DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof hari ini dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri I dan Timbalan Perdana Menteri II di bawah Kerajaan Perpaduan.
Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), turut memegang portfolio Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, manakala, Fadillah pula memegang portfolio Menteri Perladangan dan Komoditi.
Pelantikan itu diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu sidang akhbar di Putrajaya hari ini.
Sementara itu, Ahli Parlimen Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan memimpin Kementerian Pertahanan menggantikan Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir pula sebagai Menteri Luar, menggantikan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah.
Dalam pada itu, Anwar yang turut memegang portfolio Menteri Kewangan menegaskan, keutamaan jemaah menteri Kerajaan Perpaduan berkenaan adalah bagi memacu pertumbuhan ekonomi di samping mengurangkan beban rakyat dari segi kos sara hidup.
Beliau berkata, kekuatan Kerajaan Perpaduan dalam Parlimen sudah mencecah sekitar dua pertiga.
“Dengan mandat ini yang telah memberi keyakinan kita untuk membentuk barisan jemaah menteri yang lebih padu dan akan bekerja sebagai satu pasukan,” kata beliau.
Anwar berkata, kerajaan beliau akan memberi penumpuan kepada pertumbuhan ekonomi yang segar dan perhatian terhadap permasalahan rakyat.
“Setelah mengangkat sumpah 3 petang esok dan diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, saya akan adakan pertemuan khas supaya beberapa peraturan dan hala tuju dan kaedah baru diperkenalkan,” katanya.
Hal ini menurut beliau membawa maksud memusatkan usaha dalam kerja dan mengelakkan segala kecurigaan tentang kemungkinan pembaziran, rasuah, dan penyalahguanaan kuasa.
“Saya telah memantapkan dalam jemaah menteri Kerajaan Perpaduan, tata kelola, good government dan langkah-langkah yang harus diambil untuk meringankan beban rakyat.
“Sementara fokus utama tetap pemacuan ekonomi,” katanya.
Ketika ditanya pemberita mengenai penjimatan yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan Perpaduan, Anwar menegaskan ia dimulakan dengan apa yang dilakukan di peringkat Jabatan Perdana Menteri.
“Penjimatan tak begitu banyak dengan pengurangan jemaah menteri, namun ini adalah signal dengan kekuatan penjawat awam diketuai Ketua Setiausaha Negara (KSU), Tan Sri Mohd Zuki Ali akan memastikan jaminan (penjimatan) ini dilaksanakan,” katanya.
Malah beliau juga menegaskan beliau memulakan satu pendekatan dasar dan keyakinan terhadap ekonomi tempatan dan pelabur asing.
“Biar saya teruskan dan dibantu oleh pasukan yang mantap,” katanya sambil menyatakan senarai nama Timbalan Menteri akan diumumkan kemudian.
Berikut senarai barisan Kabinet Anwar:
DATUK SERI ANWAR IBRAHIM (PH/PKR)
- Perdana Menteri
- Menteri Kewangan
DATUK SERI AHMAD ZAHID HAMIDI (BN/UMNO)
- Timbalan Perdana Menteri
- Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah
DATUK SERI FADILLAH YUSOF (GPS/PBB)
- Timbalan Perdana Menteri
- Menteri Perladangan dan Komoditi
ANTHONY LOKE SIEW FOOK (PH/DAP)
- Menteri Pengangkutan
MOHAMAD SABU (PH/AMANAH)
- Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan
MOHD RAFIZI RAMLI (PH/PKR)
- Menteri Ekonomi
NGA KOR MING (PH/DAP)
- Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan
DATUK SERI MOHAMAD HASAN (BN/UMNO)
- Menteri Pertahanan
DATUK SERI ALEXANDER NANTA LINGGI (GPS/PBB)
- Menteri Kerja Raya
DATUK SERI SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL (PH/PKR)
- Menteri Dalam Negeri
DATUK SERI TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ (BN/UMNO)
- Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri
DATUK SERI MOHAMED KHALED NORDIN (BN/UMNO)
- Menteri Pendidikan Tinggi
CHANG LIH KANG (PH/PKR)
- Menteri Sains dan Teknologi
DATUK SERI NANCY SHUKRI (GPS/PBB)
- Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
DATUK SERI SALAHUDDIN AYUB (PH/AMANAH)
- Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup
DATUK SERI AZALINA OTHMAN (BN/UMNO)
- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi)
NIK NAZMI NIK AHMAD (PH/PKR)
- Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim
DATUK EWON BENEDICK (GRS/Warisan)
- Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi
DATUK SERI DR ZAMBRY ABD KADIR (BN/UMNO)
- Menteri Luar Negeri
DATUK SERI TIONG KING SING (GPS/PDP)
- Menteri Pelancongan
AHMAD FAHMI MOHAMED FADZIL (PH/PKR)
- Menteri Komunikasi Digital
FADHLINA SIDEK (PH/PKR)
- Menteri Pendidikan
DATUK AARON AGO ANAK DAGANG (GPS/PRS)
- Menteri Perpaduan Negara
DATUK DR MOHD NA’IM MOKHTAR (Penjawat Awam)
- Menteri Agama
HANNAH YEOH TSEOW SUAN (PH/DAP)
- Menteri Belia dan Sukan
V.N SIVAKUMAR (PH/DAP)
- Menteri Sumber Manusia
DR ZALIHA MUSTAFA (PH/PKR)
- Menteri Kesihatan
ARMIZAN MOHD ALI (GRS/Bersatu)
- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak)
-EDISI9