25.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Jika itu pilihan Mahathir silakan, tapi jangan seret rakyat!

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

KRISIS politik pada 24 Februari lalu berlaku apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad membuat keputusan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Tindakan itu menyebabkan Kerajaan Pakatan Harapan tumbang dan Kabinet dibubarkan atas permintaan Ahli Parlilmen Langkawi tersebut.

Tetapi apa yang diuar-uarkan dan digembar-gemburkan oleh Mahathir dan penyokong-penyokongnya termasuklah pemimpin PKR, DAP dan Amanah, Tan Sri Muhyiddin Yassin melakukan pengkhianatan dengan membawa Bersatu keluar daripada PH.

Maka gempak gempitalah arena politik negara dengan laungan, “pengkhianat”, “pintu belakang” dan “tebuk atap” manakala Mahathir disanjung sebagai seorang yang berprinsip kerana sanggup mengorbankan kedudukan demi tidak mahu mengkhianati kawan atas dasar “susah senang kita bersama.”

Namun semalam setelah sekian lama berdiam diri, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin muncul di ibu pejabat Bersatu, sejam selepas Mahathir yang digugurkan keahliannya bersama empat ahli Parlimen yang lain berada di situ menanti “beliau dipecat secara bersemuka” bukan melalui surat.

Dalam sidang medianya, Hamzah mendakwa, bekas Perdana Menteri itu berulang kali meminta pemimpin Bersatu mencari jalan meninggalkan PH.

Kata Hamzah, “Apa yang saya lakukan bukan untuk pecah-belahkan parti tapi untuk menentukan apa yang Tun (Dr Mahathir) sendiri mahu. Tun mahu supaya kalau boleh pemimpin-pemimpin Melayu Bersatu kembali. Itu saya lakukan… ada beberapa perkara dia minta saya lakukan.”

Malah Hamzah juga menjelaskan, bagaimana permintaan Mahathir itu telah disampaikan kepada pemimpin lain termasuk Datuk Seri Mukhriz, Muhyiddin dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Faizal Azumu dalam pertemuan yang diadakan di rumahnya.

“…nak cari jalan bagaimana untuk Bersatu keluar dari PH. Ini permintaan (Dr Mahathir) dan saya kata okay kita sama-samalah. The rest is history bila Tun letak jawatan,” kata Hamzah.

Lebih menarik perhatian, Hamzah turut mendakwa, “Tun minta saya bukan sahaja untuk kukuhkan Bersatu tapi kurangkan keyakinan rakyat terhadap DAP.”

Hamzah tampil bagi memperkukuhkan lagi dakwaan pelbagai pihak sebelum ini bahawa Mahathir sememangnya mahu Bersatu keluar daripada PH.

Sudah pasti Mahathir akan menafikan dakwaan ini, namun mengenali Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri, beliau bukanlah seorang ahli politik yang suka bercakap tanpa bukti atau bercakap sekadar mahu mencari publisiti, apatah lagi mahu ‘berhadapan’ dengan tokoh yang dianggap hebat seperti Mahathir.

Kita tidak pasti sampai bila Mahathir mahu terus bermain politik sehingga menggugat kestabilan politik negara yang ketika ini sedang berhadapan serangan wabak Covid-19, tetapi apa yang pasti semakin banyak bukti menjurus kepada beliau bertanggungjawab terhadap kejatuhan Kerajaan PH.

Daripada Mahathir menghabiskan masa untuk menjatuhkan Muhyiddin dan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan tindakan politik yang memualkan, lebih baik beliau menjawab dengan telus apa yang didakwa oleh Hamzah.

Advertisements

Sebagai seorang yang sudah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun dan 22 bulan, Mahathir tidak seharusnya menunjukkan sikap atau gelagat yang boleh merendahkan martabatnya dan lebih buruk lagi menampakkan beliau sudah ‘mati akal’ untuk menentang Muhyiddin.

Mahathir sepatutnya lebih berhemah berhadapan dengan penggugurannya supaya ahli-ahli politik muda termasuklah “yang baru belajar kacau bubur lambuk tanpa api’’ mencontohi apa yang beliau lakukan.

Sebagai pemimpin Melayu, Mahathir seharusnya mengajar mereka bagaimana menangani situasi krisis seperti itu secara berhemah dan beradab, bukannya datang ke ibu pejabat parti, selepas itu mencabar, bak kata orang “mai la pecat aku.”

Mahathir boleh melakukan apa sahaja tindakan yang beliau mahukan, tetapi jangan seret rakyat dalam ‘mainan politiknya’. Rakyat sudah bosan dan muak dengan gelagat politik pemimpin berusia 95 tahun itu.

Kita faham walaupun negara kini diancam Covid-19, pendapatan bulanan Mahathir dan penyokong-penyokong termasuk ahli Parlimen yang bersama beliau mungkin tidak akan terjejas, sebab itulah mereka boleh terus bermain politik, tetapi bagaimana rakyat marhaen?

Apa yang mereka dapat jika krisis politik berlaku lagi hanya disebabkan ada individu mahu kembali berkuasa atau mahu melihat kelompoknya berkuasa?

Faktanya, yang letak jawatan Mahathir, yang digugurkan keahlian daripada Bersatu Mahathir, yang ke sana ke sini nak jatuhkan Muhyiddin ialah Mahathir, kenapa pula mahu menyeret rakyat menanggung akibatnya?

Apapun penulis percaya dalam kalangan pemimpin PH pun mereka mulai ragui ketelusan politik Mahathir.

Sebab itulah Mahathir tak tahu atau buat-buat tak tahu siapa calon Perdana Menteri daripada PH. Mahathir kini sudah semakin meletakkan dirinya bagaikan ‘melukut di tepi gantang’.

Kepada pemimpin-pemimpin yang bersama Mahathir, silakan. Tidak salah untuk terus menyokong beliau kalau merasakan kekuatan politik kalian bergantung bekas Perdana Menteri itu.

Begitu juga Mahathir, silakan berpolitik tetapi jangan sesekali cuba menyeret rakyat yang sudah cukup sengsara mengharungi kehidupan demi ‘mencari sesuap nasi’ akibat ancaman Covid-19.

Jangan pula kalian membawa satu lagi ‘wabak’ yang akan menambah kesengsaraan mereka.

Jika itu berlaku, tidak bezanya kalian dengan “ayam jantan yang berkokok berderaui-derai tapi ekor bergelumang dengan najis.”

  • Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.
Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan