30.3 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 12, 2024
Home Blog Page 1678

Spektrum 5G, peluang turun harga Internet

KUALA LUMPUR – Pengurangan harga internet harus menjadi syarat utama kepada mana-mana syarikat-syarikat telekomunikasi jika mereka dianugerahkan Spektrum 5G, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd. Razlan Rafii.

Ketika mengemukakan cadangan itu dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, syarikat-syarikat tersebut juga perlu memastikan tiada kos tambahan dikenakan kepada pengguna.

Berikut kenyataan penuh beliau:

Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikenakan di sini, rakyat khususnya pengguna telefon pintar hanya bergantung kepada kemudahan akses internet bagi mengikuti perkembangan semasa pandemik Covid-19 serta pelbagai perkara melalui medium media sosial dan sebagainya.

Pentingnya internet tidak terhad kepada isi rumah sahaja, namun bagi sesetengah orang internet umpama keperluan kedua selain makanan sepanjang tempoh PKP.

Bagi memastikan produktiviti dan syarikat-syarikat swasta terus beroperasi secara berterusan, inisiatif bekerja dari rumah Work From Home (WFH) dan pembelajaran secara dalam talian dilihat sebagai satu amalan yang baik dan memberikan situasi ‘menang-menang’ kepada kedua-dua pihak.

Tidak dapat dinafikan keperluan internet menjadi norma baru yang penting bagi kehidupan rakyat Malaysia dan dunia umumnya.

Sehubungan itu, saya berpendapat sudah tiba masanya kerajaan mengkaji semula harga serta kelajuan internet di samping mempercepatkan kerja-kerja menaik taraf infrastruktur komunikasi di negara ini.

Langkah ini bertujuan untuk memastikan kita terus dapat mengamalkan dasar atas talian (online) dalam perkembangan pelbagai sektor seperti perkhidmatan sektor telekomunikasi, penyiaran, sains dan teknologi, kesihatan, maritim dan sebagainya.

Tindakan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah mengarahkan pembatalan dan penentuan penggunaan spektrum di dalam jalur frekuensi 700MHz, 900MHz dan 2600MHz atau spektrum 5G susulan isu teknikal, undang-undang serta perlunya mengikut proses telus adalah langkah yang baik.

Sebelum ini, ia antara punca kadar harga internet menjadi mahal kerana menjadi beban kepada syarikat operator membangunkan infrastruktur.

Seperti di India, Spektrum 5G ini adalah satu ‘komoditi’ yang sangat ‘digilai’ oleh syarikat-syarikat telekomunikasi.

Memandangkan kerajaan belum lagi menganugerahkan Spektrum 5G kepada mana-mana syarikat telekomunikasi, saya ingin mencadangkan beberapa perkara iaitu ;

a. Harga internet harus dikurangkan dan ini menjadi syarat utama kepada penganugerahan Spektrum 5G kepada syarikat-syarikat telekomunikasi yang layak.

b. Tiada kos tambahan dikenakan kepada pengguna jika infrastruktur 5G ini harus ditambahbaik atau dipertingkatkan. Maksudnya di sini tiada cost transfer dari syarikat telekomunikasi kepada pengguna.

c. Spektrum 5G ini harus diberikan kepada syarikat Government Link Company (GLC) dan mereka (GLC) boleh menyewakan spektrum 5G kepada syarikat telekomunikasi bukan milik kerajaan. Ia secara tidak langsung dapat meningkatkan keuntungan syarikat GLC dan dalam masa yang sama dapat ‘berkongsi’ dividen yang tinggi kepada kerajaan.

Diharapkan agar syarikat-syarikat telekomunikasi sedia ada di Malaysia peka akan harga serta kelajuan internet yang mereka tawarkan.

Mengikut statistik semasa, harga internet di Malaysia antara yang tertinggi di Asia dengan kelajuan yang rendah.

Perkara ini harus diperbetulkan dan diperbaiki dengan segera demi kebaikan rakyat. – EDISI9

Mahathir ‘peluru ampuh’ DAP untuk kembali berkuasa

DALAM satu klip video ceramah seorang pemimpin DAP, beliau secara terbuka menyatakan kenapa parti itu menerima Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk bergabung dalam Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Melalui klip yang boleh ditonton di saluran Youtube itu, antara lain pemimpin DAP tersebut berkata, “Kita jadi pembangkang selama 52 tahun, dah bosan dah. Mengapa kita yakin akan menang. Pas punya Hadi ke sana. UMNO punya Mahathir pula datang sini.

“Kalau Mahathir tak datang sini, Hadi pulak pergi ke sana, PRU kali ini kita tak payah bertanding. Mesti jadi pembangkang lagi. Perak pun kita tak dapat, apatah lagi Putrajaya. Tapi disebabkan UMNO berpecah. Datang pula seekor kuda (Mahathir). Kal ini kita ada seekor kuda, kuda ini dah datang. Pas Hadi ke UMNO untuk jadi kawan, ialah lawan kita.

“Sekarang kita berkawan dengan Mahathir adalah untuk melawan musuh yang sama, musuh itu ialah Najib. Saya tak cakap Mahathir itu orang baik. Yang belajar sejarah kita tahu macam mana nak nilai politician macam Mahathir ni. Mahathir semestinya bukan orang yang baik.”

Walaupun ucapan ini tersebar pada April 2018, tetapi ia masih relevan sehingga ke hari ini kerana Mahathir masih setia berkawan dengan DAP.

Malah demi sayangnya kepada DAP, Mahathir tergamak mengatakan ramai orang Melayu bacul kerana takutkan parti itu.

Malah Mahathir juga sanggup ‘berperang’ dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila Perdana Menteri membuat keputusan membawa Bersatu keluar daripada PH kerana tidak mahu bekerjasama dengan DAP.
Justeru Mahathir bagaikan pembela tegar kepada DAP.

Perasaan benci beliau kepada UMNO khususnya Datuk Seri Najib Tun Razak seolah-olah tiada penghujungnya sehinggakan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat pemimpin-pemimpin Armada pun dikaitkan dengan Najib walaupun Ahli Parlimen Pekan itu tidak ada apa-apa kuasa sama ada dalam parti mahupun kerajaan.

Turut menjadi sasaran kemarahan Mahathir ialah Muhyiddin yang membentuk kerajaan bersama UMNO dan Pas.

Sikap Mahathir itu sudah tentulah menguntungkan DAP sebab itulah parti itu mahu Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim bekerjasama melawan Muhyiddin dan Najib.

DAP masih melihat Mahathir mempunyai pengaruh untuk meraih sokongan rakyat khususnya orang Melayu, oleh itu sementara mereka mengekalkan hubungan dengan Anwar tetapi DAP mahu Mahathir bersama mereka.

Dari segi faktor umur, mereka memahami Mahathir sudah tidak ada kekuatan lagi sama ada dari segi fizikal atau mental untuk sekali lagi menjadi Perdana Menteri.

Kalau diteliti klip video yang dinyatakan, pemimpin DAP berkenaan tanpa rasa bersalah “memperolok-olokkan” usia Mahathir tetapi pada masa sama menegaskan, “Sebab itu bila Mahathir nak jadi kawan kamu boleh tolong kamu dapatkan undi Melayu. Kita mestilah senyum, takkan nak marah Mahathir lagi.”

DAP sebenarnya tidak yakin dengan kemampuan Anwar untuk mengemudi PH kembali berkuasa. Sebab itulah mereka mahu terus ‘memperalatkan’ pengaruh Mahathir.

Lagipun mereka tahu kalau pun nanti Mahathir menjadi Perdana Menteri, beliau tidak ada kekuatan kerana di tangannya ada lima sahaja kerusi Parlimen.

Namun Mahathir tidak peduli semua itu dan apakah mungkin misi Mahathir bukan sekadar mahu menumbangkan Muhyiddin dan menyerang Najib tetapi juga mahu menghalang Anwar daripada menjadi Perdana Menteri?

Ramai melihat dan membuat tafsiran Mahathir dilihat tidak ikhlas mahu melantik Anwar menggantikan beliau.

Kalau beliau betul-betul jujur mahukan Anwar sudah tentu beliau tidak akan membuat kenyataan baru-baru ini apabila membayangkan hasrat mahu menjadi Perdana Menteri buat kali ketiga “untuk beberapa bulan sebab umur saya sudah 94 tahun…”.

Walaupun mungkin akan ada pelan peralihan kuasa tetapi adakah ia ditunaikan? Adakah Anwar akan dikecewakan lagi?

Sama-sama kita lihat apa kesudahannya tetapi apa yang pasti politik kebencian Mahathir terhadap Muhyiddin dan Kerajaan PN serta pengaruh bekas Perdana Menteri itu diharapkan oleh DAP boleh menjadi ‘peluru ampuh’ untuk mereka.

Persoalannya, dalam usia 95 tahun, mampukah Mahathir menjadi pemimpin yang kuat dan menguasai sepenuhnya PH serta kerajaan jika pakatan itu kembali berkuasa?

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Musa syukur bebas 46 tuduhan rasuah, pengubahan wang haram

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman menzahirkan kesyukuran kepada Allah SWT serta penghargaan terhadap semua pihak selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepaskan dan membebaskan beliau daripada 46 tuduhan berkaitan rasuah dan pengubahan wang haram hari ini.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga:

Alhamdulillah saya bersyukur kepada Allah SWT kerana akhirnya dengan izin Tuhan saya diberikan keadilan untuk membersihkan segala tuduhan yang sekelian lama dibuat ke atas diri saya.

Permohonan untuk membatalkan pendakwaan yang telah difailkan awal tahun ini telah dibuat dengan cukup teliti dengan disokong oleh keterangan dan dokumen bukti yang cukup jelas dan nyata yang tidak dapat dipertikaikan.

Terima kasih kepada barisan peguam saya bersama pembantu mereka yang telah memberi perkhidmatan yang cukup baik dan berdedikasi sepanjang tempoh ini.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan penghargaan kepada badan pendakwaan dan badan kehakiman negara terutamanya mereka yang telah bertindak secara objektif, profesional, berkecuali dan tanpa prejudis dalam menilai fakta kes ini sejak dua tahun yang lalu.

Sesungguhnya Allah Maha Adil dan janji-Nya itu benar dan pasti bagi hamba-Nya yang sabar.

Apa yang telah berlaku kepada saya dan keluarga, biarpun dilihat terjadi kerana perbezaan politik, saya anggap sebagai ujian dan dugaan Tuhan buat kami sekeluarga.

Terima kasih kepada semua keluarga saya yang sentiasa bersama dan bersabar serta sentiasa mendoakan sepanjang dugaan ini.

Tidak lupa para sahabat jauh dan dekat serta rakan seperjuangan yang membantu secara langsung dan tidak langsung dan juga rakan media yang telah memberi saya ‘benefit of the doubt’ sepanjang liputan kes ini.

Sempena bulan baik lagi mulia ini marilah kita saling bermaafan dan berdoa moga mendapat rahmat Tuhan serta diberikan kekuatan menghadapi ujian pandemik COVID-19 ini.

Semoga negara kita akan segera pulih dari dugaan ini dan kita terus dapat berbakti untuk agama, bangsa dan negara tercinta. – EDISI 9

Sambung semula kontrak perkhidmatan penjawat awam – CUEPACS

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kerajaan supaya menyambung semula perkhidmatan kira-kira 603 orang pekerja kontrak di agensi-agensi kerajaan yang telah dan akan tamat tempoh kontrak.

Presidennya, Adnan Mat berkata, difahamkan daripada jumlah tersebut, seramai 265 orang telah tamat kontrak perkhidmatan manakala kontrak perkhidmatan 338 orang lagi akan berakhir dalam masa terdekat.

Menurut beliau, CUEPACS menerima banyak aduan daripada pekerja kontrak di agensi-agensi kerajaan yang memaklumkan kebimbangan kontrak mereka tidak akan disambung walaupun menunjukkan mutu kerja yang baik.

“Sehubungan itu, CUEPACS merayu kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya kesemua pekerja kontrak terutamanya yang telah ditamatkan perkhidmatan mereka sebelum ini diambil semula bekerja, manakala mereka yang kontraknya akan tamat disambung semula.

“Dalam hal ini, pekerja-pekerja kontrak yang terlibat tidak perlu dibuang tetapi penggunaan sumber manusia perlu disusun atau dinilai semula dengan menempatkan mereka-mereka ini di kementerian atau agensi yang kritikal,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Adnan menambah, usaha ini bukan sahaja mengurangkan kadar pengangguran, malah membolehkan kementerian dan agensi yang kritikal dapat berfungsi dengan lebih baik bagi membantu kerajaan menjayakan pakej-pakej rangsangan menjana semula ekonomi negara.

“Apatah lagi negara ketika ini telah memasuki tempoh perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), maka wajarlah kontrak mereka disambung semula bagi membantu kerajaan memberikan mutu perkhidmatan yang baik kepada rakyat serta melaksanakan pelan pemulihan ekonomi negara,” jelasnya.

Beliau memberitahu, pekerja kontrak juga adalah penjawat awam dan rata-rata mereka ada yang telah berkhidmat selama lima hingga 10 tahun.

“Sepanjang perkhidmatan pelbagai peranan dan jasa telah dicurahkan untuk agensi tertentu, jadi tidak salah jika kontrak mereka disambung lagi,” ujarnya.

Sehubungan itu, CUEPACS berharap kerajaan tidak menjadikan pekerja kontrak sebagai mangsa selepas ramai kehilangan pekerjaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini. – EDISI 9

Jangan gopoh buka sempadan kepada pelancong asing

0

KUALA LUMPUR – Pergerakan Wira PUTRA Malaysia menolak cadangan Persatuan Jalur dan Laluan Malaysia yang meminta kerajaan membenarkan pelancongan perniagaan memasuki negara ini secara berperingkat dengan alasan bagi menjana ekonomi.

Dalam kenyataannya, Ketua pergerakan itu, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, banyak lagi kaedah lain yang dipertimbangkan bagi memperkukuhkan ekonomi domestik.

Berikut kenyataan penuh beliau;

NASRUL ALI HASAN

Perubahan fasa PKP Bersyarat kepada Pemulihan bukan lesen untuk menyegerakan pembukaan pintu sempadan bagi menerima pelancong mahupun peniaga asing.

Ia adalah fasa yang paling penting bagi memastikan rakyat Malaysia dapat bebas sepenuhnya daripada belenggu wabak pandemik COVID-19 ini.

Wira PUTRA menolak cadangan dalam kenyataan Presiden Persatuan Jalur dan Laluan Malaysia, Datuk Chuah Poh Kiang yang meminta kerajaan membenarkan pelancong perniagaan memasuki negara secara berperingkat dengan alasan bagi menjana ekonomi negara.

Banyak lagi kaedah yang boleh difikirkan bagi memperkukuh ekonomi domestik terlebih dahulu sebelum merisikokan kembali negara dengan ancaman wabak COVID-19 walapun pelancong perniagaan tersebut melepasi syarat tapisan keselamatan.

Malaysia adalah antara negara yang sebelum ini paling mudah dimasuki oleh sesiapa sahaja. Cara halal atau haram. Halal melalui permit pekerja asing atau visa on arrival atau masuk cara menyeludup secara haram melalui sempadan Thailand atau melalui laut dan sebagainya.

Apapun, ia mudah serta bebas dan tidak seperti negara-negara lain. Antara sebabnya, di Malaysia Negaraku apa sahaja boleh runding. Cash is King atau keputusan-keputusan atas dasar perkiraan kepentingan politik.

Wira PUTRA memahami keperluan dan kepentingan ekonomi sesetengah perniagaan yang melibatkan perdagangan dan pelaburan rentas sempadan.

Namun, bagi memastikan rakyat tidak menjadi mangsa akibat kerakusan dan ketamakkan memperoleh keuntungan kumpulan peniaga tertentu, adalah lebih baik hajat tersebut ditahan sementara waktu sehingga keadaan dunia khusus negara ASEAN kembali stabil dari ancaman wabak ini.

Jangan mengambil risiko yang akhirnya memudaratkan keselamatan rakyat serta berbagai ancaman termasuk ekonomi negara dan perbelanjaan negara yang banyak bagi memulihkan keadaan.

Sudah lama berlaku era di hutan disusukan, anak sendiri mati. Semua ini akan mengugat keamanan dan keselamatan negara.

Wira PUTRA berharap kerajaan Malaysia membuat keputusan waras dan tidak gopoh apabila terdapat cadangan yang ada kaitan dengan keselamatan, tidak boleh digembar-gembur pada umum bagi mencari populariti, publisiti serta keuntungan politik semata-mata.

This is a matter of national security. Jangan biar nasi menjadi bubur. Sifat tolak ansur, baik dan terbuka, biarlah kena pada tempatnya serta mengikut kesesuaian tahap isu-isu dan perkara-perkara yang berbangkit.


Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Pemain naturalisasi: Berpada-padalah FAM

NAMPAKNYA FAM begitu ghairah menaruralisasikan pemain asing untuk diserap ke dalam skuad kebangsaan.

Selepas berjaya menjadikan pemain asal Gambia, Mohamadou Sumareh sebagai pemain kebangsaan, kemudian diikuti Liridon Krasniqi dari Kosovo, khabarnya beberapa lagi pemain asing menaruh minat untuk menjadi “warganegara” Malaysia sekaligus membolehkan mereka mewakili skuad Harimau Malaya.

Untuk tempoh jangka pendek, mengambil pemain-pemain asing untuk diserap sebagai pemain kebangsaan dengan menghadiahkan mereka kad pengenalan Malaysia nampak berjaya, namun apakah kesan kepada pemain tempatan pada masa depan?

Bayangkan seluruh pasukan negara diisi oleh pemain naturalisasi dan pemain-pemain kacukan yang kadang itu entah dari mana tiba-tiba mengaku ada talian darah dengan orang Malaysia, bagaimana peluang pemain tempatan lain?

Bagi penulis, FAM boleh sahaja mengambil pemain naturalisasi dan juga pemain kacukan untuk mengisi setiap inci padang tetapi berpada-padalah.

Jangan kerana terlalu ghairah mengejar ranking, kita mengabaikan para pemain tempatan — yang lahir, membesar dan bermain bola di tanah air mereka sejak di bangku sekolah. Mereka membina kemahiran, mencurah keringat untuk pasukan sekolah, universiti, negeri sehinggalah ke kelab-kelab Liga Malaysia.

Malangnya apabila memilih skuad kebangsaan, mereka tercicir kerana FAM lebih ghairah melihat para pemain asing serta para pemain kacukan Malaysia, yang ada di antara mereka tidak tahu pun menyanyikan lagu Negaraku sebelum beraksi di padang.

Mengambil atlet asing untuk beraksi untuk pasukan negara bukanlah asing bagi Malaysia. Ketika kita menjadi tuan rumah Sukan Komanwel pada tahun 1998 dahulu, ada beberapa atlet asing yang kita “beli” untuk beraksi untuk pasukan negara, untuk menjadi penyumbang emas.

Seingat penulis atlet asing yang diberi kerakyatan ‘segera’ untuk diserap sebagai atlet negara ialah Muhammad Hidayat Hamidon (angkat berat – Indonesia), Yuan Yufang (lumba jalan kaki – China) dan Irina Maharani (menembak – Russia).

Prestasi mereka tidaklah boleh dibanggakan walaupun Muhammad Hidayat berjaya memenangi pingat emas dalam temasya 1998 itu, tetapi lain-lain atlet “tidak ke mana”. Tidak memenangi pingat di peringat lebih tinggi seperti Sukan Asia apatah lagi Sukan Olimpik.

Walaupun kita membayar dengan harga mahal para atlet terbabit termasuk memberikan kerakyatan, tetapi pencapaian mereka tidaklah “mendunia” sebaliknya ada atlet anak jati Malaysia yang prestasi mereka jauh lebih baik. Ambil sahaja contoh Azizulhasni Awang (basikal), Datuk Nicol David (squasy) dan Datuk Lee Chong Wei (badminton).

Justeru, bagi penulis FAM tidak perlulah terlalu ghairah mengejar pemain naturalisasi atau pemain kacukan sebaliknya mereka perlu memberi tumpuan membina pemain-pemain tempatan sehingga ke tahap tertinggi.

Mereka perlu menyediakan satu penanda aras program pengambilan pemain naturalisasi dan kacukan ini. Letakkan pencapaian untuk muncul juara Asia dan peringkat tertinggi kelayakan Piala Dunia, bukan hanya sekadar menjuarai Sukan SEA. Tidak, itu tidak memadai.

Cukuplah seorang dua pemain naturalisasi atau kacukan yang ada, janganlah terlalu ghairah menjelajah setiap ceruk dunia mencari pemain bola sepak “ada darah Malaysia” untuk diserap jadi pemain kebangsaan.

Kelak nanti akhirnya kita mengumpul sampah-sampah yang terbuang di negara mereka untuk dibawa ke sini, tidak jangan sampai ke tahap itu. – Edisi 9

Usah layan ‘psywar’ PH

PEMBENTUKAN kerjasama antara UMNO dan Pas dalam Muafakat Nasional (MN) sememangnya sesuatu yang menakutkan Pakatan Harapan (PH) yang terus mendapat sokongan daripada Tun Mahathir Mohamad.

Mereka tahu kekuatan gabungan antara dua parti besar orang Melayu itu bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan.

Sehubungan itu, dari semasa ke semasa, pemimpin dan cybertrooper PH terus melancarkan ‘perang psikologi’ atau psywar bagi menggugat kerjasama tersebut.

Ia termasuklah membangkitkan persoalan apa akan berlaku kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pemimpin Bersatu yang menyebelahi beliau.

Seorang pemimpin Bersatu yang sudah digugurkan keahliannya membangkitkan persoalan apakah benar Muhyiddin akan diberi laluan oleh UMNO untuk menjadi Perdana Menteri.

Mereka turut menimbulkan persoalan berhubung pembahagian kerusi yang akan melibatkan UMNO, Pas dan Bersatu kerana ketiga-tiga parti itu mewakili orang Melayu dan bertanding sesama sendiri ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pada masa sama seorang pemimpin DAP menggesa supaya Mahathir dan Anwar bergabung untuk melawan Muhyiddin dan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Agak pelik kenapa Najib yang tidak mempunyai apa-apa jawatan dalam parti mahupun kerajaan tetapi sekadar Ahli Parlimen Pekan terus menjadi ‘hantu’ yang meresahkan PH.

Dalam PRU-14, mereka menjadikan Najib sebagai modal untuk menjatuhkan BN tetapi dalam menghadapi PRU-15, mereka mula takut faktor Najib akan menyebabkan PH ditolak oleh rakyat khususnya orang Melayu.

Walaupun setakat ini ‘psywar’ PH dan Mahathir tidak menjejaskan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) mahupun UMNO atau Pas, tetapi mereka perlu berhati-hati. Kerjasama antara parti dalam PN harus diperkukuhkan dan kesepakatan dalam MN harus diperteguhkan.

PRU-15 harus dijadikan gelanggang bagi memperkukuhkan kuasa politik Melayu yang pastinya akan turut memberi manfaat besar kepada kaum-kaum lain memandangkan PN bukan sahaja dianggotai oleh UMNO, Pas dan Bersatu tetapi juga MCA, MIC, Gabungan Parti Sarawak dan Gabung Bersatu Sabah.

Bagaimanapun misi tersebut tidak disenangi oleh pemimpin-pemimpin Melayu pembangkang, penggunaan perkataan ‘Kerajaan Melayu-Islam’ bagi menggambarkan Kerajaan PN membuktikan usaha mereka untuk menakut-nakutkan kaum lain kepada PN.

Tetapi mereka lupa apapun hujah yang dikeluarkan oleh Mahathir dan pemimpin-pemimpin Melayu lain dalam PH sebelum ini, DAP tetap dilihat mendominasikan Kerajaan PH sebelum ini dan dengan menguasai 42 kerusi Parlimen, ‘nyawa’ kerajaan tersebut terletak di tangan mereka.

Sebab itulah pemimpin-pemimpin DAP tidak banyak bercakap atau membuat kenyataan politik sejak kebelakangan ini kerana tahu kekuatan yang ada kepada mereka. PKR hanya memiliki 39 kerusi, Amanah hanya ada 11 kerusi, Warisan 9 kerusi sahaja manakala Mahathir hanya lima kerusi.

Selain itu ‘psywar’ PH juga bertujuan menutup situasi berantakan yang dikatakan berlaku melibatkan Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim berikutan isu siapa akan menjadi Perdana Menteri jika PH kembali berkuasa.

Mahathir sudah menyatakan secara terbuka beliau mahu menjadi Perdana Menteri lagi, biarpun menegaskan ia hanya untuk beberapa bulan tetapi hampir kesemua ahli Parlimen PKR tidak mahu lagi menyokong bekas Perdana Menteri tersebut kerana mereka sudah serik dengan apa yang berlaku.

Pada masa sama, Anwar pula berhadapan dengan masalah kerana dikhabarkan ahli-ahli Parlimen DAP dan Amanah tetap mahu Mahathir menjadi Perdana Menteri sebelum peralihan kuasa dilakukan. 

Bagaimanapun PN dan MN tidak perlu ‘menyibuk’ soal rumah tangga PH, biarkan mereka berantakan. Apa yang penting ialah mengatur strategi dan memperkukuhkan gerakan bagi meraih sokongan rakyat.

Elakkan sebarang isu yang boleh mengugat perpaduan sesama mereka khususnya melibatkan UMNO,Pas dan Bersatu.

Sekarang ini pun penulis ada dengar cerita-cerita yang tak sedap khususnya melibatkan UMNO dan Pas, tetapi buat masa ini, penulis anggap ia hanyalah ‘gosip-gosip’ politik. 

Percayalah PH dan Mahathir tidak akan ‘duduk diam’, mereka akan berusaha habis-habisan untuk memburuk-burukkan PN dan MN serta memecah belahkan perpaduan kedua-dua gabungan berkenaan.

Sebab itulah pemimpin-pemimpin PN dan MN perlu berhati-hati, jangan terlalu mudah membuat kenyataan-kenyataan yang boleh mewujudkan pelbagai spekulasi dan persepsi.

Momentum rakyat khususnya orang Melayu kini bersama PN dan MN, oleh itu jangan ada yang bertindak merosakkan momentum tersebut kerana kepentingan politik peribadi dan puak masing-masing. 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Istana restu Anwar ambil alih kerajaan? Dongeng teragung abad ini

Oleh: ANUAR SHAARI

Ada satu frasa sinis yang popular sedikit masa lalu mengenai Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dalam adegan itu, rakan saya mengemukakan satu teka-teki dan memulakannya dengan satu pertanyaan. “Bilakah Anwar mula berbohong?”

Maka keluarlah seribu satu jawapan yang difikirkan logik mengenai Anwar Ibrahim. Ada yang mengatakan bila Anwar berucap sambil memegang butang baju melayunya. Ada juga yang meneka bila Anwar mula mendepa tangannya dan kemudiannya menghentak rostrum atau meja.

Malahan ada yang cuba menjawab dengan pemikiran di luar kotak. “Anwar mula berbohong apabila beliau mula bergoyang”. Saya percaya yang berkata ini merujuk kepada sikap Anwar yang seringkali menari di atas pentas bila ada majlis-majlis keramaian.

Namun menurut yang bertanya soalan, tiada satu jawaban pun yang dikatakan tepat untuk menggambarkan sikap Anwar. Lantas beliau memberikan jawapan yang paling tepat menurut pandangannya.

Jawapan tepat menurutnya adalah “Anwar mula berbohong apabila beliau mula membuka mulutnya” (dipercayai merujuk kepada sikap Anwar yang sering memberi janji bombastik terhadap sesuatu perkara).

Walaupun ceritera ini hanyalah gurauan dan mungkin juga rekaan, ia menggambarkan sikap Anwar yang sering berjanji manis bagi menarik sokongan.

Terbaru, bekas aktivis PKR sendiri mendedahkan Anwar (dalam pertemuan minggu lepas bersama seorang ADUN PKR) mengatakan baginda Sultan Johor merestui Anwar mengambil alih kerajaan pusat dengan syarat Dr Mahathir Mohamad tiada dalam ‘kerajaan Anwar’.

Aktivis tersebut juga mengatakan Anwar mendakwa telah memperolehi 112 sokongan Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu, namun hanya akan bertindak apabila jumlahnya mencapai 120 orang.

Tidak cukup ‘menjual’ nama Sultan Johor, Anwar turut memetik nama Tengku Hasanal pemangku Sultan Pahang dan raja-raja melayu yang lain. Jika wakil rakyat PKR sendiri meragui apa yang Anwar katakan ini, kita sebagai masyarakat awam perlu lebih bijak menilai. Usah terpedaya dengan mainan politik Anwar.

Secara psikologinya, orang yang tidak punya sokongan akan ‘mencipta’ cerita bagi menarik sokongan yang belum ada pada dirinya. Orang yang punya kekuatan secara strateginya akan terus bertindak kerana yakin akan kekuatannya. Paling tidak pun, kekuatan tersebut tidak akan dihebohkan sementara menunggu masa yang sesuai untuk bertindak.

Tapi itulah Anwar, beliau gemar bergerak umpama ‘tong kosong’. Bila diketuk bunyinya kuat, namun dalamnya kosong, tiada apa-apa.

Tambahan pula, cerita Anwar ‘menjual’ nama Sultan Johor ini bukan kali pertama kita dengar. Jangan kita lupa tahun 2008, Anwar turut ‘menjual’ nama Sultan Johor konon mahu mengambil alih kerajaan pada 16 Sept 2008.

Apa yang terjadi selepas itu? Anwar hanya kekal sebagai calon Perdana Menteri. Lebih teruk lagi, kini Anwar hanya bekas bakal calon Perdana Menteri. (PH masih tiada kata putus calon PM).

Kesimpulannya, ‘habuk pun tak da’. Mungkin itu kata-kata paling sesuai bagi menggambarkan dongeng Anwar kali ini. Namun kita jangan sesekali alpa dengan Anwar.

Beliau tentunya akan mencuba lagi selepas ini. Entah nama siapa pula akan dipetik kali ini. Berhati-hatilah dengan manusia bernama Anwar Ibrahim.

Ceritera ‘Anwar mula berbohong apabila beliau membuka mulut’ mungkin ada benarnya. Sultan negeri Pasir Berdengung mungkin sahaja ada dalam senarai beliau untuk dijual di masa hadapan.

(Sumber: Blog Anuar Shaari Menulis)

Penulis ialah bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Wujud segera akta ganti ISA pertahan institusi raja, agama

KUALA LUMPUR – Parti PUTRA dan pertubuhan bukan kerajaan, Perkasa terus mendesak kerajaan mewujudkan akta baru bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah dimansuhkan.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, penggubalan akta itu penting bagi mempertahankan institusi raja-raja dan agama Islam yang sering menjadi sasaran sikap biadab kelompok yang tidak menghormati prinsip, ‘Di mana bumi dipijak, di situ lagi dijunjung’.

Berikut kenyataan penuh Ibrahim sempena Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, esok:

IBRAHIM ALI

Tanggal 8 Jun 2020 ini adalah Sambutan Hari Keputeraan Rasmi DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong XVI Parti Putra dan NGO Perkasa merafak sembah menjunjung duli melafazkan ikrar taat setia dan menjunjung kasih kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan DYMM Raja Permaisuri Agong dengan iringan doa:

“Ya Allah Lanjutkan Usia Tuanku dan Permaisuri dengan kesihatan yang berpanjangan serta berdaulat bersemayam di atas singgahsana dengan penuh keberkatan. Insha-Allah.”

DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong adalah Ketua Negara, Payung Negara dan Lambang Perpaduan Seluruh Rakyat Malaysia.

Menjadi kewajipan seluruh rakyat memberi taat setia yang tidak berbelah bahagi sesuai dan selaras dengan asas Perlembagaan Negara di bawah Fasal 153, Kedaulatan Raja dan Prinsip Rukun Negara iaitu Kesetian kepada Raja dan Negara.

Mutakhir ini semenjak ledakan teknologi maklumat dan percambahan media sosial serta perubahan landskap politik negara, tidak sedikit timbul isu-isu penghinaan terhadap raja-raja Melayu dan institusi raja-raja dengan cemuhan, kata-kata kesat, penghinaan dan mempersoalkan fungsi serta peranan institusi raja berperlembagaan.

Maka NGO Perkasa selama hampir 11 tahun menongkah arus mempertahankan maruah institusi raja-raja Melayu dengan bersusun-susun laporan polis, usul dan berbagai resolusi bagi memperkasakan kembali institusi diraja akibat daripada sikap biadab, kurang ajar sesetengah pihak yang tidak menghormati prinsip ‘di mana bumi di pijak, di situ langit dijunjung.

Semua kedurjanaan ini berlaku kerana Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) telah dimansuhkan kerana ada pihak tidak berasa takut lagi dan pihak polis tidak ada lagi alat pencegahan seperti Akta ISA.

Maka sebablah itu Parti PUTRA dan Perkasa mendesak melalui resolusi sebelum ini dan dimuktamadkan dalam 10 Sumpah Keramat PUTRA bahawasanya wajib diwujudkan akta baharu yang dinamakan Akta Anti Islam dan Raja atau Akta Kedaulatan Islam dan institusi raja-raja yang menggunakan modus operandi seperti Akta ISA.

Tahanan Reman Tanpa Perintah 30 hari untuk siasatan dan Tahanan Tanpa Bicara 2 tahun serta seterusnya. Ia juga termasuk hukuman mandatori rotan dan penjara yang mana didakwa di mahkamah.

Cadangan ini sudah pun dikemukakan kepada jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Majlis Raja-Raja Melayu yang dipengerusikan oleh Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid. Sudah berbulan-bulan lamanya dan tidak ada khabar berita. Doa semoga mendapat perhatian Majlis Raja-Raja dan kerajaan.

AMPUN TUANKU

DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU

Mahathir, berhati-hatilah pertikai pelantikan Muhyiddin

MENYAMPAH, muak dan bosan. Itulah perasaan majoriti rakyat apabila membaca kenyataan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang terus menggunakan istilah ‘pintu belakang’, ‘tebuk atap’ apabila memperkatakan mengenai Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah kepemimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Turut ‘tumpang semangkuk’ untuk memburuk-burukkan Kerajaan PN ialah Tun Dr. Mahathir Mohamad. Pada Jumaat lepas pada sidang medianya, bekas Perdana Menteri berusia 95 tahun itu berkata, Muhyiddin tidak ada majoriti ketika mengangkat angkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

Sebaliknya beliau mendakwa, PH yang ada majoriti kerana terdapat 114 ahli Dewan Rakyat yang menandatangani akuan bersumpah (menyokong beliau menjadi PM). Apa mesej yang Mahathir mahu sampaikan kepada media-media antarabangsa yang hadir pada sidang akhbar tersebut?

Perlu diingat, Muhyiddin mengangkat sumpah bukan seperti mana kawan-kawan Mahathir dalam DAP mengadakan sidang DUN Perak di bawah pokok satu ketika dulu.

Muhyiddin mengangkat sumpah di Istana Negara di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Apa yang paling penting Seri Paduka membuat keputusan melantik Muhyiddin selepas percaya Ahli Parlimen Pagoh itu mempunyai sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Tatacara atau proses pemilihan dan keputusan itu telah diperjelaskan oleh Seri Paduka ketika pembukaan sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu.

Kalau Mahathir lupa titah Seri Paduka pada hari berkenaan sebab terlalu sibuk memikirkan strategi bagaimana mahu menjatuhkan Muhyiddin, berikut penulis papar kembali antara isi kandungan titah Seri Paduka ketika itu;

“Pada 24 Februari 2020 yang lalu; neratif lanskap politik negara telah sekali lagi digegarkan menerusi peletakan jawatan Perdana Menteri Malaysia yang ketujuh.

Sekitar jam 5.00 petang pada hari yang sama; beta telah berkenan menerima menghadap Yang Berhormat Tun Dr Mahathir bin Mohammad.

Dalam pertemuan tersebut; beta telah meminta Yang Berhormat Tun Dr Mahathir Mohammad untuk tidak meletak jawatan. Namun beliau tetap dengan keputusannya.

Oleh yang demikin; beta bertanggungjawab untuk melantik seorang Perdana Menteri yang baharu seperti mana yang dikehendaki oleh Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 43 memberi kuasa budi bicara kepada beta untuk melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat beta mendapat kepercayaan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Lantaran itu; pada 25 dan 26 Februari 2020; beta telah mengadakan sesi pertemuan secara berseorangan dengan Ahli-Ahli Dewan Rakyat untuk menilai sendiri sokongan kepercayaan mereka.

Pada 29 Februari 2020; beta telah menitahkan semua parti-parti politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat untuk mencalonkan nama seorang Ahli Dewan Rakyat sebagai bakal Perdana Menteri.

Atas permintaan beberapa ketua parti politik ; beta telah berkenan pula untuk melanjutkan tempoh masa bagi parti-parti politik mengemukakan pencalonan mereka agar masa yang cukup diberikan dalam mereka membuat perhitungan secara demokrasi.

Sudah tentu setiap pertandingan pasti akan ada penamatnya. Kemelut politik negara tidak boleh dibiarkan berlarutan dan berpanjangan dengan tanpa ada penghujungnya.

Lantaran itu; setelah melalui semua proses tersebut; dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan; beta telah mendapati Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin bin Haji Yassin telah mendapat kepercayaan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat dan dengan demikian selayaknya dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-8.

Sesungguhnya; Beta telah menggalas amanah dengan telus dan adil selaras dengan konsep Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen yang menjadi tunjang amalan negara kita.

Pada masa yang sama; beta juga menghargai kematangan dan kerjasama semua ahli-ahli Yang Berhormat dan rakyat jelata yang telah memainkan peranan dengan penuh berhemah dan beretika sehingga membolehkan beta menggalas amanah ini.’’

Titah Al-Sultan Abdullah itu membuktikan Seri Paduka telah menggunakan segala kebijaksanaan Seri Paduka untuk membuat keputusan.

Seri Paduka melakukan proses pemilihan Perdana Menteri Ke-8 dengan penuh berhati-hati, tertib dan berdasarkan peruntukan Perlembagaan.

Sebagai seorang individu yang dua kali menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun dan 22 bulan serta berhasrat untuk menduduki lagi jawatan itu buat kali ketiga, sudah pasti Mahathir mengetahui bahawa Seri Paduka sudah menjalankan tugas dengan sebaik mungkin dan penuh keadilan.

Tetapi malangnya kerana keputusan tidak menyebelahi beliau dan puak-puak maka sehingga ke hari ini beliau masih bercakap soal Muhyiddin tidak mempunyai sokongan majoriti ketika mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

Kita faham Mahathir mungkin kecewa kerana tidak dapat menjadi Perdana Menteri untuk kali ketiga tetapi janganlah terus membuat kenyataan yang boleh ditafsirkan oleh pelbagai pihak tidak menghormati dan mempertikaikan keputusan Yang di-Pertuan Agong.

Kalau Mahathir tidak bermaksud demikian, beliau perlu berhenti daripada bercakap soal jumlah sokongan Muhyiddin ketika mengangkat sumpah.

Sebagai tokoh yang dilihat lebih berpengaruh daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembangkang, beliau juga harus menasihatkan pemimpin-pemimpin PH supaya jangan bersikap biadab apabila terus menggunakan istilah ‘tebuk atap’ dan ‘pintu belakang’ kerana pembentukan kerajaan ini diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong dan semua anggota Kabinet mengangkat sumpah di hadapan Seri Paduka.

Mahathir perlu ingat kalau mahu menggunakan istilah ‘tebuk atap’, tidakkah beliau yang boleh dianggap bertanggungjawab melakukan perbuatan itu apabila salah strategi dengan meletakkan jawatan Perdana Menteri sehingga Kerajaan PH tumbang?

Tidakkah beliau yang ‘membuka pintu belakang’ apabila mahu membentuk Kabinet Perpaduan yang turut ditolak oleh PKR, DAP dan Amanah serta Bersatu.

Kenapa mahu menggunakan ‘pintu belakang’ untuk menjemput orang lain menyertai Kabinet sedangkan Mahathir begitu bangga apabila PH berjaya menumbangkan BN sehingga mereka boleh membentuk kerajaan dan melantik anggota Kabinet daripada pakatan tersebut?

Cukuplah hentikan hujah-hujah politik yang dari semasa ke semasa semakin mendedahkan Mahathir kepada kebencian rakyat.

Kalau betul PH mempunyai jumlah sokongan majoriti dan yakin rakyat masih bersama mereka sepertimana PRU-14, desak sahaja pembubaran Parlimen, tidak payah memberi alasan, kononnya jumlah sokongan ‘datang dan menghilang’ kerana Ahli Parlimen ditawarkan macam-macam untuk menyebelahi PN.

Lebih baik Mahathir duduk diam-diam dan biarkan sahaja Muhyiddin memimpin. Teruskan beri teguran bukan kecaman, sampaikan nasihat secara berhemah bukannya dengan memfitnah.

Apapun mungkin disebabkan perbezaan politik Mahathir dan pemimpin-pemimpin PH boleh sahaja berbuat atau berkata apa sahaja ke atas kerajaan Muhyiddin, tetapi berhati-hatilah dalam berhujah kerana bimbang jika terlajak kata, ia akan dilihat biadab kepada institusi raja-raja.

Semoga ini tidak berlaku.

PH tidak pandang Chini, lebih berselera dengan Putrajaya

0

NAMPAKNYA Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini sedikit pun tidak mengghairahkan di mata Pakatan Harapan (PH) dan PKR apabila parti itu mengumumkan untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Kecil kawasan itu 4 Julai nanti.

Sebaliknya PH lebih berselera untuk merampas kembali Putrajaya dengan diketuai oleh Tun Dr Mahathir Mohamad selaku general perang untuk menjatuhkan kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan mengambil semula kerusi Perdana Menteri yang dllepaskannya secara sukarela Februari lalu.

Justeru tidak hairan apabila Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail semalam mengumumkan partinya tidak bertanding di Chini dengan alasan bimbang dengan wabak COVID-19 yang masih pulih sepenuhnya.

Lagipun PH tahu harapannya untuk merampas kerusi DUN Chini dalam Parlimen Pekan, kawasan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu adalah sangat mustahil, apatah lagi UMNO akan bertanding atas nama Muafakat Nasional (MN) dengan kerjasama Pas.

Kerusi DUN Chini kosong susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun, akibat serangan jantung pada 7 Mei lepas.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, Abu Bakar berhadapan dengan tiga penjuru dari Pas dan PKR dan memperoleh sebanyak 10,027 undi. Allahyarham menang dengan majoriti 4,622 undi.

Melihat rekod kemenangan BN di Chini itu, jelas PKR tidak mempunyai kekuatan untuk melawan wakil UMNO/MN memandangkan calon Pas yang menentang Abu Bakar, Mohd Fadhil Noor mampu meraih 5,405 sementara Mohamad Razali Ithnin (PKR) hanya 1,065 undi.

Ini bermakna jika jumlah undi yang diperoleh oleh calon UMNO dan Pas itu digandingkan, jelas PH tidak mampu menggugat kekuatan UMNO/MN di Chini apatah lagi dalam situasi politik hari ini yang sentimen rakyat cenderung menolak PH selepas mereka merasakan ditipu dalam PRU-14 lalu.

Justeru, tidak hairan jika ramai melihat keputusan PH/PKR untuk tidak bertanding di Chini kerana bimbang wakil mereka kalah teruk sekali gus menambahkan lagi kerosakan reputasi parti yang hanya memerintah negara selama 22 bulan itu.

Walaupun PKR mengesahkan tidak akan meletakkan calonnya di Chini, namun masih ramai yang berharap agar Parti Amanah Negara (Amanah), yang merupakan satu lagi parti komponan PH mengambil alih menggalas cabaran tersebut.

Sehingga kini tiada sebarang pernyataan daripada Amanah sama ada sedia bertanding di Chini menggantikan PKR atau sebaliknya.

Cuma Pengerusi PH Pahang, Fuziah Salleh yang sebelum ini beriya-iya berkata akan melawan UMNO/MN habis-habisan di Chini terpaksa menukar haluan untuk memberi sokongan kepada calon Bebas, jika ada.

Bagaimanapun, keputusan PH/PKR untuk tidak meletakkan calon di Chini disambut baik oleh Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa.

Dalam twitternya semalam, Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, beliau mengalu-alukan keputusan tersebut kerana ia memberi kebaikan kepada semua pihak memandangkan COVID-19 masih menular.

“BN mengucapkan terima kasih atas pendirian PH itu,” kata Annuar dalam ciapannya. – Edisi 9

Ibrahim kunjungi Duta Iran

MUNGKIN ramai yang tidak tahu bahawa Presiden PUTRA, Datuk Ibrahim Ali merupakan satu-satunya rakyat Malaysia yang berpeluang bertemu dengan pemimpin Revolusi Iran, Ayatollah Ruhollah Musavi Khomeini pada Disember 1978 di pinggir kota Paris, Perancis.

Pertemuan bersejarah itu yang turut dihadiri oleh isteri beliau, Datin Rahoya Idrus dirakamkan oleh Ibrahim dalam buku Wawancara Bersama Imam Khomeini yang diterbitkan pada tahun 1979 dan dicetak sebanyak 30,000 naskhah dan buku Perjuangan Tanpa Noktah yang memaparkan biografi bekas Ahli Parlimen Pasir itu.

Walaupun pertemuan berkenaan berlangsung 42 tahun lalu, namun hubungan baik Ibrahim dengan pemerintah Iran terus kekal sehingga ke hari ini.

Ibrahim Ali bergambar dengan pemimpin Revolusi Iran, Ayatollah Ruhollah Musavi Khomeini pada Disember 1978 di pinggir kota Paris, Perancis.


Sempena ulang tahun ke-31, kembalinya Khomeini ke rahmatullah, Ibrahim mengadakan kunjungan hormat ke atas Duta Besar Iran Ke Malaysia, Ali Asghar Mahommadi di Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Dalam pertemuan tersebut mereka turut berbincang mengenai hal-gal geopolitik dunia.

Iran mengadakan Hari Peringatan kematian Allahyarham Khomeini pada 7 Jun setiap tahun. – EDISI9