30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Covid-19: Sektor penerbangan jatuh mendadak pada Mac

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menyifatkan Mac sebagai bulan bencana kepada industri penerbangan berikutan permintaan yang diukur daripada penumpang mengikut kilometer (RPK) jatuh mendadak 52.9 peratus berbanding tahun lepas.

Ini merupakan penurunan yang terbesar dalam sejarah, mencerminkan impak daripada langkah kerajaan untuk memperlahankan penularan Covid-19, kata IATA yang mewakili 290 syarikat penerbangan yang terdiri daripada 82 peratus trafik udara global.

Bagi data pelarasan musim, jumlah penumpang global kembali kepada paras yang kali terakhir dilihat pada 2006.

Kapasiti Mac (tempat duduk tersedia mengikut kilometer (ASK) susut 36.2 peratus dan faktor muatan jatuh mendadak 21.4 mata peratusan kepada 60.6 peratus, kata IATA dalam kenyataan hari ini.

“Mac merupakan bulan bencana bagi penerbangan. Syarikat penerbangan secara progresif merasakan peningkatan impak daripada penutupan sempadan dan sekatan pergerakan berikutan COVID-19, termasuk di pasaran domestik.

“Permintaan berada pada paras yang sama seperti 2006, namun kami mempunyai pesawat dan pekerja untuk menggandakannya. Lebih memburukkan apabila kita tahu keadaan semakin merosot pada April dan kebanyakan isyarat menuju ke arah pemulihan yang perlahan,” kata Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif IATA, Alexandre de Juniac.

Permintaan penumpang antarabangsa bagi Mac 2020 menguncup 55.8 peratus berbanding Mac 2019.

Ia lebih buruk berbanding penurunan 10.3 peratus tahun ke tahun pada Februari.
Semua rantau merekodkan penyusutan peratusan trafik dua angka. Kapasiti merosot 42.8 peratus dan faktor muatan menjunam 18.4 mata peratusan kepada 62.5 peratus, jelas IATA.

“Syarikat penerbangan Asia Pasifik mendahului penurunan itu memandangkan trafik Mac jatuh 65.5 peratus berbanding tahun lepas, iaitu melebihi dua kali ganda penurunan 30.7 peratus pada Februari. Kapasiti turun 51.4 peratus dan faktor muatan jatuh 23.4 mata peratusan kepada 57.1 peratus,” katanya.

Permintaan bagi perjalanan domestik menguncup 47.8 peratus pada Mac berbanding Mac 2019 dengan peratusan penurunan dua angka di seluruh pasaran.
Ia berbanding kejatuhan 21. 3 peratus tahun ke tahun pada Februari. Kapasiti susut 24.5 peratus dan faktor muatan menjunam 26.0 mata peratusan kepada 58.1 peratus. – Bernama

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan