29.2 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 19, 2024
Home Blog Page 780

Anwar hargai kesudian Ismail Sabri bertemunya

0

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan penyandang jawatan itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di pejabatnya di Perdana Putrajaya, petang semalam.

Dalam pertemuan empat mata itu, mereka saling bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu semasa.

Ismail Sabri menjawat jawatan Perdana Menteri bermula 21 Ogos 2021 sehingga Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober 2022. Beliau kemudian menjadi Perdana Menteri Caretaker sehingga pelantikan Anwar.

Perdana Menteri berkata, beliau menghargaai kesudian Ahli Parlimen Bera yang juga Naib Presiden UMNO untuk bertemu dan bertukar-tukar pandangan berkaitan pelbagai isu semasa.

“Saya juga nyatakan penghargaan kepada beliau atas dukungan dan sokongan yang diberikan,” katanya menerusi Facebook beliau malam tadi.

Pertemuan Anwar dengan Ismail Sabri adalah yang pertama selepas beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, Barisan Nasional (BN) menamakan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri sekiranya parti itu menang pilihan raya.

Bagaimanapun, keputusan PRU15 pada 19 November lalu menyaksikan BN hanya menang 30 kerusi Parlimen.

BN kemudiannya memutuskan untuk bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) dalam membentuk Kerajaan Perpaduan. – Edisi 9

Stor sisa pukal blok utara Kementerian Kewangan terbakar

0

STOR sisa pukal dan penyelenggaraan di blok utara, Level G Kementerian Kewangan (MOF) di Putrajaya dilaporkan terbakar, petang tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Putrajaya, berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 2.34 petang sebelum tiga jentera dengan 23 anggota tiba di lokasi kejadian pada pukul 2.41 petang.

Menurutnya, kebakaran disedari seorang kakitangan MOF yang berada di ruang parkir aras berkenaan.

“Kebakaran turut dikesan oleh Sistem Pepasangan Keselamatan Kebakaran (PKK) jenis ‘pengesan asap’ yang menyebabkan penggera berbunyi.

“Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) premis berkenaan berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke stor bersebelahan dengan menggunakan lapan unit Alat Pemadam Api jenis Debu Kering.

“Anggota dan jentera yang tiba kemudian meneruskan pemadaman hingga dipadamkan sepenuhnya pada jam 3.39 petang,” katanya, hari ini.

Bomba berkata, kebakaran menyebabkan ruangan terbabit dipenuhi asap tebal dan pengudaraan menggunakan kipas extractor dilakukan bagi mengeluarkan asap yang memenuhi ruangan stor itu.

“Pasukan melaksanakan tindakan overhaul bagi memastikan tiada lagi sumber api yang mungkin wujud di tempat kejadian sebelum menamatkan operasi,” katanya.

Menurutnya, Bahagian Penyiasatan Kebakaran JBPM Putrajaya dan Unit Pengesan K9 turut digunakan bagi melaksanakan siasatan mengenal pasti sumber nyalaan yang menjadi punca kebakaran selain anggaran kerugian.

“Tiada mangsa terbabit dalam kejadian itu,” katanya.

-EDISI9

SPRM buka kertas siasatan isu dana RM600 bilion

0

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka kertas siasatan berhubung isu dana RM600 bilion yang didakwa diseleweng kerajaan terdahulu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Bagaimanapun, tidak mendedahkan butiran lanjut berhubung siasatan yang sedang dilaksanakan agensi berkenaan.

“Ya, SPRM ada membuka kertas siasatan berhubung isu ini,” katanya ringkas.

Kontroversi mengenai penggunaan dana kecemasan berjumlah lebih RM600 bilion ketika negara berdepan pandemik COVID-19 pernah dibangkitkan oleh bekas Ketua Menteri Melaka Adly Zahari pada 15 November lepas.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada agensi berkaitan untuk menyiasat isu dana RM600 bilion yang didakwa diseleweng kerajaan terdahulu.

Menurut Anwar, Kementerian Kewangan telah memaklumkan beberapa pelanggaran melibatkan isu itu.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilapor berkata beliau tidak takut disiasat susulan dakwaan penyelewengan dana kerajaan berjumlah RM600 bilion ketika mengetuai pentadbiran sebelum ini.-BERNAMA

PM yakin syarikat tempatan mampu bersaing di peringkat global

0

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menaruh sepenuh keyakinan bahawa syarikat-syarikat serta bakat tempatan mampu menerajui serta meneroka idea dan peluang untuk bersaing di peringkat global.

Beliau berkata, pemeteraian kerjasama antara Petronas dan Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC) merupakan cerminan untuk membina hubungan antarabangsa yang lebih jitu.

“Dalam masa sama menjalin kerjasama strategik dengan pelbagai negara tatkala dunia sedang dalam pemulihan pasca-COVID-19 dan ketidaktentuan ekonomi global

“Saya menyambut baik perjanjian bersejarah antara Petronas dan Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC) untuk meneroka dan menilai Unconventional Onshore Block 1 di Abu Dhabi.

“Saya menjunjung kasih atas peranan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menjadi tenaga pendorong utama kepada kejayaan usaha ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Pemeteraian perjanjian antara Petronas dan ADNOC berlangsung di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) disaksikan sendiri oleh Al-Sultan Abdullah serta Presiden UAE, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Perjanjian tersebut melibatkan kerjasama dalam meneroka dan menilai Unconventional Onshore Block 1 yang meliputi kawasan konsesi seluas 2,000 kilometer persegi di wilayah Al Dhafra untuk tempoh 30 tahun. – Edisi 9

Cubaan seludup 8,000 liter minyak diesel tumpas

CUBAAN sebuah bot nelayan menyeludup minyak diesel dengan mengubah suai ruang tangki minyak di bawah rumah kemudi tumpas apabila ditahan pihak berkuasa di perairan Kuala Perlis malam tadi.

Penahanan tersebut dilakukan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Kuala Perlis pada kedudukan lebih kurang 1.2 batu nautika dari barat muara Kuala Perlis, jam 8.30 malam.

Menurut Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim bin Mat Zain, tangkapan adalah hasil maklumat risikan dan intipan yang dilakukan oleh Unit Risik Zon Maritim Kuala Perlis (ZMKP).

“Bot nelayan kelas C tersebut ditahan pada kedudukan lebih kurang 1.2 batu nautika dari barat muara Kuala Perlis, Perlis ketika bot ronda Maritim Malaysia sedang dalam rondaan Op Aman.

“Ketika pemeriksaan dilakukan, bot terbabit dikendalikan oleh tekong dan dua awak-awak kesemuanya warga tempatan yang berumur dalam lingkungan 22 hingga 38 tahun.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas bot mendapati, bot tersebut telah diubah suai dengan menambah ruang tangki minyak di bawah rumah kemudi yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran,” katanya di sini.

Beliau berkata, anggaran nilai minyak diesel yang dirampas adalah sebanyak 8,000 liter dengan nilai RM 16,000.

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk sebuah bot, enjin, dan minyak diesel sekitar RM216,000,” katanya.

Ujar beliau, kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana mengubahsuai tangki minyak tambahan tanpa kebenaran dan melanggar syarat sah lesen dan Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana cubaan menyeludup keluar minyak diesel bersubsidi.

“Bot, hasil tangkapan dan kesemua mereka, tersebut dibawa masuk ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, orang ramai dan persatuan-persatuan nelayan diseru untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat dan melaporkan aktiviti penyeludupan yang berlaku bagi membanteras penyeludupan minyak diesel bersubsidi.

“Sebarang aduan di perairan Perlis, boleh disalurkan ke talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi ZMKP 04-9851072 atau 04-9851162,” katanya. – Edisi 9

Agong main peranan kerjasama Petronas, ADNOC – Ismail Sabri

0

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memainkan peranan penting dalam menjayakan projek kerjasama bersejarah antara Petronas dan Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC).

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana projek tersebut telah dirintis oleh Seri Paduka Baginda melalui perbincangan awal dengan Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan.

Beliau berkata, semasa lawatan rasmi ke Abu Dhabi September lalu, ADNOC telah memberikan taklimat mengenai kerjasama tersebut meneroka sektor minyak dan gas serta tenaga boleh diperbaharui.

“Perkara ini juga telah dibincangkan dengan lebih mendalam ketika pertemuan empat mata di antara saya dan Sheikh Mohamed. Baginda bersetuju supaya projek ini dipercepatkan.

“Tanpa hubungan yang erat antara Seri Paduka Baginda dan Presiden UAE, projek ini tidak akan menjadi kenyataan,” katanya hari ini.

Beliau mengulas perjanjian yang ditandatangani antara Petronas Abu Dhabi Sdn Bhd, syarikat milik Petronas dengan ADNOC di Abu Dhabi, UAE semalam.

Kerjasama itu melibatkan penerokaan dan penilaian Unconventional Onshore Block 1 yang meliputi kawasan konsesi seluas 2,000 kilometer persegi di wilayah Al Dhafra, UAE.

Majlis bersejarah itu turut disaksikan oleh Al-Sultan Abdullah dan Sheikh Mohamed.

Mengulas kerjasama Malaysia-UAE, Ismail Sabri berkata, semasa pentadbiran Kerajaan Keluarga Malaysia, kedua-dua negara telah bersetuju untuk meningkatkan hubungan sedia ada kepada Perkongsian Strategik.

“Saya memberikan perhatian yang serius untuk memperkukuhkan hubungan dua hala di antara kedua-dua negara dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, pelaburan dan perdagangan, tenaga boleh diperbaharui, sekuriti makanan serta minyak dan gas,” kata beliau.

Ahli Parlimen Bera itu berkata, perdagangan antara Malaysia dan UAE juga telah meningkat sebanyak 90.4 peratus untuk lapan bulan pertama 2022 iaitu AS$6.14 bilion (RM25.60 bilion).

-EDISI9

Najib gagal ketepikan injunksi ‘mareva’ bagi kes saman SRC

DATUK Seri Najib Tun Razak gagal mengetepikan injunksi mareva yang diperoleh SRC International Sdn Bhd dan anak syarikatnya untuk menghalang beliau daripada memindahkan atau melupuskan mana-mana asetnya berjumlah RM42 juta.

Keputusan itu dibuat panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Yaacob Md Sam, Datuk P. Ravinthran dan Datuk Seri Mariana Yahya.

Mahkamah turut memerintahkan bekas perdana menteri itu membayar kos RM15,000.

Yaacob berkata, Mahkamah Rayuan tidak perlu campur tangan kerana Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi tidak silap dalam memberikan injunksi mareva tersebut.

Beliau berkata, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Arief Emran Arifin telah mempertimbangkan undang-undang dan menganalisis bukti yang terdapat dalam afidavit syarikat sebelum membenarkan injunksi mareva itu.

Hakim itu kemudiannya mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memberikan injunksi mareva kepada SRC International dan Gandingan Mentari Sdn Bhd untuk menghalang Najib daripada memindahkan atau melupuskan mana-mana asetnya berjumlah RM42 juta.

Injunksi mareva merupakan perintah sementara yang menghalang defendan daripada melupuskan aset sehingga keputusan dicapai dalam kes antara plaintif dan defendan.

Pada 24 Mac lepas, mahkamah memberikan injunksi mareva kepada syarikat-syarikat itu dan mengarahkan Najib supaya tidak memindahkan, melupuskan, berurusan atau mengurangkan nilai mana-mana aset mereka di dalam dan di luar Malaysia bernilai sehingga RM42 juta, sementara menunggu penyelesaian tuntutan mahkamah mereka yang telah mereka failkan terhadapnya.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu hanya layak mengeluarkan RM100,000 sebulan untuk perbelanjaan sara hidup dan bayaran yuran guaman.

Ini mendorong Najib memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

SRC International dan Gandingan Mentari memfailkan saman terhadap Najib tahun lepas, mendakwa beliau telah melakukan pecah amanah, menyalahgunakan kuasanya, mendapat manfaat secara peribadi daripada dana SRC International dan menyalahgunakan dana tersebut.

Najib, 69, kini menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan pada Ogos lepas mengekalkan sabitan dan hukuman penjara serta denda RM210 juta kerana menyalahgunakan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Dalam prosiding yang dijalankan secara dalam talian hari ini, Najib diwakili peguam Harvinderjit Singh, Muhammad Farhan Muhammad Shafee dan Mohammad Arfan Wan Othman manakala peguam Nagarajah Muttiah dan Clament Tay mewakili syarikat-syarikat tersebut. – BERNAMA

Bekas Ahli Parlimen Muar meninggal dunia hari ini

0

BEKAS Ahli Parlimen Muar, Tan Sri Abdul Aziz Yasin, 90, menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Kuala Lumpur kira-kira 10.30 pagi ini akibat sakit tua.

Berita berkenaan dikongsikan sendiri oleh adiknya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Ahli Parlimen Pagoh dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

“Saya dan keluarga merasa sungguh dukacita dengan pemergian kakanda saya Tan Sri Abdul Aziz Yasin hari ini.

“Saya kehilangan seorang abang yang banyak membantu kehidupan saya di zaman muda dan sentiasa memberi sokongan kepada saya selama ini.

“Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham, diampunkan dosa-dosanya dan ditempatkan Allahyarham dalam kalangan orang soleh. Al- Fatihah,” katanya.

FOTO: Facebook Muhyiddin Yassin

Abdul Aziz menjadi Ahli Parlimen Muar selama satu penggal pada 1995 hingga 1999.

Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) tahun 1995, Allahyarham yang mewakili Barisan Nasional (BN) menewaskan Zawawi Mohd Zain dari Semangat 46 dengan majoriti 9,843 undi.

Allahyarham juga merupakan Yang Dipertua Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) pada 2009 dan Yang Dipertua MUBARAK Wilayah Persekutuan dari 2014 hingga 2019.

Import telur atasi kekurangan bekalan – Mat Sabu

0

KEMENTERIAN Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah mengenal pasti beberapa sumber dari luar untuk menampung keperluan bekalan telur dalam negara dengan kadar segera bagi keterjaminan bekalan tersebut di pasaran.

Menterinya, Mohamad Sabu berkata, bagi pelan jangka pendek berkenaan, kementerian akan memastikan telur ayam yang diterima selamat daripada penyakit dan menepati piawaian yang ditetapkan.

Menurut beliau, segala protokol dan tatacara yang ditetapkan Kerajaan bagi tujuan membawa masuk keperluan tersebut perlu dipatuhi tanpa kompromi.

“Inisiatif membawa masuk telur ayam dari sumber luar bukan untuk menekan pengusaha industri telur ayam tempatan, sebaliknya bagi memastikan bekalan telur ayam dalam negara tidak terputus dan kebajikan rakyat terjaga.

“Keperluan membawa masuk telur ayam dari sumber luar juga akan dikaji semula setelah bekalan telur ayam kembali stabil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikan susulan sidang media Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam berkenaan keterjaminan bekalan telur ayam dalam negara.

Ujar Mohamad lagi, kementerian menyedari keperluan bekalan telur ayam yang merupakan makanan seharian berprotein yang popular di kalangan rakyat Malaysia dengan kadar penggunaan purata telur ayam sebanyak 968 juta biji sebulan.

“Saya juga telah meminta Ketua Setiausaha Kementerian untuk melihat impak mengimport telur ayam dari sumber luar kepada industri telur ayam tempatan sedia ada, dan Agrobank untuk mengemukakan cadangan bagi membantu pembekal dan pengusaha kecil supaya mereka kekal berdaya saing dalam industri ini.

Menurut beliau, kementerian sentiasa berusaha dengan pelbagai pendekatan bagi menjamin bekalan telur ayam negara kembali stabil dengan harga yang kompetitif.

“Kementerian yakin isu kekurangan bekalan telur ayam dapat diselesaikan dalam masa terdekat dengan kerjasama pelbagai pihak,” katanya.

-EDISI9

Muhyiddin belanja wang KWSP untuk rakyat – Anwar

0

PERBELANJAAN kerajaan Perikatan Nasional (PN) semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk rakyat sebahagian besarnya diambil daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu diperoleh selepas meneliti dokumen-dokumen berhubung kontroversi perbelanjaan RM580 bilion hingga RM600 bilion yang dimainkan semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, setelah diteliti sejumlah besar daripada wang tersebut adalah daripada KWSP, iaitu wang simpanan hari tua rakyat sendiri dan juga untuk moratorium bank.

“Namun, ada beberapa puluh bilion yang lain yang menunjukkan ada pelanggaran peraturan.

“Justeru, kepada Tan Sri Muhyiddin, jangan cabar kerajaan kerana ada beberapa peraturan dan prosedur yang tidak dipatuhi serta ada beberapa syarikat berkepentingan melibatkan keluarga turut terpalit,” katanya hari ini.

Sebelum itu Anwar memasuki pejabatnya di Bangunan Perbendaharaan Malaysia, Putrajaya sebelum mempengerusikan mesyuarat bersama para pegawai kementerian.

Semalam, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri tampil menjawab tuduhan penyelewengan dana kerajaan sebanyak RM600 bilion sehingga laporan polis dibuat terhadapnya.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, beliau tidak pasti daripada mana angka tersebut dipetik tetapi dipercayai berkaitan lapan Pakej Rangsangan Ekonomi bernilai RM530 bilion yang dilaksana semasa beliau menjawat jawatan Perdana Menteri.

Beliau berkata, pakej-pakej rangsangan ekonomi itu dilaksanakan bagi membantu rakyat dan perniagaan yang terjejas semasa tempoh pandemil Covid-19.

Sementara itu, Anwar berkata, kerajaan juga akan menyemak semula peruntukan RM7 bilion yang diluluskan kerajaan lalu daripada RM15 bilion bagi projek tebatan banjir.

Beliau berkata, ini kerana beliau mendapati peruntukan itu dilulusjan tanpa proses mengikut peraturan.

“Saya akan pastikan perkara tersebut tidak diteruskan supaya prinsip ketelusan serta peraturan dipatuhi,” kata beliau.

Mengenai Belanjawan 2023, Perdana Menteri berkata, belanjawan baharu akan dibahaskan pada tahun hadapan bersekali dengan pembukaan penggal baharu Dewan Rakyat yang akan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, belanjawatan itu akan diberi nafas serta pendekatan baharu yang akan mencakup persoalan kemiskinan, kesenjangan serta langkah-langkah khusus dalam memastikan iklim yang lebih segar bagi menggalakkan pelaburan, memulihkan keyakinan serta memacu pertumbuhan ekonomi. – Edisi 9

Jualan Proton 126,682 unit, meningkat 10.4 peratus

0

PROTON Holdings Bhd (Proton) berjaya mencatat jualan sebanyak 126,682 unit setakat tahun ini iaitu 10.4 peratus lebih tinggi berbanding 114,708 unit jualan bagi keseluruhan 2021.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Roslan Abdullah berkata, November terbukti menjadi bulan penuh peristiwa bagi Proton apabila pengeluar kereta nasional itu mengalami isu bekalan sementara yang menyebabkan jualan susut sebanyak 13.1 peratus kepada 11,316 unit berbanding Oktober.

“Kami yakin dapat memperbetulkan semula keadaan pada Disember dan mengakhiri 2022 dengan pertumbuhan jualan bagi tahun keempat berturut-turut,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Proton telah menetapkan sasaran jualan sebanyak 150,000 unit bagi 2022.

Roslan berkata, sejajar dengan pengenalan model baharu yang dirancang untuk 2023, Proton berharap dapat meningkatkan sumbangannya kepada ekonomi Malaysia dengan mencatat lebih banyak pelaburan tempatan, menjual lebih banyak kenderaan dan mengembangkan lagi pasaran eksport.

Dalam pada itu, Proton baru-baru ini meraikan pengeluaran enjin 1.5 TGDI ke-10,000 di barisan pemasangan enjin Tanjung Malim baharunya pada 1 Disember lepas.

Pencapaian tersebut hanya mengambil masa selama tujuh bulan selepas pengeluaran unit pertama pada April tahun ini.

“Barisan enjin baharu Proton ini menjadi bukti ketabahan dan keazaman pekerja kami untuk mengatasi halangan dan mencapai matlamat.

“Pada 2023, kami menyasarkan pengeluaran sebanyak 60,000 enjin yang akan digunakan dan merentasi beberapa model Proton,”kata Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Li Chunrong.- BERNAMA

PN umum Ketua Pembangkang sebelum 19 Disember

0

NAMA Ketua Pembangkang daripada Perikatan Nasional (PN) akan diumumkan sebelum 19 Disember ini.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, calon Ketua Pembangkang itu telah dipersetujui dan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi yang diadakan dua hari lalu.

Kita sudah mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi PN dua hari lepas dan sudah buat keputusan.

“Kita akan umumkan sebelum 19 Disember ini,” katanya seperti dilapor Astro AWANI hari ini.

Semalam, Timbalan Presiden PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang memaklumkan gabungan parti berkenaan sudah melantik Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, beliau yang juga Presiden Pas tidak memaklumkan siapa individu yang telah dilantik dan meminta menunggu kenyataan rasmi daripada PN.

Pada 1 Disember lalu, Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin memaklumkan sidang Parlimen Ke-15 akan diadakan pada 19 dan 20 Disember ini.

Agenda utama persidangan Dewan Rakyat pertama selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) itu bagi pemilihan Yang Dipertua Dewan serta majlis angkat sumpah ahli-ahli Parlimen.

Selain itu, Dewan Rakyat juga akan membuat pemilihan bagi timbalan-timbalan Yang Dipertua di samping usul percaya kepada Perdana Menteri disenaraikan pada perkara kelapan agenda mesyuarat.

“Bagi urusan-urusan Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama, Parlimen ke-15, pertanyaan-pertanyaan bagi jawapan lisan dan jawapan bertulis, pertanyaan-pertanyaan menteri serta usul tidak perlu dikemukakan,” katanya dalam notis mesyuarat. – Edisi 9