29.4 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Golongan tercicir rayu benarkan pengeluaran Akaun 1 KWSP

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

WALAUPUN ramai rakyat yang merayu agar mereka dibenarkan untuk mengeluarkan sebahagian dana Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), sehingga kini masih belum ada maklum balas daripada kerajaan.

Suara rakyat itu pernah dilaporkan dalam portal Cari melalui artikel bertajuk Rakyat Semakin Terhimpit, Rayu Kerajaan Benarkan Pengeluaran Akaun 1 KWSP pada 21 April 2020.

Rayuan pencarum KWSP yang kini hidup dalam kesempitan turut dicoretkan dalam blog Tukang Tulis menerusi catatan bertajuk Wajarkah Kerajaan Benarkan Pengeluaran Wang Akaun 1 KWSP Untuk Bayar Sewa Rumah? pada 25 April 2020.

Tidak dinafikan, keputusan kerajaan membenarkan pengeluaran di bawah skim i-Lestari dengan jumlah maksimum RM6,000 selama setahun dari Akaun 1 KWSP membolehkan ramai pencarum menarik nafas lega.

Kredit: Facebook KWSP

Sekurang-kurangnya wang RM500 sebulan hasil penat lelah mereka bekerja boleh digunakan untuk menampung perbelanjaan asas semasa penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun, masih ada golongan yang tertinggal kerana sebahagian daripada pencarum tidak mempunyai baki yang mencukupi dalam Akaun 2.

Sebelum ini, mereka telah membuat pengeluaran untuk tujuan pembelian rumah, menampung kos perubatan atau membiayai pendidikan anak-anak.

Difahamkan, mereka perlu menunggu sehingga umur 55 tahun untuk membuat pengeluaran penuh atau bulanan dari Akaun 1.

Dalam situasi yang normal, mereka pasti tidak ada masalah menunggu sehingga lima tahun lagi.

Kita semua tahu bahawa pandemik COVID-19 telah mengubah definisi ‘normal’ dan memerlukan rakyat melakukan pengubahsuaian demi kelangsungan hidup masing-masing.

Hakikatnya, ramai yang tidak bersedia untuk menangani kesan ekonomi akibat COVID-19.

Gambar hiasan. (Kredit: Inzmam Khan / Pexels)

Ada yang hilang pekerjaan malah sebahagian daripada mereka memang bergelar penganggur sebelum COVID-19 melanda.

Lebih malang lagi, mereka tidak menerima sepenuhnya bayaran pampasan atau tidak diberi pampasan langsung apabila syarikat tiba-tiba gulung tikar.

Bagi yang masih muda, mereka masih ada peluang untuk mencari pekerjaan di tempat lain.

Sebaliknya, mereka yang berumur lebih 40 tahun agak sukar mencari pekerjaan baharu kerana kebanyakan majikan lebih suka mengambil pekerja yang kurang pengalaman supaya dapat dibayar gaji yang lebih rendah.

Dalam kepayahan, golongan penganggur matang ini memilih untuk bekerja sendiri dengan menjadi berniaga atau menawarkan kepakaran sebagai pekerja bebas.

Seperti sudah jatuh ditimpa tangga, sumber pendapatan golongan ini terjejas teruk selepas PKP dikuatkuasakan dan mereka juga telah bergolok-gadai dan mengeluarkan wang simpanan yang tidak seberapa.

Maka, besarlah harapan mereka agar kerajaan membenarkan mereka mengeluarkan sebahagian wang Akaun 1 kerana itu sahaja simpanan mereka yang masih ada.

Pencarum faham bahawa KWSP mempunyai kekangan untuk membenarkan pengeluaran wang Akaun 1 yang dikhususkan untuk kegunaan selepas persaraan.

Cuma dalam situasi yang sangat mendesak ketika ini, KWSP seharusnya bersikap lebih fleksibel kerana ramai pencarum yang terpaksa bersara lebih awal sebelum waktunya.

Terserahlah kepada kebijaksanaan kerajaan untuk menentukan syarat-syarat pengeluaran sekiranya pengeluaran Akaun 1 khusus untuk menangani kesan COVID-19 diluluskan.

Apa yang pasti, golongan pencarum yang tercicir ini amat mengharapkan Perdana Menteri kita yang prihatin, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan sesuatu yang menggembirakan sebelum Aidilfitri tiba. – Edisi 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan