25.8 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Muhyiddin belanja wang KWSP untuk rakyat – Anwar

Namun, ada beberapa puluh bilion yang lain yang menunjukkan ada pelanggaran peraturan.

Mesti Baca

PERBELANJAAN kerajaan Perikatan Nasional (PN) semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk rakyat sebahagian besarnya diambil daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu diperoleh selepas meneliti dokumen-dokumen berhubung kontroversi perbelanjaan RM580 bilion hingga RM600 bilion yang dimainkan semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, setelah diteliti sejumlah besar daripada wang tersebut adalah daripada KWSP, iaitu wang simpanan hari tua rakyat sendiri dan juga untuk moratorium bank.

“Namun, ada beberapa puluh bilion yang lain yang menunjukkan ada pelanggaran peraturan.

“Justeru, kepada Tan Sri Muhyiddin, jangan cabar kerajaan kerana ada beberapa peraturan dan prosedur yang tidak dipatuhi serta ada beberapa syarikat berkepentingan melibatkan keluarga turut terpalit,” katanya hari ini.

Sebelum itu Anwar memasuki pejabatnya di Bangunan Perbendaharaan Malaysia, Putrajaya sebelum mempengerusikan mesyuarat bersama para pegawai kementerian.

Semalam, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri tampil menjawab tuduhan penyelewengan dana kerajaan sebanyak RM600 bilion sehingga laporan polis dibuat terhadapnya.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, beliau tidak pasti daripada mana angka tersebut dipetik tetapi dipercayai berkaitan lapan Pakej Rangsangan Ekonomi bernilai RM530 bilion yang dilaksana semasa beliau menjawat jawatan Perdana Menteri.

Beliau berkata, pakej-pakej rangsangan ekonomi itu dilaksanakan bagi membantu rakyat dan perniagaan yang terjejas semasa tempoh pandemil Covid-19.

Sementara itu, Anwar berkata, kerajaan juga akan menyemak semula peruntukan RM7 bilion yang diluluskan kerajaan lalu daripada RM15 bilion bagi projek tebatan banjir.

Beliau berkata, ini kerana beliau mendapati peruntukan itu dilulusjan tanpa proses mengikut peraturan.

“Saya akan pastikan perkara tersebut tidak diteruskan supaya prinsip ketelusan serta peraturan dipatuhi,” kata beliau.

Mengenai Belanjawan 2023, Perdana Menteri berkata, belanjawan baharu akan dibahaskan pada tahun hadapan bersekali dengan pembukaan penggal baharu Dewan Rakyat yang akan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, belanjawatan itu akan diberi nafas serta pendekatan baharu yang akan mencakup persoalan kemiskinan, kesenjangan serta langkah-langkah khusus dalam memastikan iklim yang lebih segar bagi menggalakkan pelaburan, memulihkan keyakinan serta memacu pertumbuhan ekonomi. – Edisi 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan