24.8 C
Kuala Lumpur
Friday, February 3, 2023

Najib gagal ketepikan injunksi ‘mareva’ bagi kes saman SRC

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

DATUK Seri Najib Tun Razak gagal mengetepikan injunksi mareva yang diperoleh SRC International Sdn Bhd dan anak syarikatnya untuk menghalang beliau daripada memindahkan atau melupuskan mana-mana asetnya berjumlah RM42 juta.

Keputusan itu dibuat panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Yaacob Md Sam, Datuk P. Ravinthran dan Datuk Seri Mariana Yahya.

Mahkamah turut memerintahkan bekas perdana menteri itu membayar kos RM15,000.

Yaacob berkata, Mahkamah Rayuan tidak perlu campur tangan kerana Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi tidak silap dalam memberikan injunksi mareva tersebut.

Beliau berkata, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Arief Emran Arifin telah mempertimbangkan undang-undang dan menganalisis bukti yang terdapat dalam afidavit syarikat sebelum membenarkan injunksi mareva itu.

Hakim itu kemudiannya mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memberikan injunksi mareva kepada SRC International dan Gandingan Mentari Sdn Bhd untuk menghalang Najib daripada memindahkan atau melupuskan mana-mana asetnya berjumlah RM42 juta.

Baca juga:   'Buat masa ini saya sihat, baik, tenang' - Najib

Injunksi mareva merupakan perintah sementara yang menghalang defendan daripada melupuskan aset sehingga keputusan dicapai dalam kes antara plaintif dan defendan.

Pada 24 Mac lepas, mahkamah memberikan injunksi mareva kepada syarikat-syarikat itu dan mengarahkan Najib supaya tidak memindahkan, melupuskan, berurusan atau mengurangkan nilai mana-mana aset mereka di dalam dan di luar Malaysia bernilai sehingga RM42 juta, sementara menunggu penyelesaian tuntutan mahkamah mereka yang telah mereka failkan terhadapnya.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu hanya layak mengeluarkan RM100,000 sebulan untuk perbelanjaan sara hidup dan bayaran yuran guaman.

Baca juga:   Pemuda UMNO desak kerajaan tubuh RCI siasat Tabung Haji

Ini mendorong Najib memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

SRC International dan Gandingan Mentari memfailkan saman terhadap Najib tahun lepas, mendakwa beliau telah melakukan pecah amanah, menyalahgunakan kuasanya, mendapat manfaat secara peribadi daripada dana SRC International dan menyalahgunakan dana tersebut.

Najib, 69, kini menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan pada Ogos lepas mengekalkan sabitan dan hukuman penjara serta denda RM210 juta kerana menyalahgunakan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Dalam prosiding yang dijalankan secara dalam talian hari ini, Najib diwakili peguam Harvinderjit Singh, Muhammad Farhan Muhammad Shafee dan Mohammad Arfan Wan Othman manakala peguam Nagarajah Muttiah dan Clament Tay mewakili syarikat-syarikat tersebut. – BERNAMA

Wartawan

Terkini

Cerun runtuh: Jalan depan Balai Polis Senawang ditutup sementara

JALAN Persiaran Senawang 3 (N035) berhadapan Balai Polis Senawang, ditutup sementara kepada semua jenis kenderaan akibat cerun runtuh di...

Lagi Artikel Berkaitan