30.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

Awas! ada kelompok buat kerja syaitan, tiru perangai Syash Bin Qais

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

SEORANG Yahudi bernama Syash bin Qais berjalan di hadapan kaum Aus dan Khazraj yang sedang bercakap dengan gembiranya.Sesungguhnya dia berasa benci dengan keintiman mereka kerana pada asalnya mereka saling bermusuhan antara satu sama lain.

Oleh itu dia menyuruh anak buahnya untuk ikut serta bersama mereka dan membangkitkan cerita mereka pada zaman jahiliyah ketika perang Bu’ats.

Maka kedua-dua kaum tersebut mula menceritakan kegagahan masing-masing dan berselisih faham sehingga tampil Aus bin Qaizhi daripada golongan Aus dan Jabbar bin Sakhir daripada golongan Khazraj caci mencaci antara satu lain dan menimbulkan kemarahan kedua-dua belah pihak, hingga ia hampir mencetuskan peperangan di antara mereka.

Perkara itu telah sampai kepada pengetahuan Rasulullah SAW sehingga baginda datang dengan segera memberi nasihat serta mendamaikannya.
Penulis memaparkan kisah ini yang dipetik dari Kitab Asbabun Nuzul – Sejarah Turunnya ayat-ayat Al Quran.

Ia berkaitan sejarah turun surah Ali Imran ayat 99 berkenaan Syash bin Qais yang menjadi batu api kepada orang Islam dan ayat 100 surah yang sama berhubung kisah Aus dan Jabar serta pengikut mereka.

Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 99 bermaksud;

“Katakanlah; Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu menghalangi orang yang beriman daripada menurut jalan Allah (agama Islam), kamu hendak menjadikan jalan Allah itu bengkok terpesong, padahal kamu menyaksikan (kebenarannya)? Dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.”

Dalam ayat 100 surah yang sama Allah SWT berfirman;

“Wahai orang yang beriman! Jika kamu taat akan sesuatu puak daripada orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan kitab itu, nescaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi orang kafir sesudah kamu beriman.’’

Penulis memaparkan kisah ini berikutan ada kelompok tertentu yang cuba memecah belahkan perpaduan antara parti-parti Melayu dalam Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN).

Dalam tempoh seminggu ini, penulis turut menerima WhatsApp yang memaparkan kononnya penubuhan parti baru dan senarai calon pilihan raya. Kedua-duanya mengandungi nama-nama pemimpin UMNO, Pas dan Bersatu.

Mungkin kelompok yang melakukan propaganda ini berasa bangga kerana berjaya membuatkan pemimpin parti terlibat terpaksa menafikannya, tetapi hakikatnya ‘kerja-kerja bodoh’ mereka itu tidak akan ke mana.

Sebaliknya membuktikan betapa terdesaknya mereka mahu memecah belahkan perpaduan dan kerjasama antara ketiga-tiga parti tersebut.

Mereka memahami cabaran terbesar bagi ketiga-tiga parti berkenaan ialah pembahagian kerusi dan pemilihan calon bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Justeru mereka cuba melakukan ‘perang saraf’ dengan membuat cadangan senarai calon Perikatan Nasional (PN) yang kalau dibaca, ‘kambing pun boleh tersenyum’ kerana menampakkan kejahilan mereka.

Oleh kerana tidak cerdik, mereka pun ingat penyokong ketiga-tiga parti pun sama seperti mereka. Maka strategi mengapi-apikan pun dilakukan. Kelompok ini bagaikan melaksanakan kerja-kerja syaitan untuk menghasut umat Islam bergaduh sesama sendiri.

Puak-puak seperti inilah yang menjadi ‘tentera upahan’ atau ‘balaci’ kepada pihak tertentu untuk menghancurkan usaha menyatukan orang Melayu.

Kelompok ini tahu apabila orang Melayu mencapai persefahaman dan bersatu, ia akan menjadi petaka politik kepada mereka. Mereka amat takut dengan situasi ini terutamanya dalam PRU-15 kerana tahu parti yang disokong pasti akan ditolak oleh rakyat khususnya orang Melayu.

Oleh itu, mereka cuba memporak-perandakan PN dan MN, biarpun kesepakatan yang dibuat akan turut memberi manfaat kepada kaum-kaum lain.

“Senarai itu adalah ‘psywar’ untuk mengadu-domba antara UMNO, Pas dan Bersatu. Paling mereka takuti adalah kerjasama UMNO dan Pas yang dilihat mampu menarik sokongan orang Melayu.

“Tetapi saya lihat usaha itu gagal kerana senarai itu dibuat tanpa pemikiran teliti, maksudnya sekali orang baca, orang dah tahu, ia sekadar propaganda,” kata seorang bekas pegawai pasukan keselamatan kepada penulis.

Sudah pasti golongan tersebut tidak akan berhenti daripada ‘kerja-kerja kotor’ mereka dan mahu ‘menyambung’ kerja-kerja Syash bin Qais. Hati mereka sudah dibaluti dengan politik kebencian yang mendalam sehingga sanggup melancarkan ‘psywar’ berbentuk fitnah, tohmahan dan berita palsu.

Justeru pemimpin dan penyokong ketiga-tiga parti berkenaan perlu berhati-hati. Apa pun isu berbangkit perlu diselesaikan secara musyawarah dan bukannya bercakap secara terbuka dalam media sehingga mengeruh keadaan.

Sudah cukup orang Melayu berpecah kerana berbeza fahaman politik dan kini apabila sudah ada peluang untuk kita bersatu semula, maka jangan biarlah mana-mana anasir menggugat usaha tersebut. Pemimpin, ahli dan penyokong ketiga-tiga parti perlu istiqomah dan mempertahankan kerjasama yang wujud.

Tidak dapat dinafikan akan ada masalah tetapi pada masa sama tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan, jika semua pihak sentiasa berlapang dada dan ikhlas berjuang demi kepentingan orang Melayu, umat Islam dan rakyat Malaysia keseluruhannya.

Ingatlah ketika UMNO dan Pas bersedia untuk bersatu selepas berpuluh-puluh tahun berbalah, ia disambut dengan linangan air mata dan penuh kesyukuran.

Jangan hancurkan harapan orang Melayu hanya disebabkan pemimpin berebut kerusi dan mahu menjadi calon.

Kepada kelompok yang tidak senang orang Melayu bersatu, teringat penulis pesan seorang ustaz, “Kalau kita tak boleh buat baik, janganlah ganggu orang lain melakukan kebaikan kerana hanya satu makhluk sahaja yang tidak suka orang berbuat baik iaitu iblis dan syaitan.”

Terkini

IJM Land bantu ringankan beban enam keluarga sambut Syawal

IJM Land Berhad baru-baru ini menyampaikan sumbangan kepada enam keluarga kurang bernasib baik bagi meringankan beban mereka terutama dalam...

Lagi Artikel Berkaitan