27.1 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 5, 2024
Home Blog Page 779

PM gadai prinsip tatakelola, Kabinet paling mengecewakan

0

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa telah menggadai prinsip tatakelola yang baik seperti yang dijaja semasa kempen pilihan raya apabila melantik kleptokrat menganggotai Kabinet.

Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini adalah barisan Kabinet paling mengecewakan dalam sejarah negara apabila seorang yang telah dipanggil membela diri terhadap 47 pertuduhan jenayah rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram di mahkamah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Tindakan Anwar ini ibarat menjual maruah negara semata-mata kerana keinginannya menjadi Perdana Menteri.

“Kabinet kleptokrat yang tertubuh atas penipuan terhadap mandat rakyat ini tidak mempunyai sebarang keabsahan untuk berfungsi sebagai badan eksekutif tertinggi negara.

“Beliau sendiri sebagai Perdana Menteri memegang jawatan Menteri Kewangan, satu amalan yang membawa kepada pemusatan kuasa dan penyelewangan berskala besar seperti yang berlaku dalam kes 1MDB sebelum ini,” katanya menerusi ciapan di Twitter hari ini.

Muhyiddin turut mempersoalkan bagaimana rakyat dan pelabur boleh percaya terhadap kepimpinan Anwar apabila beliau ternyata berbohong kepada seluruh dunia mengenai agenda antirasuah, reformasi institusi dan pembelaan nasib rakyat jelata.

“Prinsip integriti, ketelusan dan akauntabiliti nyata dikompromi.

“Selain itu, Ahli Parlimen yang dikenali dengan sikap cauvinis melampau dilantik menerajui kementerian tertentu yang bakal mengundang kontroversi.

“Boleh dijangkakan dasar bersifat perkauman yang ekstrem akan diperkenalkan,” katanya.

Ini jelas kata beliau, agenda reformasi berdering kosong apabila Perdana Menteri tidak dapat berdiri untuk mempertahankan perjuangan partinya sendiri untuk memerangi rasuah dan mempromosikan tadbir urus yang baik.

“Nilainya sebagai pemimpin sejati yang patut dihormati kini amat diragui,” katanya.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, sistem negara telah rosak apabila individu bankrap moral dan prinsip boleh dilantik menerajui negara dan yang terpalit dengan jenayah rasuah menganggotai Kabinet.

“Rasa tanggungjawab dan belas kasihan terhadap rakyat telah tiada dan rakyat juga hilang percaya terhadap tonggak kepimpinan negara,” katanya. – Edisi 9

Tengku Zafrul, tiga lagi selesai angkat sumpah Senator

0

EMPAT ahli jemaah Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat selesai mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara pagi ini.

Mereka ialah Datuk Seri Tengku Mohd Zafrul Tengku Abdul Aziz yang memegang portfolio Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (Kementerian Dalam Negeri), Datuk Seri Zambry Abdul Kadir (Kementerian Luar), dan Datuk Mohd Na’im Mokhtar sebagai Menteri Agama.

Memetik laporan Astro AWANI, Yang di-Pertua Dewan Negara Tan Sri Rais Yatim berkata, Tengku Zafrul merupakan lantikan kali kedua, manakala yang lainnya adalah lantikan kali pertama.

Dalam ucapannya, Rais menggesa agar keempat-empat mereka tidak melupakan institusi senat dalam melaksanakan tugas sebagai menteri.

“Kini syarat bawah Perkara 43B Perlembagaan Persekutuan sudah disempurnakan, iaitu untuk menjadi seorang Menteri, beliau hendaklah menjadi ahli Dewan Rakyat atau Dewan Negara.

“Satu satu hal yang baik bagi kita di peringkat ini ialah para Senator sebagai Menteri atau Timbalan adalah juara terbaik bagi membela dan menegapkan Institusi Senat sebagai badan legislatif tertinggi negara.

“Boleh saya kata dan buat membuat seruan rapat, tengok-tengoklah kami di sini, di samping dimandikan cahaya media di luar sana,” katanya lagi.

Selain itu Rais turut mengingatkan tentang usaha mereformasi institusi Parlimen yang kini telah berjalan selama hampir setahun setengah.

“Mari kita perkasakan kembali reformasi institusi Parlimen yang diusahakan setakat ini, dan makan masa hampir setahun setengah.

“Dua akta penting diutamakan pindaannya ialah Akta Perkhidmatan Parlimen 1963, dan Akta Kuasa Keistimewaan Majlis Parlimen 1952.

“Anjuran dan cadangan yang konkrit telah dikemukan, dan kertas Kabinet telah disediakan sebelum Parlimen ditangguhkan kewujudan dan kuat kuasanya tempoh hari,” katanya lagi.

Rais turut mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri ke-10 Datuk Seri Anwar Ibrahim, di samping tidak lupa menzahirkan penghargaan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas khidmat baktinya sebagai Perdana Menteri Kesembilan.

Nama Fadhlina dianggap asing dalam Kabinet Anwar

NAMA Fadhlina Sidek yang sebelum ini asing di halwa terlinga, tiba-tiba menjadi bualan apabila beliau dilantik sebagai Menteri Pendidikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tidak hairan ramai yang tertanya-tanya siapakah wanita tersebut sehingga beliau dilantik menerajui antara kementerian yang begitu penting, besar dan mencabar.

Sebetulnya Fadhlina merupakan anak kepada bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Allahyarham Datuk Dr Siddiq Fadzil yang meninggal dunia tahun lalu.

Allahyarham sebelum ini merupakan sabahat baik kepada Anwar.

Dilahirkan pada 16 Oktober 1977, Fadhlina telah memenangi jawatan Ketua Angkatan Wanita PKR dalam pemilihan lalu, menewaskan Rodziah Ismail dengan majoriti 32 undi.

Sebelum itu, pada 2021 kerajaan negeri Pulau Pinang telah mencalonkan beliau sebagai Senator menggantikan Mohd Yusmadi Yusoff.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu, Fadhlina yang kali pertama bertanding telah menang di Parlimen Nibong Tebal menewaskan tiga calon lain dengan majoriti 16,293 undi.

Beliau menewaskan Datuk Mansor Othman (Perikatan Nasional), Datuk Seri R.S Thanenthiran (Barisan Nasional) dan Goh Kheng Huat (Bebas).

Dari segi kerjaya, beliau merupakan seorang peguam dan pernah memegang jawatan Ketua Biro Guaman dan Pembangunan Komuniti Wanita PKR.

BIODATA:

  • Nama : Fadhlina Sidek @ Siddiq
  • Nama Bapa : Datuk Dr Siddiq Fadzil (Allahyarham), Mantan Presiden ABIM
  • Kerjaya : Peguam, Ahli Dewan Negara
  • Ahli Parlimen : P47 Nibong Tebal
  • Jawatan Politik : Ketua Angkatan Wanita PKR
  • Tarikh Lahir : 16 Oktober 1977 (45 Tahun)

Cabaran besar, penghormatan mewakili BN – Khaled Nordin

0

NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, menyifatkan pelantikannya sebagai Menteri Pengajian Tinggi sebagai kepercayaan besar Kerajaan Perpaduan.

Mohamed Khaled yang juga penyandang Parlimen Kota Tinggi turut merakamkan penghargaan di atas kepercayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melantiknya ke jawatan berkenaan.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri di atas kepercayaan melantik saya sebagai Menteri Pengajian Tinggi dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan ini.

“Sudah tentu ini adalah cabaran besar kepada saya bagi memastikan KPT kembali berfungsi sepenuhnya dalam mendepani cabaran era baharu yang pelbagai.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada kepimpinan tertinggi parti kerana telah memberikan penghormatan kepada saya untuk mewakili Barisan Nasional (BN) dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan ini,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, kepada seluruh rakyat di Parlimen Kota Tinggi dan Johor khususnya, saya berjanji akan mengotakan janji kepada rakyat di Kota Tinggi.

“Terima kasih kepada anda semua yang memberi kepercayaan dan kemenangan kepada saya pada Pilihan Raya ke-15 (PRU-15) baru-baru ini.

“Ikrar saya untuk memastikan Kota Tinggi akan lebih ke hadapan dengan segala potensi yang dimiliki serta mengusahakan segala peluang baharu yang akan menjadikan Kota Tinggi lebih maju dan sejahtera,” katanya.

Mohamed Khaled sebelum ini pernah menjawat jawatan Menteri Pengajian Tinggi pada 2008 hingga 2013.

-EDISI9

Tengku Zafrul, Saifuddin, Zambry dilantik sebagai menteri

0

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik tiga calon yang tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sebagai anggota Kabinet Kerajaan Perpaduan yang diterajui beliau.

Ketiga-tiga mereka ialah Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abd Aziz, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Tengku Zafrul yang tewas di Kuala Selangor, diberi kepercayaan untuk menerajui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri sepertimana diumumkan Anwar malam ini.

Beliau yang juga bekas Ketua Eksekutif CIMB Group Holdings Berhad sebelum ditawarkan jawatan Menteri Kewangan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2020 selaku Senator.

Jawatan beliau dikekalkan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika Ahli Parlimen Bera itu menerajui negara pada Ogos 2021.

Dalam PRU-15 lalu, beliau yang bertanding buat kali pertama atas tiket Barisan Nasional (BN) tewas kepada Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dari Pakatan Harapan (PH) dengan majoriti 1,002 undi dalam pertandingan empat penjuru.

Sementara itu, Saifuddin Nasution yang juga bekas Setiausaha Agung PKR dan turut tewas di Parlimen Kulim-Bandar Baru dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri.

Beliau sebelum ini pernah menjawat Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna di bawah kerajaan PH selepas PRU-14 pada 2018 lalu.

Bagaimanapun, dala PRU-15, beliau gagal mempertahankan kerusi yang dimenanginya apabila tumpas kepada Roslan Hashim (Perikatan Nasional) dengan majoriti 13,061 undi dalam persaingan empat penjuru.

Setiausaha BN, Zambry yang turut tewas di Parlimen Lumut dilantik sebagai Menteri Luar Negeri.

Ketiga-tiganya akan mengangkat sumpah sebagai Senator bagi membolehkan mereka memegang jawatan dalam Kabinet Anwar. – Edisi 9

Zahid, Fadillah TPM, Anwar turut pegang Kementerian Kewangan

0

DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof hari ini dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri I dan Timbalan Perdana Menteri II di bawah Kerajaan Perpaduan.

Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), turut memegang portfolio Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, manakala, Fadillah pula memegang portfolio Menteri Perladangan dan Komoditi.

Pelantikan itu diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan memimpin Kementerian Pertahanan menggantikan Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. 

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir pula sebagai Menteri Luar, menggantikan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah.

Dalam pada itu, Anwar yang turut memegang portfolio Menteri Kewangan menegaskan, keutamaan jemaah menteri Kerajaan Perpaduan berkenaan adalah bagi memacu pertumbuhan ekonomi di samping mengurangkan beban rakyat dari segi kos sara hidup.

Beliau berkata, kekuatan Kerajaan Perpaduan dalam Parlimen sudah mencecah sekitar dua pertiga.

“Dengan mandat ini yang telah memberi keyakinan kita untuk membentuk barisan jemaah menteri yang lebih padu dan akan bekerja sebagai satu pasukan,” kata beliau.

Anwar berkata, kerajaan beliau akan memberi penumpuan kepada pertumbuhan ekonomi yang segar dan perhatian terhadap permasalahan rakyat.

“Setelah mengangkat sumpah 3 petang esok dan diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, saya akan adakan pertemuan khas supaya beberapa peraturan dan hala tuju dan kaedah baru diperkenalkan,” katanya.

Hal ini menurut beliau membawa maksud memusatkan usaha dalam kerja dan mengelakkan segala kecurigaan tentang kemungkinan pembaziran, rasuah, dan penyalahguanaan kuasa.

“Saya telah memantapkan dalam jemaah menteri Kerajaan Perpaduan, tata kelola, good government dan langkah-langkah yang harus diambil untuk meringankan beban rakyat.

“Sementara fokus utama tetap pemacuan ekonomi,” katanya.

Ketika ditanya pemberita mengenai penjimatan yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan Perpaduan, Anwar menegaskan ia dimulakan dengan apa yang dilakukan di peringkat Jabatan Perdana Menteri.

“Penjimatan tak begitu banyak dengan pengurangan jemaah menteri, namun ini adalah signal dengan kekuatan penjawat awam diketuai Ketua Setiausaha Negara (KSU), Tan Sri Mohd Zuki Ali akan memastikan jaminan (penjimatan) ini dilaksanakan,” katanya.

Malah beliau juga menegaskan beliau memulakan satu pendekatan dasar dan keyakinan terhadap ekonomi tempatan dan pelabur asing.

“Biar saya teruskan dan dibantu oleh pasukan yang mantap,” katanya sambil menyatakan senarai nama Timbalan Menteri akan diumumkan kemudian.

Berikut senarai barisan Kabinet Anwar:

DATUK SERI ANWAR IBRAHIM (PH/PKR)

  • Perdana Menteri
  • Menteri Kewangan

DATUK SERI AHMAD ZAHID HAMIDI (BN/UMNO)

  • Timbalan Perdana Menteri
  • Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah

DATUK SERI FADILLAH YUSOF (GPS/PBB)

  • Timbalan Perdana Menteri
  • Menteri Perladangan dan Komoditi

ANTHONY LOKE SIEW FOOK (PH/DAP)

  • Menteri Pengangkutan

MOHAMAD SABU (PH/AMANAH)

  • Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan

MOHD RAFIZI RAMLI (PH/PKR)

  • Menteri Ekonomi

NGA KOR MING (PH/DAP)

  • Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan

DATUK SERI MOHAMAD HASAN (BN/UMNO)

  • Menteri Pertahanan

DATUK SERI ALEXANDER NANTA LINGGI (GPS/PBB)

  • Menteri Kerja Raya

DATUK SERI SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL (PH/PKR)

  • Menteri Dalam Negeri

DATUK SERI TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ (BN/UMNO)

  • Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri

DATUK SERI MOHAMED KHALED NORDIN (BN/UMNO)

  • Menteri Pendidikan Tinggi

CHANG LIH KANG (PH/PKR)

  • Menteri Sains dan Teknologi

DATUK SERI NANCY SHUKRI (GPS/PBB)

  • Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat

DATUK SERI SALAHUDDIN AYUB (PH/AMANAH)

  • Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup

DATUK SERI AZALINA OTHMAN (BN/UMNO)

  • Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi)

NIK NAZMI NIK AHMAD (PH/PKR)

  • Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim

DATUK EWON BENEDICK (GRS/Warisan)

  • Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi

DATUK SERI DR ZAMBRY ABD KADIR (BN/UMNO)

  • Menteri Luar Negeri

DATUK SERI TIONG KING SING (GPS/PDP)

  • Menteri Pelancongan

AHMAD FAHMI MOHAMED FADZIL (PH/PKR)

  • Menteri Komunikasi Digital

FADHLINA SIDEK (PH/PKR)

  • Menteri Pendidikan

DATUK AARON AGO ANAK DAGANG (GPS/PRS)

  • Menteri Perpaduan Negara

DATUK DR MOHD NA’IM MOKHTAR (Penjawat Awam)

  • Menteri Agama

HANNAH YEOH TSEOW SUAN (PH/DAP)

  • Menteri Belia dan Sukan

V.N SIVAKUMAR (PH/DAP)

  • Menteri Sumber Manusia

DR ZALIHA MUSTAFA (PH/PKR)

  • Menteri Kesihatan

ARMIZAN MOHD ALI (GRS/Bersatu)

  • Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak)

-EDISI9

Pengumuman barisan Kabinet ditangguh 8.15 malam

0

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengumumkan senarai barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan pada di Pejabat Perdana Menteri di sini pada pukul 8.15 malam nanti.

Perkara itu disahkan Anwar menerusi hantaran Facebooknya sebentar tadi, namun punca ia ditangguhkan tidak dimaklumkan.

“InsyaAllah jam 8.15 malam ini saya akan mengumumkan saf kepimpinan baharu Kabinet Kerajaan Perpaduan. Nantikan,” tulisnya ringkas.

Sebelum ini, pengumuman itu dijangka dibuat Anwar pada pukul 6 petang sejurus tiba dari Perak selepas menghadiri kenduri bersama rakyat di Tambun.

Terdahulu, Anwar hadir ke Istana Negara kira-kira pukul 8.22 pagi bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan perjumpaan itu dipercayai bagi mempersembahkan senarai Kabinet untuk diperkenan. – Edisi 9

Isu sama ada berada dalam Kabinet bukanlah perkara utama

0

PENGERUSI DAP, Lim Guan Eng menegaskan isu sama ada beliau berada dalam Kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau tidak, bukanlah perkara utama kerana ia merupakan kuasa budi bicara Perdana Menteri.

“Saya telah ditanya berulang kali oleh media mengenai spekulasi bahawa saya tidak berada dalam (senarai) Kabinet.

“Sama ada saya berada dalam Kabinet atau tidak ia adalah perkara kedua, yang penting masa depan negara kita tidak boleh ‘dicuri’,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bagan itu berkata, beliau bersedia berkhidmat dalam apa juga kapasiti selagi ia memenuhi kepentingan negara.

“Apa yang lebih besar, Kerajaan Perpaduan sekarang yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh terus berfungsi dan kekal stabil daripada kuasa pelampau yang cuba melemahkan dan menggulingkannya,” katanya.

Guan Eng menegaskan PH berhak berada dalam kerajaan selepas memenangi kerusi terbanyak dan undi popular terbesar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

“Bersama-sama dengan Barisan Nasional (BN) dan parti-parti dari Sabah dan Sarawak Kerajaan Perpaduan ini mempunyai majoriti yang jelas yang mewakili kehendak rakyat.

“Kerajaan hari ini mewakili bukan hanya satu kumpulan tetapi setiap rakyat Malaysia dalam masyarakat kita yang majmuk ini.

“Ini adalah Kerajaan Perpaduan Malaysia” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong pagi tadi dipercayai bagi mempersembah senarai barisan Jemaah Menteri. – Edisi 9

Polis rampas dadah lebih RM6 juta, lelaki ditahan

POLIS menahan seorang bekas pemandu e-panggilan bersama sejumlah 170.58 kilogram (kg) dadah bernilai RM6.14 juta di sebuah rumah sekitar Subang Jaya, pada Rabu lalu.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk S Sasikala Devi berkata, suspek berusia 49 tahun itu, ditahan pada jam 3 petang di rumah sewa yang dijadikan sebagai tempat simpanan dadah, dan kejayaan itu hasil risikan pihaknya selama seminggu.

“Kita mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau berkaitan rumah judi dan lelaki itu dipercayai aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang sejak dua bulan lalu,”katanya pada sidang media di sini.

Sasikala Devi berkata, dadah yang dirampas itu terdiri daripada 166 bungkus plastik dengan 111 bungkusan berlabel teh cina manakala 55 bungkusan plastik lutsinar, yang kesemuanya disyaki mengandungi dadah jenis methamphetamine.

Beliau berkata, pihaknya turut menyita sebuah kereta jenis Honda City dianggarkan bernilai RM18,000.

Sasikala Devi berkata suspek itu kini direman selama tujuh hari sehingga 7 Dis ini di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata, hasil ujian air kencing terhadap suspek adalah negatif dan pihaknya masih menyiasat sama ada suspek tersebut terlibat dengan sindiket dadah lain.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan iklan kerja di media sosial yang menawarkan pendapatan lumayan, tetapi proses pengambilan dan urusan kerja dibuat tanpa berjumpa dengan majikan.

“Ini kerana terdapat laporan yang diterima polis menunjukkan ia merupakan salah satu strategi untuk merekrut pengedar dadah dengan tawaran gaji sehingga RM7,000 ke RM8,000 sebulan,” katanya. – BERNAMA

Paip bocor punca tanah runtuh di Taman Mega Jaya

0

KEJADIAN tanah runtuh berlaku di Taman Mega Jaya, Pandan Kuala Lumpur kira-kira jam 2.48 petang, tadi.

Pengarah JBPM Selangor Norazam Khamis, berkata, pihaknya dilaporkan mengenai kejadian itu sebelum mengerahkan sebuah jentera dengan kekuatan tujuh pegawai dan anggota ke lokasi.

“Sebaik tiba, pemeriksaan mendapati tanah runtuh dianggarkan ketinggian 30-meter yang kemungkinan disebabkan oleh kebocoran paip di bawah tanah.

“Terdapat sebuah rumah terletak paling hampir iaitu kira-kira 20 meter dari lokasi kejadian.

“Namun, kejadian runtuhan itu tidak mengakibatkan kerosakan struktur rumah dan tiada mangsa dilaporkan,”katanya dalam satu kenyataan di sini.

Ujarnya, pihak bomba akan terus memantau sekiranya terdapat sebarang pergerakan tanah di lokasi.

Susulan itu juga, pihak Indah Water Konsortium (IWK) telah dimaklumkan mengenai kejadian dan sedang melakukan penyelenggaraan.

Ini bukan kali pertama kejadian seumpama berlaku, malah tanah runtuh pernah dilaporkan berlaku pada 2013 serta 2022 di sekitar kawasan sama. – Edisi 9

Langgar syarat sah lesen, sebuah bot gentian kaca ditahan

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Zon Maritim Kuala Kurau telah menahan sebuah bot gentian kaca di kedudukan 0.2 batu nautika barat Kuala Gula, Perak pada sekitar jam 4.05 petang, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Najhan Azman Hamid berkata, semasa rondaan rutin, pasukan bot peronda Maritim Malaysia telah mengesan bot terbabit bergerak dalam keadaan mencurigakan dan dirapati untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan menemukan seramai empat orang kru nelayan warga tempatan termasuk tekong berumur antara 18 hingga 54 tahun berada di atas bot terbabit.

“Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen bot mendapati, lesen bot terbabit telah tamat tempoh dan spesifikasi enjin yang digunakan tidak sama seperti yang didaftarkan dalam lesen.

“Selain itu, pemilik asal tidak mengusahakan sendiri bot terbabit.

“Sehubungan dengan itu, kesemua kru, bot dan peralatan menangkap ikan telah ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi hantaran di Facebook di sini.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana telah melanggar syarat sah lesen.

Ujarnya, orang ramai boleh melaporkan aduan atau insiden kecemasan di laut kepada Maritim Malaysia menerusi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau (05-7279919) untuk tindakan segera. – Edisi 9

Kes demam denggi meningkat, 37 kematian

0

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan berlakunya peningkatan jumlah kes demam denggi pada Minggu Epidemiologi (ME) 47/2022 iaitu dari 20 hingga 26 November lalu dengan sebanyak 141 kes atau 8.9 peratus dicatatkan berbanding minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pada minggu tersebut, sejumlah 1,734 kes dilaporkan berbanding 1,593 kes pada ME 46/2022.

“Bagaimanapun, tiada kematian dicatatkan akibat komplikasi demam denggi,” katanya menerusi kenyataan di sini.

Menurut beliau, kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga kini berjumlah 56,304 kes berbanding 23,547 kes bagi tempoh sama tahun lalu iaitu peningkatan sebanyak 32,757 kes (139.1 peratus).

“Manakala sebanyak 37 kematian akibat komplikasi denggi dilaporkan berbanding 18 kematian bagi tempoh sama pada 2021,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, sebanyak 54 lokaliti hotspot dilaporkan minggu ini berbanding 61 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya dengan 25 lokaliti membabitkan Selangor.

“Diikuti 19 lokaliti di Sabah, Kuala Lumpur dan Putrajaya (tujuh), Perak (dua) dan Sarawak (satu),” katanya.

Noor Hisham turut berkata, survelan chikungunya merekodkan sebanyak 18 kes pada minggu ke-47 dengan t11 kes di Pulau Pinang, empat kes di Selangor dan masing-masing satu kes di Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka.

“Bagi survelan zika, sebanyak 1,939 sampel darah dan 17 sampel urin telah disaring dan hasil kesemuanya adalah negatif,”katanya.- Edisi 9