerjasama institusi perbankan di negara kita diharapkan dapat menyokong kemampanan perniagaan, membantu usaha memulih serta melonjakkan semula ekonomi negara dan menjamin kesejahteraan hidup anda semua,” katanya.

Kerajaan pada Mac lalu mengumumkan pelaksanaan moratorium bayaran balik pinjaman selama enam bulan bermula April sehingga September ini berikutan penularan Covid-19 di negara ini.

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan