25.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 2, 2024

2 rakan dipenjara ingkar PKP, ceroboh kedai

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Dua rakan masing-masing dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Selayang di sini, hari ini, kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dengan keluar rumah dan menceroboh sebuah kedai, Selasa lalu.

Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman itu terhadap pekerja kontrak, M.Saravanan, 33, dan kelindan lori, Sivanathan, 25, selepas mereka mengaku bersalah atas semua pertuduhan itu.

Kedua-dua tertuduh dihukum penjara empat bulan bagi pertuduhan melanggar PKP, enam bulan kerana menceroboh kedai dengan membawa pemotong besi, pemutar skru dan spanar boleh laras dan penjara dua bulan atas kesalahan tidak membawa kad pengenalan diri.

Nik Mohd Fadli memerintahkan semua hukuman itu berjalan serentak dari tarikh tangkap pada Selasa lalu. Tertuduh akan menjalani hukuman penjara selama enam bulan.

Mereka didakwa bersama-sama menceroboh kedai dengan bersembunyi dalam kedai milik Lai Kong Kuen ,57, di Jalan Bandar Rawang, daerah Gombak, dekat sini, pada jam 5 pagi, Selasa lalu.

Advertisements

Mereka didakwa mengikut Seksyen 453 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda dan bagi setiap kesalahan kali kedua atau seterusnya, mereka hendaklah diseksa dengan penjara dan boleh juga dikenakan denda atau sebatan.

Saravanan dan Sivanathan mengaku bersalah ingkar PKP iaitu dengan sengaja berada dalam kawasan tempat jangkitan tanpa alasan munasabah pada tempat, masa dan tarikh sama mengikut mengikut Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Peraturan itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.

Mereka juga tidak membawa kad pengenalan pada tempat, masa dan tarikh sama mengikut Peraturan 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan boleh dihukum di bawah peraturan sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau dengan denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, M.S Arunjothy memohon hukuman berat terhadap kedua-dua tertuduh.

“Kedua-dua tertuduh mempunyai rekod jenayah lampau dan mereka juga telah ingkar PKP serta tidak berada di rumah semasa tempoh PKP ini,”katanya.

Peguam M.Mariappan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon hukuman denda minimum kerana kedua-dua anak guamnya telah menyesal atas perbuatan itu. – Bernama

Advertisements

Terkini

Wanita perlu jaga darjat, jangan bergaduh kerana ‘buaya’

USAHAWAN selebriti, Datin Thalia Baiduri menitip pesan kepada semua wanita agar sentiasa menjaga darjat serta nilai diri masing-masing. Baginya tidak perlu...

Lagi Artikel Berkaitan