33.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Menteri, bekas menteri ‘bergasak’ harga tiket tetap tinggi

Mereka 'bergasak' soal jenis penerbangan ekonomi atau perniagaan sedangkan masalah pokoknya tidak pula dilihat untuk diselesaikan.

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

APABILA Menteri Pengangkutan dan bekas menteri berkenaan ‘bertikam lidah’ soal tiket penerbangan Kuala Lumpur-Tawau yang dikatakan mencecah RM3,000 sehala, ramai yang ternganga.

Masakan tidak, walaupun isu tiket penerbangan itu mendapat perhatian bekas menteri, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang kemudian ditanggapi oleh menteri sekarang, Anthony Loke Siew Fook namun ia tidak menyelesaikan isu tersebut.

Ini kerana apabila Ka Siong membangkitkan soal tiket penerbangan Malaysia Airlines (MAS) ke destinasi tersebut yang mencapai RM3,000, Loke mendakwa itu adalah tiket bagi kelas perniagaan.

Namun, Ka Siong menegaskan, ia adalah tiket kelas ekonomi berdasarkan semakan pada laman web tempahan tiket penerbangan yang ada di internet.

Kemuncaknya, Loke mengajak Ka Siong sama-sama menyaksikan sendiri penerbangan pesawat ke Tawau di KLIA, Khamis ini. Dua-dua tak mahu kalah!

Sama ada tiket itu kelas perniagaan atau ekonomi, persoalan yang timbul adalah kenapa tiket penerbangan domestik sangat tidak masuk akal ketika musim perayaan?

Semakan harga tiket penerbangan KL-Tawau menerusi laman web MAS bagi tarikh 21 April 2023.

Semakan penulis hari ini menerusi laman web MAS mendapati tiket penerbangan ke Tawau bagi tarikh 18 hingga 21 April adalah RM2,030 sehala (ekonomi dan perniagaan – bergantung masa)

Harga tersebut jauh lebih tinggi berbanding di luar musim perayaan iaitu antara RM320 hingga RM714 (hari biasa) atau antara RM950 hingga RM900 pada hujung minggu.

Dengan harga tiket RM2,000 hingga RM3,000 (malah ada masanya sampai RM4,000) untuk ke Tawau, pada harga yang hampir sama mereka boleh terbang sehingga ke Sydney, Taipei atau Tokyo.

Kenapa ini terjadi? Kenapa MAS selaku penerbangan milik negara begitu ‘cekik darah’ rakyat sendiri yang mahu pulang ke kampung halaman di dalam negeri bagi meraikan Aidilfitri?

Ini persoalan yang rakyat mahu tahu, bukan isu jenis tiket penerbangan – ekonomi atau perniagaan – seperti polemik yang tercetus oleh menteri dan bekas menteri berkenaan.

Sebagai penumpang, rakyat memahami perkhidmatan yang diberikan oleh MAS tidak sama dengan syarikat penerbangan tambang murah namun kalau nak dibandingkan dengan hari biasa, peningkatan harganya berganda-ganda.

Mentang-mentang musim perayaan, rakyat terdesak untuk balik kampung sehingga sanggup mendapatkan tiket walaupun dengan harga yang begitu tinggi.

Penulis tidak dapat bayangkan jika seorang pun perlu berbelanja sehingga RM2,000 sehala untuk ke Tawau, bayangkan pula jika mereka ada keluarga yang perlu dibawa bersama.

Dalam soal ini, Malaysia Airlines Berhad (MAB) selaku syarikat penerbangan negara tidak sepatutnya menangguk di air yang keroh apabila menaikkan tambang berkali ganda pada musim perayaan dan ketika permintaan tinggi.

Sedangkan pada hari bukan perayaan mereka boleh menawarkan tiket serendah RM300 yang sudah tentu permintaannya lebih rendah berbanding musim perayaan.

Apakah MAB pun jenis berniaga ‘mengaut keuntungan’ sebanyak mungkin daripada rakyat sendiri pada musim perayaan bagi menampung kekurangan penumpang di luar musim perayaan?

Jadi bagi penulis, kerajaan perlu mengkaji balik kadar tiket penerbangan domestik walaupun merentas lautan, agar tidak membebankan rakyat sendiri.

Mereka, kalau ada pilihan lain seperti pengangkutan darat, sudah tentu tidak akan menggunakan kapal terbang untuk balik kampung. Dan mereka bukannya golongan T20 yang naik kapal terbang macam naik bas.

Sebab itulah, jika perlu berikan subsidi bagi mengelak kerugian di pihak MAS, keluarkanlah. Kalau tidak banyak, sedikit. Sekurang-kurangnya rakyat merasai mereka dibela.

Ini tidak, mereka ‘bergasak’ soal jenis penerbangan ekonomi atau perniagaan sedangkan masalah pokoknya tidak pula dilihat untuk diselesaikan.

Lastik! – Balik kampung naik bas

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan