31.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024
Home Blog Page 778

Pertahan kerajaan Anwar, Asyraf Wajdi dituduh membodek

KETUA Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dituduh ‘membodek’ apabila terus mempertahankan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pernah mengeluarkan kenyataan:

“Saya orang pertama akan menentang kalau parti (UMNO) nak menyokong PM (Perdana Menteri) ataupun mewujudkan kerajaan DAP-PH Lead Government.”

Semalam, calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Gerik namun tewas itu mempertikai pihak-pihak yang mendakwa kerajaan baharu pasca-PRU-15 didominasi bukan Melayu-Islam.

Dengan menunjukkan carta dan angka, Asyraf Wajdi berkata, sebenarnya Kerajaan Perpaduan itu didominasi oleh ahli-ahli Parlimen beragama Islam dengan jumlah keseluruhan sebanyak 68 orang.

Beliau berkata, jumlah tersebut jauh lebih besar berbanding ahli Parlimen kaum Cina sebanyak 34 orang, India (lapan) dan lain-lain seramai dua orang.

“Justeru Kerajaan Perpaduan Malaysia jika mengambil kira tiga parti utama PH, BN dan GPS (Gabungan Parti Sarawak) sahaja ahli Parlimen Bumiputera Islam adalah yang terbesar iaitu 68 orang,” katanya menerusi Facebook beliau.

Asyraf Wajdi berkata, jumlah tersebut lebih besar jika digabungkan dengan ahli-ahli Parlimen beragama Islam daripada Warisan (tiga) serta tiga lagi dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Maka keseluruhan ahli Parlimen Bumiputera-Melayu beragama Islam Kerajaan Perpaduan Malaysia adalah 74 orang iaitu yang paling tinggi dan majoriti,” katanya.

Ekoran itu, beliau mendapat ‘serangan’ bertubi-tubi daripada kalangan warganet yang menuduhnya cuba membodek Perdana Menteri bagi mendapatkan jawatan.

Sementara itu, bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz pula menggesa Asyraf Wajdi tidak menyalahgunakan istilah “Kerajaan Perpaduan”.

Katanya, kerajaan perpaduan sepatutnya disertai oleh parti-parti pesaing utama sepertimana diamalkan di Jerman.

“Kerajaan di negara ini lebih tepat disebut sebagai kerajaan campuran. Memang bercampur pun, bercampur bekas banduan dan mereka yang masih mempunyai kes mahkamah.

“Di dalamnya bercampur golongan penipu dan munafik. Di dalam ini juga bercampur golongan dengan ideologi bertentangan, termasuklah sejumlah besar golongan liberal, sosialis, pluralis agama, evengelis, pro-murtad dan pro-LGBT,” katanya menerusi ruangan komen.

Beliau yang kini menjalani penggantungan keahlian UMNO menggesa Asyraf Wajdi tidak mencemarkan nama kerajaan perpaduan dengan Kerajaan Campuran yang belum diketahui hala tujunya.

“Pesanan saya, tolonglah bawa Pemuda UMNO anda menyanyi lagu, Cukuplah Sekali Ditipu di Padang Serai dan Tioman nanti. Lama dah tak dengar mereka menyanyi lagu tu…” katanya sinis. – Edisi 9

Klip video amaran rusuhan 13 Mei kandungan berbayar – MCMC

TIGA klip video berhubung amaran rusuhan 13 Mei yang dimuatkan di dalam aplikasi TikTok merupakan kandungan berbayar, kata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Sehubungan itu, suruhanjaya itu akan memanggil pihak pengurusan TikTok untuk tampil memberi penjelasan berhubung klip video berbaur provokasi yang tular menerusi aplikasi itu sebelum ini.

MCMC berkata, penyebaran kandungan berbaur provokasi itu dengan niat cuba mencetuskan ketidakharmonian, kebencian, prejudis dan perasaan orang lain.

“Sebarang penyebaran kandungan video sedemikian adalah satu perbuatan tidak bertanggungjawab yang dikhuatiri boleh menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan, perasaan kebencian mahupun prejudis dalam hal-ehwal berkaitan dengan agama dan kaum.

“Ia sekali gus menjadi satu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574), yang boleh dikenakan hukuman denda atau penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Penyebaran kandungan video berhubung amaran berulangnya peristiwa 13 Mei 1969 tersebut dipercayai ada kaitan dengan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Sementara itu, MCMC berkata, pihaknya dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mempertingkat usaha mengekang penyebaran video-video sedemikian yang boleh menganggu-gugat ketenteraman awam.

Pada masa sama, agensi itu menggesa orang ramai melaporkan segera kepada pihak berkuasa sekiranya menerima kandungan berbaur hasutan, provokasi ataupun menghina agama, institusi raja dan perkauman.

Katanya, aduan boleh disalurkan menerusi Portal Aduan MCMC di pautan https://aduan.skmm.gov.my Talian aduan: 1800-188-030; WhatsApp di 016-2206262 dan E-mel di [email protected].

-EDISI9

JPS ramal banjir di Terengganu dan Kelantan bermula esok

0

JABATAN Pengairan dan Saliran (JPS) meramalkan kemungkinan berlaku banjir di beberapa kawasan di Terengganu dan Kelantan, esok dan hari berikutnya.

JPS dalam kenyataan hari ini, memaklumkan banjir boleh berlaku sekiranya hujan yang signifikan terus berlaku di lembangan Sungai Setiu, Sungai Dungun, Sungai Kemaman, Sungai Paka, Sungai Besut yang kesemuanya di Terengganu dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Kelantan.

Ramalan itu adalah berdasarkan makluman ramalan hujan Jabatan Meteorologi Malaysia dan hasil simulasi model ramalan banjir.

Di Terengganu, beberapa kawasan berisiko banjir esok adalah daerah Setiu (Kampung Che Mohid, Sekolah Kebangsaan Kampong Besut dan kawasan sekitarnya) mulai jam 5 petang, manakala ( Kampung Permaisuri, Kampung Nyatoh dan kawasan sekitarnya) mulai jam 8 malam.

“Jumaat ini, JPS meramalkan banjir akan berlaku di kawasan daerah Dungun (Kampung Wa dan kawasan sekitarnya) serta di daerah Kemaman (Sungai Pinang dan kawasan sekitarnya) mulai jam 8 pagi,” seperti dilaporkan Bernama.

Pada tarikh sama, JPS turut meramalkan kawasan dijangka berlaku banjir di Kelantan adalah di daerah Pasir Mas (Kampung Lubok Stol dan kawasan sekitarnya) mulai jam 12 tengah hari manakala kawasan sekitar Kampung Kubang Pak Hitam, Kampung Tok Deh, Kampung Lanchang, Kampung Siput mulai 9 pagi.

Menurut kenyataan itu, JPS turut meramalkan kejadian berlaku banjir di Terengganu pada Jumaat ini seperti di kawasan daerah Besut (Rumah Pam Pelagat dan kawasan sekitarnya) dan Daerah Paka (Kampung Luit dan kawasan sekitarnya) mulai jam 7 malam.

“Banjir yang diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa yang dijangkakan. Amaran ini dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutamanya di kawasan yang dijangka banjir berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi pengurusan bencana banjir,” menurut kenyataan itu.

Orang ramai boleh melayari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook @PublicInfoBanjir dan Twitter @JPS_InfoBanjir untuk maklumat lanjut.

PN, PH patut berlapang dada tubuh kerajaan, bukan BN

0

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya berlapang dada untuk berbincang dan bergabung bagi menubuhkan kerajaan.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, ini kerana kedua-dua parti tersebut mempunyai bilangan kerusi terbanyak dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), sekali gus boleh membentuk kerajaan yang kukuh.

Beliau berkata, namun oleh kerana kedua-dua pemimpin parti berkenaan enggan bertolak-ansur maka mahu tidak mahu mereka terpaksa mendapatkan Barisan Nasional (BN) untuk membentuk kerajaan.

“Sepatutnya ‘Abah PN’ dan ‘Papa PH’ berlapang dada untuk berbincang dan bergabung buat kerajaan jika betul Abah dan Papa prihatin dengan anak-anak Abah dan Papa.

“Sebab PN dan PH adalah gabungan yang banyak menang kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), patutnya mereka berbincang sesama sendiri dan bukannya masing-masing memujuk rayu UMNO, Barisan Nasional (BN) untuk bersama mereka bentuk kerajaan.

NUR JAZLAN MOHAMED

“BN hanya menang 30 kerusi saja dan memang layak untuk duduk sebagai pembangkang,” katanya sambil menasihatkan agar tidak menjadikan UMNO atau BN sebagai kambing hitam.

Nur Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai berkata, orang ramai juga perlu menghentikan segala fitnah dan persepsi buruk terhadap BN terutamanya UMNO yang kononnya terhegeh-hegeh mahu bersama-sama Anwar dan DAP.

“Saya tahu itu semua adalah permainan politik kotor pihak tertentu yang mahu memburuk-burukkan BN dan menyerang Presiden UMNO,” katanya.

Beliau berkata, pucuk pimpinan UMNO dan BN sebenarnya berjiwa besar apabila sanggup mengetepikan pendirian No Anwar No DAP demi memenuhi titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Malah tindakan pucuk pimpinan BN serta UMNO itu telah menyelamatkan negara daripada tergantung tanpa Parlimen.

“Sehingga ke saat akhir, tumpuan awam terarah kepada BN yang hanya ada 30 kerusi untuk memastikan sebuah kerajaan diwujudkan selepas PRU15.

Namun menurutnya, segalanya sudah terjawab.

“Anwar akhirnya dapat jadi PM (Perdana Menteri). Awal-awalnya banyak sangat telahan dan gosip liar yang tuduh BN memang nak bergabung dengan PH untuk bentuk kerajaan.

“… tapi drama empat hari selepas PRU15 berakhir bila BN kena juga buat keputusan untuk buat kerajaan walaupun pendirian BN pada asasnya mahu jadi pembangkang seperti yang rakyat mahu,” katanya.

-EDISI9

Majlis Raja-Raja cadang PM tidak terlibat proses lantik hakim

0

MAJLIS Raja-Raja mencadangkan agar pelantikan lima daripada sembilan anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) tidak lagi dibuat oleh Perdana Menteri agar keanggotaan suruhanjaya itu lebih seimbang dan tidak membawa kepentingan mana-mana pihak.

Pengerusi Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-260, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah dari segi sistem kehakiman, Majlis Raja-Raja bertanggungjawab dalam melantik hakim-hakim di Malaysia dan proses pelantikan hakim pada masa ini dilihat mempunyai kelemahan serta boleh diperbaiki termasuk keanggotaan JAC.

Baginda bertitah JAC memainkan peranan utama dalam mengemukakan cadangan pelantikan hakim, justeru keanggotaannya kritikal dalam memastikan suruhanjaya itu terus menjadi amalan serta pegangan semua selain berkemampuan mengemukakan nama-nama hakim yang berintegriti dan berkaliber.

“Sebaliknya ia (kuasa melantik keanggotaan JAC) diberi kepada beberapa institusi lain seperti Majlis Peguam Malaysia, Persatuan Undang-Undang Sabah, Persatuan Peguambela Sarawak dan Jawatankuasa Pemilih Parlimen.

“Pada masa ini, JAC mempunyai sembilan anggota keahlian dengan empat daripadanya merupakan hakim yang sedang memegang jawatan terkanan manakala lima lagi ahlinya adalah individu yang dilantik oleh Perdana Menteri,” demikian menurut titah perutusan Tuanku Muhriz sempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260 yang berlangsung di Istana Negara seperti dilaporkan Bernama, hari ini.

Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-260 di Istana Negara. Turut berangkat Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. – Foto: Istana Negara

Terdahulu, Tuanku Muhriz mempengerusikan mesyuarat itu yang berlangsung selama dua hari, bermula semalam.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta Raja dan Sultan negeri-negeri turut berkenan berangkat hadir pada mesyuarat itu, yang juga dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak.

Selain ini, Majlis Raja-Raja turut mencadangkan supaya struktur JAC turut dinilai semula dengan rundingan dibuat antara kerajaan, ahli-ahli JAC sedia ada, badan-badan guaman serta institusi-institusi atau pihak berkepentingan lain yang relevan.

Baginda turut menzahirkan keyakinan jika penambahbaikan dilaksanakan, JAC mampu menjalankan tanggungjawabnya dengan lebih berkesan dan menjadikan pemilihan serta pelantikan hakim-hakim di Malaysia adalah daripada kalangan individu yang berkeperibadian mulia, telus dan adil.

“Memetik dua daripada lima prinsip Rukun Negara iaitu Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang, prinsip ini amat penting untuk memastikan agensi penguatkuasaan dan badan kehakiman, bebas daripada sebarang pengaruh luar dalam melaksanakan tanggungjawab mereka,” titah Tuanku Muhriz.

Perkeso laksana SKSSR mulai esok

0

PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (Perkeso) akan melaksanakan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) mulai esok sejajar dengan matlamat menyediakan dan membangunkan keselamatan sosial yang komprehensif serta inklusif di Malaysia.

SKSSR menyediakan perlindungan kepada golongan suri rumah apabila berhadapan bencana pekerjaan dan keilatan sewaktu melakukan urusan rumah tangga, selain merupakan pengiktirafan kepada penglibatan mereka dalam Care Economy serta pembangunan institusi keluarga.

Pelaksanaan SKSSR yang diperuntukkan di bawah Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 (Akta 838) itu menjadikan Malaysia antara empat negara di dunia yang menyediakan perlindungan sosial khusus bagi golongan wanita dalam pelbagai bentuk skim dan faedah.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, skop “suri rumah” di bawah akta itu adalah luas kerana ia terbuka kepada wanita sama ada berkahwin atau belum dan menguruskan rumah tangga sepenuh masa atau tidak, merangkumi isteri, janda atau balu, ibu tunggal dan wanita bujang yang berkerjaya atau suri rumah sepenuh masa.

“Suri rumah yang layak hanya perlu membuat bayaran caruman RM120 setahun secara in advance bagi menerima perlindungan selama 12 bulan berturut-turut, serta memastikan mereka memenuhi syarat kelayakan menerima faedah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, untuk mendaftar dan mencarum di bawah SKSSR, suri rumah mestilah warga Malaysia atau pemastautin tetap yang berumur kurang daripada 55 tahun.

Katanya, caruman itu adalah secara sukarela, namun pihak suami amat digalakkan untuk mencarum bagi pihak isteri masing-masing, malah pihak ketiga juga termasuk ahli keluarga dan badan bukan kerajaan (NGO) boleh membayar caruman untuk suri rumah.

“Aktiviti pengurusan rumah tangga juga tidak terikat dengan rutin seharian dalam rumah, malah ia mencakupi hal-hal lain berkaitan urusan rumah tangga antaranya seperti menjaga anak-anak atau ibu dan bapa warga emas, menghantar dan mengambil anak dari sekolah serta membawa ibu bapa ke temu janji doktor,” katanya.

Menurutnya, SKSSR juga menyediakan Perlindungan Bencana Domestik dan Perlindungan Keilatan untuk suri rumah yang mencarum.

Manfaat di bawah Perlindungan Bencana Domestik adalah faedah perubatan, faedah hilang upaya kekal, elaun layanan sentiasa, kemudahan pemulihan jasmani atau dialisis, faedah pengurusan mayat dan pencen penakat, manakala perlindungan Keilatan pula menyediakan faedah seperti elaun keuzuran, elaun layanan sentiasa, kemudahan pemulihan jasmani atau dialisis, faedah pengurusan mayat dan pencen penakat.

Permohonan untuk menyertai SKSSR dibuka esok, dan untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh layari laman sesawang rasmi Perkeso di www.perkeso.gov.my atau hubungi talian khidmat pelanggan Perkeso 1-300-22-8000.- Edisi 9

Najib dimasukkan ke HKL untuk rawatan susulan

0

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), hari ini.

Najib yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun dikatakan akan membuat rawatan susulan selepas diberi rawatan pada 23 September lalu.

“Iya, beliau dibawa ke HKL. Cuma rawatan susulan, kali ini mungkin dua atau tiga hari,” lapor MalaysiaGazette yang memetik sumber.

Pada awal September lalu, Najib melakukan perjalanan keluar masuk penjara bagi mendapatkan rawatan di HKL dan Hospital Rehabilitasi Cheras selepas mengalami ulser perut.

Sehingga kini Jabatan Penjara serta HKL masih belum memberikan kenyataan berhubung hal ini. 

Pada 23 Ogos lalu, Najib dimasukkan ke Penjara Kajang setelah Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta kerana menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. 

KLIA, LGK kekal lapangan terbang terbaik dunia

0

LAPANGAN Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LGK) kekal sebagai lapangan terbang terbaik dunia berdasarkan kaji selidik Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang (ASQ)

Kedua-dua lapangan terbang antarabangsa mencatatkan skor penuh 5.00 dalam kaji selidik pada suku ketiga 2022, sekali gus mengekalkan kedudukan teratas sepertimana dicatat pada suku kedua sebelum ini.

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam satu kenyataan berkata, bagi suku ketiga, KLIA berkongsi pencapaian itu dalam kategori lebih 40 juta penumpang setahun (mppa) bersama lapan lagi lapangan terbang lain.

“LGK merupakan satu-satunya lapangan terbang dalam kategori dua hingga lima mppa yang memperoleh mata penuh dalam kaji selidik itu,” kata kenyataan tersebut.

ASQ merupakan kaji selidik global oleh Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI) yang mengukur kepuasan penumpang secara keseluruhan untuk keselamatan terminal, kemudahan, perkhidmatan dan kebersihan.

Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi antara lapangan terbang terbaik dunia.

Sementara itu, menurut Pengarah Urusan MAHB Datuk Iskandar Mizal Mahmood, perjalanan udara kini mencatatkan pemulihan yang lebih pantas pada separuh kedua tahun ini.

“Dengan pertambahan penumpang yang tiba melalui lapangan terbang, kami ingin menghapuskan sebarang tekanan yang tidak perlu daripada perjalanan mereka dengan memastikan prosedur yang cekap, kemudahan berfungsi dengan baik dan kakitangan lapangan terbang yang mesra,”katanya.

Kini lebih banyak syarikat penerbangan telah menyambung semula laluan penerbangan mereka ke Malaysia pada Oktober termasuklah KLM Royal Dutch Airlines, All Nippon Airways dan Lion Air yang masing-masing terbang tanpa henti dari Amsterdam, Tokyo-Haneda dan Surabaya ke Kuala Lumpur.

MAHB juga menyaksikan kembalinya semula laluan Manila-Kota Kinabalu oleh Cebu Pacific dan laluan Pulau Pinang-Denpasar oleh AirAsia di Malaysia.

Mengenai prestasi trafik, MAHB berkata prestasi trafik penumpang di Malaysia pada Oktober mencatatkan 5.4 juta pergerakan dengan 2.1 juta penumpang antarabangsa dan 3.3 juta penumpang domestik, manakala operasi Turkiye di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (SAW) mencatatkan 2.9 juta penumpang (antarabangsa: 1.5 juta; domestik: 1.4 juta).

Berbanding bulan sebelumnya, trafik penumpang antarabangsa meningkat sebanyak 9 peratus di lapangan terbang kumpulan itu di Malaysia dan tiga peratus di SAW.

Secara keseluruhan, MAHB merekodkan 8.3 juta pergerakan penumpang untuk Oktober, melepasi paras 8 juta untuk bulan kedua berturut-turut. – BERNAMA

Kutipan tol di Lebuh Raya DASH bermula esok

0

PENGGUNA Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) akan dikenakan bayaran tol bermula pada 12.01 tengah malam, esok.

DASH dalam kenyataan berkata, kadar tol sama dikenakan kepada pengguna yang melalui tiga plaza tol lebuh raya DASH iaitu Plaza Tol Denai Alam, Plaza Tol RRIM (aKwasa Damansara) dan Plaza Tol Kota Damansara mengikut kelas kenderaan.

“Kadar tol bagi kenderaan jenis kereta ialah RM2.30, lori RM4.60, treler RM6.90, teksi RM1.20 dan bas RM2.30.

“Kutipan tol akan dilaksanakan secara elektronik sepenuhnya menggunakan kad Touch ‘N Go, SmartTAG dan RFID,” katanya.

Lebuh raya DASH ialah satu daripada enam lebuh raya kendalian Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas), pengendali lebuh raya terbesar di Lembah Klang.

Pada majlis perasmian pembukaan lebuh raya DASH pada 13 Oktober lepas, kerajaan mengumumkan lebuh raya sepanjang 20.1 kilometer itu dibuka kepada pengguna secara percuma bermula 14 Oktober sehingga 30 November. – BERNAMA

Lelaki ditahan disyaki pembekal daun ketum

SEORANG lelaki ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam aktiviti membekalkan daun ketum di sekitar Pahang.

Suspek berusia 44 tahun ditahan hasil pemeriksaan ke atas kereta jenis Proton dipandunya di Kilometer 63 Lebuh Raya Karak awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, penahanan suspek dilakukan unit peronda yang sedang melakukan pemantauan di laluan itu kira-kira jam 3 pagi.

“Pegawai dan anggota kami menahan kereta dipandu suspek kerana dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan 243 bungkusan mengandungi daun ketum, setiap bungkusan dianggarkan seberat 1 kilogram (kg).

“Soal siasat lanjut mendapati suspek mengaku pernah beberapa kali melakukan penghantaran ke negeri di Pantai Timur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Zaiham berkata, suspek juga mengaku daun ketum itu dibawa dari Pendang, Kedah dan sudah dibeli oleh seorang pelanggan yang berada di Temerloh, Pahang.

Katanya, setiap bungkusan daun ketum itu dijual pada harga RM10 dan pelanggan terbabit akan menjual semula pada harga RM17 kepada pembeli.

“Suspek direman empat hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum empat tahun dan denda tidak lebih RM10,000 atau keduanya sekali,”katanya. – Edisi 9

Dadah: Farid Kamil terlepas hukuman penjara

PELAKON dan pengarah popular, Farid Kamil Zahari terlepas hukuman penjara apabila Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini mengenakan hukuman denda RM5,000 kerana menggunakan dadah, empat tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said, membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan akhir oleh Farid Kamil, 41, bagi mengetepikan hukuman penjara sembilan bulan yang dijatuhkan Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 2019.

Bagaimanapun, Kamaludin mengekalkan dua tahun pengawasan bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) ke atas Farid Kamil, dan memerintahkannya dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Farid bagaimanapun membayar denda berkenaan.

Kamaludin dalam keputusan sebulat suara itu berkata, mahkamah bersetuju dengan peguam perayu bahawa Mahkamah Majistret tidak konsisten dalam membuat pertimbangan ketika menjatuhkan hukuman terhadap Farid Kamil.

Beliau berkata, tiada satu penjelasan konkrit yang boleh menyatakan hukuman berkenaan setimpal dengan kesalahan dilakukan ketika itu serta tiada aspek pemberatan, contohnya tidak ada kesalahan lampau atau sebagainya.

“Ini kerana kes-kes mahkamah menunjukkan sama ada untuk menjatuhkan hukuman penjara dan denda, mahkamah bergantung pada fakta kes itu.

“Dalam kes ini, kami mendapati faktanya adalah jelas dan tidak menjurus kepada kesalahan terlalu serius atau berat.

“Oleh itu, mahkamah bersetuju dengan hujah peguam perayu, serta memutuskan bahawa hukuman penjara sembilan bulan yang dijatuhkan Mahkamah Majistret dan disahkan oleh Mahkamah Tinggi, diketepikan serta diganti dengan hukuman denda RM5,000. Dua tahun pengawasan bawah AADK dikekalkan,” katanya.

Yang turut bersidang ialah Hakim Datuk Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk See Mee Chun.

Pada 15 Mei 2019, Mahkamah Majistret Petaling Jaya menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati Farid Kamil bersalah kerana menggunakan dadah dikenali sebagai THC, iaitu ’11-nor-delta-9-tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid’.

Farid Kamil dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, jam 4.30 petang 11 Januari 2018.

Hukuman berkenaan dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada November 2019.

Turut hadir di mahkamah ialah isterinya yang juga pelakon, Diana Danielle, dan adik Farid Kamil, Fadzil.

Farid Kamil ketika ditemui pemberita selepas membayar denda, menzahirkan rasa syukur dengan keputusan hari ini yang disifatkan terbaik untuk dirinya.

“Saya gembira kerana kes ini telah selesai pada peringkat rayuan.

“Kini, saya boleh memfokus penggambaran filem seterusnya berjudul ‘Anwar’ yang kini berada pada peringkat akhir dan bakal ditayangkan pada Februari 2023,” katanya.

Farid Kamil diwakili peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Kee Wei Lon dan Low Wei Loke, manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Eyu Ghim Siang. 

-EDISI9

Penjawat awam Kelantan dapat bantuan khas RM1,500

0

KERAJAAN negeri Kelantan mengumumkan pemberian bantuan khas kewangan sebanyak RM1,500 kepada penjawat awam di negeri itu.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, bantuan itu akan diberi Januari tahun depan sebagai menghargai sumbangan dan pengorbanan mereka.

“Kerajaan bersetuju memberi bantuan khas kewangan itu melibatkan pembayaran sebanyak RM13 juta.

“Ia merupakan bantuan tertinggi yang pernah diberikan kerajaan negeri berikutan lebihan belanjawan dalam tempoh lima tahun berturut-turut.

“Ini adalah sebagai tanda menghargai iltizam dan kesungguhan kakitangan kerajaan yang telah bekerja bersungguh-sungguh dalam memastikan kewangan kita berada pada keadaan yang baik,”katanya.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darulnaim di Kota Bharu hari ini. – BERNAMA