29.1 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Langgar syarat sah lesen, sebuah bot gentian kaca ditahan

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Zon Maritim Kuala Kurau telah menahan sebuah bot gentian kaca di kedudukan 0.2 batu nautika barat Kuala Gula, Perak pada sekitar jam 4.05 petang, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Najhan Azman Hamid berkata, semasa rondaan rutin, pasukan bot peronda Maritim Malaysia telah mengesan bot terbabit bergerak dalam keadaan mencurigakan dan dirapati untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan menemukan seramai empat orang kru nelayan warga tempatan termasuk tekong berumur antara 18 hingga 54 tahun berada di atas bot terbabit.

“Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen bot mendapati, lesen bot terbabit telah tamat tempoh dan spesifikasi enjin yang digunakan tidak sama seperti yang didaftarkan dalam lesen.

“Selain itu, pemilik asal tidak mengusahakan sendiri bot terbabit.

“Sehubungan dengan itu, kesemua kru, bot dan peralatan menangkap ikan telah ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi hantaran di Facebook di sini.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana telah melanggar syarat sah lesen.

Ujarnya, orang ramai boleh melaporkan aduan atau insiden kecemasan di laut kepada Maritim Malaysia menerusi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau (05-7279919) untuk tindakan segera. – Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan