25.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Musa Aman dakwa dapat sokongan bentuk kerajaan baharu Sabah

Mesti Baca

KOTA KINABALU – Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman mengumumkan beliau mempunyai sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk membentuk kerajaan negeri menerusi gabungan baharu yang beliau ketuai sendiri.

Musa berkata, satu gabungan baharu yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bentuk bersama dengan ADUN dari pelbagai parti iaitu UMNO, Bersatu, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

“Saya juga ingin memaklumkan yang Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Mohd Nardin Awang telah membuat kunjungan hormat ke atas Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin pagi tadi.

“Ini bagi memaklumkan gabungan baharu yang menyokong PN di bawah kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memperolehi sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan baharu,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Musa berkata, Tuan Yang Terutama telah meminta beliau mengemukakan surat akuan bersumpah (SD) yang mengesahkan sokongan ADUN tersebut.

Menurutnya, beliau telah menerima surat SD ADUN yang mengesahkan pendirian mereka menyokong gabungan baharu yang diketuainya.

“Melangkah ke hadapan, kerajaan gabungan baharu akan berusaha memperbaiki dan menghasilkan dasar yang lebih baik untuk membawa Sabah keluar dari keadaan ekonomi yang getir akibat kelemahan Kerajaan Parti Warisan termasuk dalam mengatasi penularan wabak Covid-19.

“Bersama dengan bantuan kerajaan Persekutuan, saya percaya kita bersama-sama dapat mengatasi cabaran yang berlaku, melonjakkan ekonomi, mewujudkan peluang-peluang pekerjaan dan meningkatkan kehidupan masyarakat,”katanya.

Advertisements

Musa menambah, beliau ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang secara konsisten mempercayai dan menyokong beliau.

“Saya tidak mengharapkan apa-apa kecuali komitmen dan dedikasi sepenuhnya dari semua wakil rakyat untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Sabah mempunyai 65 anggota dewan undangan negeri (ADUN), termasuk lima Adun dilantik.

Musa, bekas ketua menteri era Barisan Nasional (BN), harus membuktikan dia mempunyai sokongan sekurang-kurangnya 33 ADUN dalam Dewan Undangan Negeri untuk membentuk kerajaan baru.

Sementara itu memetik laporan Malaysia Kini, sumber Pejabat Ketua Menteri Sabah memberitahu bahawa, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal juga masih mempunyai sokongan cukup untuk mempertahankan kerajaan Warisan.

Beliau juga dijangka mengumumkan sokongannya, juga dalam bentuk SD.

Setakat semalam, Warisan yang disokong Upko, DAP dan PKR, mempunyai 43 kerusi dalam dewan.

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan