32.1 C
Kuala Lumpur
Sunday, April 28, 2024
Home Blog Page 1679

Kelapa santan kampung jadi pilihan

MENJELANG Aidilfitri nanti sudah tentunya kelapa santan menjadi tumpuan orang ramai untuk mendapatkannya bagi membuat rendang dan lemang.

Kampung Simpang Empat Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam, Selangor adalah antara pembekal santan kelapa bagi keperluan mendapati pengguna kawasan sekitar terutamanya pasar awam dan kedai runcit.

DUA pekerja sedang mengupas buah kelapa menggunakan mata tombak.
PENGUSAHA kelapa kampung Lim Teok memerhatikan pekerja melakukan tugasan.
PEKERJA membuat pemilihan buah mengikut saiz sebelum dilonggokkan ke atas lori.
LADANG pokok kelapa yang telah diusahakan sejak 50 tahun dahulu.
PEMILIHAN buah kelapa penting untuk mengekalkan saiz sekata di pasaran.
TIMBUNAN sabut kelapa dikumpul untuk diambil oleh pengilang pemprosesan sabut.
ISI kelapa yang rosak dan terlalu tua dijemur bagi penghasilan minyak kelapa.

Apa ‘dosa’ Muhyiddin terhadap Mahathir?

TUN Mahathir Mohamad bagaikan tidur tak lena, selagi Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak dijatuhkan atas alasan mahu mengembalikan mandat rakyat.

Sambil merujuk kepada jumlah kerusi yang dikuasai oleh PN di Dewan Rakyat, kata bekas Perdana Menteri “Itu majoriti paling kecil yang pernah diperolehi mana-mana kerajaan di Malaysia. (Muhyiddin) akan berdepan masalah besar kerana apa saja peluang yang kami ada untuk membuktikan tidak sah bagi beliau menjadi Perdana Menteri, kami akan lakukannya.”

Dan ahli politik berusia 95 tahun itu juga menegaskan, parti pembangkang akan menolak rang undang-undang yang dibawakan kerajaan Muhyiddin di Parlimen, jika undi percaya tidak dibenar dibentangkan. Dan tegas Mahathir, “jika semua yang dibawanya ke Parlimen ditolak, bagaimana beliau mahu teruskan?.”

Hebat Ahli Parlimen Langkawi ini yang boleh dikategorikan ‘pembangkang jadi-jadian’ kerana sengaja menempatkan dirinya bersama empat lagi ahli Parlimen Bersatu di blok pembangkang walaupun parti itu sudah menjadi kerajaan.

Mengkaji hujah-hujah beliau dalam wawancara dengan agensi berita antarabangsa Reuters itu membuktikan, kemarahan Mahathir terhadap Muhyiddin sudah tidak dapat dikawal lagi. Sebab itulah beliau bersedia untuk melakukan apa sahaja bagi menjatuhkan Muhyiddin yang mereka gelar memimpin kerajaan Melayu-Islam.

Walaupun pemimpin-pemimpin pembangkang lain turut menentang Muhyiddin mereka tidaklah seghairah Mahathir yang menampakkan betapa benci beliau kepada Ahli Parlimen Pagoh itu dengan alasan Muhyiddin memberi peluang kepada parti (dimaksudkan ialah UMNO) dicemari rasuah yang ditolak pengundi dalam PRU-14 kembali berkuasa.

Sekali lagi seperti mana sebelum PRU-14, Mahathir terus bersedia menjadi “kuda tunggangan” bagi membolehkan PH berkuasa, kalau dulu sebelum PRU beliau membenci Datuk Seri Najib Tun Razak, kini Muhyiddin pula.

Apa dosa Muhyiddin terhadap Mahathir sehingga Ahli Parlimen Langkawi itu “ke sana ke sini, ke sana ke sini” mahu menjatuhkan Presiden Bersatu itu? Adakah tindakan Muhyiddin menolak DAP dan bekerjasama dengan UMNO dan Pas dilihat ‘satu dosa besar’?

“Adakah Mahathir sayang DAP termasuk pemimpin-pemimpinnya seperti Lim Guan Eng, Tony Pua dan lain-lain? Tak kan kerana marahkan kepada Muhyiddin, DAP mahu kembali dibiarkan dominan dalam Kerajaan Pusat?” tanya seorang ‘saudagar’ yang rapat dengan Mahathir.

Kalau dicongak-congak memanglah, jika Mahathir berjaya dalam misi menjatuhkan Muhyiddin yang akan kembali dominan dalam PH ialah DAP. Parti itu memiliki 42 kerusi berbanding PKR (39 kerusi), Amanah (11 kerusi) dan ahli Parlimen Bersatu bersama Mahathir termasuk beliau lima kerusi. – Dengan jumlah kerusi itu logiklah DAP dianggap dominan. Sama seperti mana pembangkang anggap UMNO dominan dalam PN kerana mempunyai kerusi terbanyak.

Sememangnya soal DAP dominan itu sudah wujud dalam fikiran rakyat khususnya orang Melayu, sama ada betul atau tidak, itu soal kedua tetapi itulah persepsi yang terbentuk sepanjang 22 bulan Kerajaan PH memerintah.

Bagaimanapun apa yang diperkatakan bukan soal DAP, lagipun dalam krisis sekarang, pemimpin-pemimpin parti itu lebih banyak mendiamkan diri. Yang rakyat lihat begitu bersungguh-sungguh mahu menjatuhkan Muhyiddin ialah Mahathir.

Walaupun Mahathir menegaskan berkali-kali bahawa tindakan beliau untuk menjatuhkan Muhyiddin ini adalah untuk mengembalikan mandat rakyat yang kononnya sudah dikhianati tetapi beliau terlupa mandat rakyat didakwa sudah lama dikhianati oleh beliau sendiri ketika memimpin PH.

Ia dikaitkan dengan kegagalan PH melaksanakan manifesto PRU-14 dengan alasan – “Saya ingatkan manifesto bukan Bible, ia hanyalah panduan. Kadang-kadang kita boleh melakukan sesuatu, kadangkala kita dapati ia tidak boleh dilakukan.”– Ini kata-kata Mahathir pada 16 Julai 2018 di Parlimen kepada pemberita.

Dan beliau juga dilaporkan pernah berkata, “Kami ingat tak boleh menang, sebab tu kami janji macam-macam.” – Kalau di negara lain termasuk negara idola beliau, Jepun – pemimpin seperti beliau sudah lama meletak jawatan kerana tidak menunaikan janji.

Persoalannya, adakah Mahathir bersedia jika ‘gangguan-gangguan’ yang beliau lakukan ke atas Muhyiddin akhirnya membuka jalan kepada pembubaran Parlimen, maknanya kembali semula mandat kepada rakyat untuk menentukan siapa kerajaan yang mereka mahu.

Mahathir sepatutnya faham kedudukan PH sekarang bukan seperti sebelum PRU-14. Bukan kata populariti PH semakin merudum malah populariti beliau sendiripun bak kata orang sudah ‘ke laut’ atau adakah Mahathir sengaja terus menyerang Muhyiddin dengan harapan, Parlimen dibubarkan?

Beranikah PH menghadapi PRU-15 dalam tempoh terdekat ini? Sama-samalah kita tunggu. – EDISI 9


Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Mahathir didakwa tiada sokongan majoriti MPT Bersatu

KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad didakwa sudah tiada sokongan majoriti dalam kalangan Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ketika membuat dakwaan tersebut, Ketua Bahagian Bersatu Kepong, Datuk Norizan Ali berkata, Pengerusi Bersatu itu tidak mahu memanggil mesyuarat dan parti seolah-olah tidak bergerak sejak lebih dua bulan lalu.

Sehubungan itu beliau mengalu-alukan keputusan Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (JPPM) yang menyatakan perletakan jawatan Mahathir selaku Pengerusi Bersatu adalah sah dan dengan itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin kini adalah Pemangku Pengerusi Bersatu.

“Langkah JPPM itu adalah tepat, tidak ada keraguan serta bersandarkan Perlembagaan Bersatu sendiri.

NORIZAN ALI

“Sebagai salah seorang pemimpin Bersatu di peringkat bahagian, saya percaya keputusan JPPM ini akan membolehkan Muhyiddin menguruskan parti dengan lebih baik, bukan saja menjelang pemilihan parti tidak lama lagi, tetapi juga di masa-masa yang seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dengan keputusan JPPM itu, Muhyiddin yang disahkan sebagai Pemangku Pengerusi, sudah boleh memanggil mesyuarat MPT bagi memastikan aktiviti parti berjalan seperti biasa dan meneruskan agenda pemilihan Bersatu.

“Dengan itu, Bersatu akan dapat berperanan secara lebih baik memberi khidmat kepada masyarakat selepas ini,” tegasnya.

Norizan juga berharap, Muhyiddin akan bertindak berani menangani isu Mahathir dan pengikutnya yang kini bercanggah pendirian dengan keputusan Bersatu membentuk kerajaan bersama Perikatan Nasional (PN) demi masa depan parti.

“Jika mereka didapati bersalah dari segi disiplin dan perlu diambil tindakan, termasuk gantung keahlian atau dipecat, Muhyiddin wajar bertindak pantas tanpa berlengah lagi dalam mengambil tindakan terhadap mereka,” tegas beliau.

Beliau berkata, masa depan parti dan negara lebih penting daripada individu dan jika Muhyiddin terus membiarkan gangguan wujud dalam parti, Presiden Bersatu itu dengan sendirinya akan terhalang daripada memberi khidmat yang lebih baik kepada rakyat dan negara.

“Selagi kewujudan golongan pengacau ini masih ada dalam parti, selagi itulah Bersatu akan berpecah, menjadi parti dua nakhoda dan tidak dapat bergerak ke mana-mana.

“Dalam hal ini, saya juga berharap semua pihak memberi sokongan sepenuhnya kepada Muhyiddin mengurus parti sebagaimana mandat yang dibuat oleh JPPM ini, lebih-lebih lagi sesuai dengan kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan ketua kerajaan.

“Masa untuk memberi sokongan kepada Mahathir sudah pun berlalu dan sebagaimana kita semua pernah memberi sokongan kepadanya sebagai Perdana Menteri sebelum ini, kita juga harus memberi sokongan yang sama kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri sekarang ini,” katanya.

Norizan mengakhiri kenyataan 13 para itu dengan menegaskan, “inilah satu-satunya pilihan untuk Bersatu bergerak ke hadapan dan menuju kecemerlangan, sebaliknya mengundur ke belakang bersama Mahathir dan pembangkang adalah jalan yang kelam dan tiada penentuan.” – Edisi 9

Xavier biadab hina Agong – Muafakat Nasional Selangor

KENYATAAN yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr Xavier Jayakumar menerusi satu video selepas sidang Parlimen 18 Mei 2020 merupakan satu kenyataan biadab yang tidak wajar kerana disifatkan menghina Yang di-Pertuan Agong dan Dewan Rakyat.

Video yang berdurasi selama hampir 3 minit itu menyatakan persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei adalah “sampah” dan tidak berguna kerana semata-mata hanya duduk mendengar titah Yang di-Pertuan Agong tanpa ada sebarang perbahasan dan agenda mesyuarat yang lain.

Beliau yang juga merupakan bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli sewajarnya menghormati persidangan yang berlangsung selama sehari tersebut dan menghayati isi kandungan titah Yang di-Pertuan Agong yang dibentangkan kelmarin.

Jangan kerana kehilangan kuasa, beliau sudah tidak lagi bertindak secara waras sehingga semua perkara ingin dipertikai dan dihina dengan melulu.

Adakah beliau masih tidak sedar bahawa sikap sebeginilah yang menjadikan rakyat Malaysia khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu Muslim benci dan meluat kepada mereka serta tidak peduli sensitiviti yang patut diperlihara serta tidak memberikan penghormatan yang sewajarnya kepada institusi diraja.

Dalam situasi sekarang, rakyat mahukan kerajaan dan semua ahli politik bekerja ke arah menangani COVID-19 sama ada dalam prospek keselamatan nyawa serta pembaik pulih ekonomi.

Ahli politik perlu beringat agar tidak hanya bermain sentimen politik kebencian dan kebiadaban sedangkan penjawat awam serta rakyat umum sedang dalam bertungkus-lumus memastikan kejayaan dalam menangani pandemik COVID-19 ini.

Justeru, Muafakat Nasional Selangor menyelar kenyataan biadab yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr Xavier Jayakumar dan ia mesti dikenakan tindakan tatatertib dan disiplin sebagai satu tindakan tegas dan mendidik agar insiden seperti ini tidak berulang kembali.

Rakyat khususnya di negeri Selangor wajar mengambil tindakan dengan membuat satu laporan polis bagi menyiasat tuduhan menghina Yang di-Pertuan Agong dan Dewan Rakyat.

Kami juga menyeru kepada seluruh rakyat negeri Selangor untuk terus bersatu padu dalam mendukung Muafakat Nasional bagi membentuk gelombang agar memastikan Pilihan Raya Umum yang akan datang, negeri Selangor tidak lagi berada di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi
Pesuruhjaya PAS Selangor

Tan Sri Noh Omar
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor

Tak mustahil PH boleh tersungkur di Selangor

DESAS-DESUS berhubung kemungkinan Pakatan Harapan (PH) akan tumbang di Selangor bukan sesuatu yang mustahil untuk berlaku.

Seperti yang dijelaskan oleh Ketua Pembangkang Selangor, Rizam Ismail, pergolakan dalaman boleh tercetus apabila ramai ahli-ahli PH bosan dengan masalah yang berlaku di peringkat pucuk pimpinan.

“Tidak mustahil sekiranya dalam kalangan ahli PH sendiri hilang kepercayaan kepada pimpinan mereka.

“Seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim yang selama ini berkali-kali mengatakan dia kekal menjadi Perdana Menteri,” katanya kepada Edisi 9 hari ini.

Terdahulu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar menyampaikan sumbangan Ramadan bersama Yayasan EZ Prihatin kepada golongan asnaf muallaf di Sungai Ayer Tawar di Sabak Bernam, Selangor pagi tadi.

Selepas berkubur di Kedah, PH dijangka hilang kuasa di Negeri Sembilan dan Selangor.

Sabah yang dikuasai PH melalui Parti Warisan Sabah (Warisan) juga mula menerima tempias selepas gabungan parti politik yang telah memporak-perandakan negara selama 22 bulan itu tersungkur akibat percakaran sesama pemimpinnya sendiri.

RIZAM ISMAIL – Foto: MOHD NAIM AZIZ

Rakyat juga mengetahui apa yang sebenarnya berlaku dalam PH setelah rakaman suara mesyuarat sebelum mereka tumbang didedahkan melalui media sosial baru-baru ini.

Dakwaan pemimpin-pemimpin PH kononnya Perikatan Nasional (PN) yang menjadi punca kejatuhan mereka terbukti tidak benar sama sekali. – EDISI 9

Pelantikan Exco Kedah catat sejarah

KUALA LUMPUR – Pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak, Datuk Ku Rahman Ku Ismail dan ADUN Sungai Tiang, Suraya Yaacob sebagai Exco Kerajaan Negeri Kedah mencatatkan sejarah tersendiri untuk kedua-dua wakil rakyat tersebut.

Ia memandangkan kedua-dua mereka menjadi Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri di bawah tiga Menteri Besar berbeza iaitu Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah dan Muhammad Sanusi Md.Nor.

Ku Abd Rahman yang bertanggungjawab bagi portfolio Industri dan Pelaburan, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Pengajian Tinggi pernah menjadi Exco ketika Mukhriz kali pertama menjadi Menteri Besar Kedah pada tahun 2013.

KU ABD RAHMAN KU ISMAIL dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri buat kali ketiga di bawah tiga Menteri Besar berbeza. – Gambar: FB Pejabat ADUN Guar Chempedak

Beliau kemudian meneruskan tugasnya sebagai Exco di bawah pentadbiran Ahmad Bashah apabila Mukhriz meletakkan jawatan. Bagaimanapun apabila Pakatan Harapan (PH) menawan Kedah pada 2018 dan Mukhriz sekali lagi menjadi Menteri Besar, Ku Rahman tidak dilantik sebagai Exco walaupun beliau keluar UMNO dan menyertai Bersatu.

Suraya Yaacob yang dilantik ke portfolio Kerja Raya; Bekalan Air dan Sumber air dan Tenaga pernah menjadi exco ketika Mukhriz menjadi Menteri Besar pada 2013 hingga 2016 sebelum meneruskan tugas itu di bawah kepemimpinan Ahmad Bashah sehingga tahun 2018.

Pelantikan Exco Kerajaan Negeri Kedah hari ini yang diumumkan oleh Muhammad Sanusi turut mencatatkan sejarah apabila terdapat tiga wakil rakyat wanita daripada tiga parti berbeza akan menduduki jawatan itu . Mereka ialah Suraya (UMNO).

ADUN Merbau Pulas, Datuk Siti Aishah Ghazali (Pas) dan ADUN Bukit Kayu Hitam, Halimaton Saadiah Saad (Bersatu).

Berdasarkan pengumuman Muhammad Sanusi, daripada 10 ADUN yang dilantik dua daripadanya ialah ADUN yang membuat keputusan keluar daripada PKR baru-baru ini iaitu Robert Ling (Sidam) dan Azman Nasrudin (Lunas).

Azman akan mencatatkan sejarah bersama Halimaton dan ADUN Kuah, Firdaus Ahmad bertugas di bawah dua MB. Ketiga-tiga mereka sebelum ini merupakan exco di bawah kepemimpinan Mukhriz.

Azman akan memegang portfolio Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India manakala Robert menjaga portfolio Perumahan, Alam Sekitar, Perpaduan dan Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam.

Halimaton akan terus menjaga portfolio Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat dan Kebajikan manakala Firdaus bertanggungjawab untuk portfolio Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya dan Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Turut mencatat sejarah bertukar di bawah dua MB ialah ADUN Merbau Palas, Siti Aishah yang bertanggungjawab untuk portfolio Pembangunan Luar Bandar, Pembasmian Kemiskinan dan Pembangunan Insan.

Pada tahun 2013 Siti Aishah dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak sebagai Menteri Besar.

Sementara itu, Muhammad Sanusi akan menjaga portfolio Perancang Negeri, Hal Ehwal Tanah, Hasil Bumi dan Sumber Asli, Kewangan, Majlis Ekonomi Kedah dan Jawatankuasa Syarikat Berkaitan Kerajaan.

Tiga lagi ADUN Pas iaitu Mohd Hayati Othman akan menjaga portfolio Kerajaan Tempatan, Brig. Jeneral (B) Najmi Ahmad (Agama, pendidikan dan sumber manusia) manakala Wan Romani Wan Salim (Penerangan, Komunikasi dan Multimedia dan Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Daripada 10 anggota itu, 4 daripada Pas, 3 (Bersatu), 2 (Bebas) dan 1 (UMNO). – EDISI 9

.

PKR tak yakin Anwar boleh jadi PM?

PKR yang ditubuhkan pada tahun 1999 disebabkan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Kabinet dan UMNO dilihat tidak mempunyai keyakinan untuk mencalonkan Presiden PKR itu sebagai Perdana Menteri (PM)?

Berikutan itulah walaupun Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai PM sehingga tumbangnya Kerajaan Pakatan Harapan (PH) namun PKR dilihat terus tidak bergantung kepada ahli politik berusia 95 tahun tersebut.

Justeru penulis tidak terkejut apabila Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil menafikan parti itu menarik balik sokongannya terhadap Mahathir untuk menjadi Perdana Menteri.

Beliau menyifatkan laporan akhbar Sin Chew bahawa Jawatankuasa Kepemimpinan Pusat PKR telah memutuskan menarik balik sokongan parti itu kepada Mahathir dalam pertemuan pada 17 Mei adalah palsu.

Dalam laporannya akhbar berkenaan, memetik satu sumber yang memberitahu, Anwar pada pertemuan tersebut bercakap mengenai hubungan dengan Mahathir dan antaranya menyatakan PKR masih akan terus mempertahankan hubungan kerja dengan bekas Perdana Menteri itu tetapi tidak lagi mendukung Ahli Parlimen Langkawi tersebut sebagai Perdana Menteri.

Mungkin Fahmi boleh menafikannya, namun sebagai seorang yang pernah bertugas dalam media arus Perdana, penulis percaya Sin Chew tidak akan sewenang-wenangnya membuat laporan berkenaan tanpa asas.

Sumber: FB Fahmi Fadzil

Bagaimanapun kenyataan Fahmi akan menyebabkan pelbagai spekulasi atau tafsiran dibuat. Apakah penafian itu membuktikan PKR masih bergantung kepada Mahathir untuk kembali berkuasa? Dan Adakah PKR sendiri tidak mempunyai keyakinan bahawa Anwar boleh menerajui PH memerintah negara dan sekaligus menjadi PM

Kalau begitu apa gunanya perjuangan PKR selama ini?

Lupakah PKR bahawa Mahathir yang bertanggungjawab memecat Anwar daripada Kabinet dan UMNO pada 1998 sehingga tercetusnya demonstrasi jalanan sebelum lahirnya PKR? Dan tak ingatkah apabila PH menang PRU-14, Mahathir dijulang sebagai wira dan dilantik sebagai PM dengan perjanjian jawatan itu diserahkan kepada Anwar selepas dua tahun.

Tetapi lagi dua bulan nak genap 24 bulan, Mahathir meletakkan jawatan sehingga menyebabkan Kerajaan PH yang baru memerintah selama 22 bulan tumbang. Walaupun sudah bertindak demikian, PKR nampaknya terlalu lemah dan tetap mahu mendukung Mahathir.

Adakah ini bermaksud jika PN berjaya ditumbangkan tak kiralah melalui undi tidak percaya atau pilihan raya, Anwar akan jadi ‘Bakal Perdana Menteri’ sekali lagi manakala Mahathir akan menjadi PM buat kali ketiga? Kasihan PKR walaupun mempunyai kedudukan parti ketiga terkuat di Dewan Rakyat selepas DAP dan UMNO, namun parti berkenaan masih berharap kepada Mahathir yang mempunyai lima sahaja kerusi termasuk beliau.

Kenyataan Fahmi itu membolehkan rakyat berpendapat, sia-sia sungguh perjuangan PKR sejak 1998 – sebuah parti yang ditubuhkan untuk menumbangkan Mahathir tetapi akhirnya dilihat terpaksa bergantung kepada ahli politik berusia 95 tahun bagi survival politik mereka.

Patutlah dari semasa ke semasa semakin ramai wakil rakyat, pemimpin dan ahli PKR meninggalkan parti itu dengan alasan, ” tidak lagi ada keyakinan dan kepercayaan kepada idealisme perjuangan serta hala tuju parti pada hari ini.”

Macam mana mahu ada hala tuju, kalau asyik bergantung kepada Mahathir sahaja untuk menjadi PM dan meraih sokongan rakyat kepada PH? Tidak yakinkah pemimpin dan ahli PKR kepada kehebatan Anwar yang sudah bersabar begitu lama untuk menjadi PM?

Tak kanlah mahu bergantung lagi kepada Mahathir yang semua orang tahu bukan sahaja semakin kehilangan cengkaman dalam kalangan ahli Parlimen malah dalam parti sendiri pun pengaruh beliau semakin luntur sehingga orang pun ‘dah tak tau apa jawatan dia.’

Oleh itu kalau PKR mahu terus setia dengan Mahathir, silakan sahaja…tetapi bagaimana dengan pemimpin dan ahli di peringkat umbi? Apa pendirian mereka? Kalau sekadar terus mendokong Mahathir sebagai PM, lebih baik jemput sahaja Mahathir menyertai PKR.

Tiada gunanya Anwar menjadi Presiden PKR dan Penasihat PH tetapi Mahathir yang tidak ada apa-apa jawatan dan semakin luntur kekuatan akan dilantik menjadi PM. Buat penat sahaja berjuang. – EDISI9

Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Ada apa dengan Maybank, tiba-tiba trending dalam Twitter?

RAMAI pelanggan Maybank hairan hari ini sebaik sahaja melihat nama bank yang terkemuka di Malaysia itu tiba-tiba popular dalam Twitter.

Mereka menyangka mungkin banyak aduan timbul berkaitan bank berkenaan sehingga menyebabkan nama Maybank sering dipetik oleh pengguna-pengguna media sosial.

Gambar: Twitter

Jangan bimbang, sebenarnya tiada apa masalah pun dengan Maybank.

Semuanya baik-baik sahaja setakat ini.

Yang tular dan popular sebenarnya ialah nama salah seorang watak utama dalam siri drama Outer Banks yang bersiaran melalui Netflix sejak 15 April lalu.

Gambar: Twitter

Watak yang bernama JJ Maybank tersebut dilakonkan oleh Rudy Pankow.

JJ digambarkan sebagai seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang berjiwa memberontak dan suka cari masalah.

Gambar: Netflix

Mungkin sebab itulah namanya popular sehingga menyebabkan nama Maybank tiba-tiba meletop.

Kalau hendak tahu ada apa dengan JJ Maybank ini, kenalah tonton Outer Banks. – EDISI 9

Penduduk Gaza dibenarkan solat Jumaat di masjid

MASJID-MASJID di Gaza akan dibuka semula untuk solat Jumaat terakhir bulan Ramadan minggu ini.

Memetik laporan Palestinian Information Center, perkara itu diumumkan oleh Jawatankuasa Susulan COVID-19 Gaza pada Ahad lalu.

Walau bagaimanapun, tidak semua penduduk Gaza dibenarkan datang ke masjid.

Mereka yang mempunyai masalah kesihatan dan penyakit kronik, warga emas, kanak-kanak dan individu yang baru pulang dari luar negara diminta berada di rumah.

Jemaah juga mesti mematuhi langkah-langkah mencegah penularan COVID-19 yang diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan Gaza.

Dalam perkembangan berkaitan, penduduk Gaza dibenarkan untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid.

Selain mengamalkan penjarakan sosial, memakai pelitup hidung dan mulut serta mengelakkan berjabat tangan, jemaah turut diminta membawa sejadah sendiri.

Pada 23 Mac lalu, Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama Islam Gaza mengumumkan semua masjid di wilayah itu ditutup sepenuhnya bagi mengekang penularan COVID-19. – EDISI 9

Bekas pengadil FIFA meninggal dunia

0

BEKAS pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Jaswant Singh Sran meninggal dunia semalam.

Berita sedih itu diumumkan dalam laman Facebook rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Mendiang yang berusia 80 tahun pernah mengadili perlawanan yang disertai legenda bola sepak negara, Datuk Soh Chin Aun dan mendiang Datuk R. Arumugam sekitar tahun 1970-an dan 1980-an.

Antara pengadil dan penjaga garisan yang sezaman dengan Jaswant ialah S. Kathirvale, Othman Omar, Koh Guan Kiat dan Mohd Noh Saud.

Selepas bersara sebagai pengadil di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, mendiang seterusnya menjadi Penilai Pengadil.

Jaswat juga pernah berkhidmat sebagai pegawai polis dan jawatan terakhirnya ialah Deputi Superintendan. – EDISI 9

Penentuan Serie A berentap semula 28 Mei

0

BAGI kaki bola yang mengikuti perkembangan Serie A, kelab-kelab yang bersaing dalam liga tersebut dijangka beraksi pada pertengahan bulan depan sekiranya kerajaan Itali memberi lampu hijau pada 28 Mei ini.

Memetik laporan ESPN, Menteri Sukan Itali, Vincenzo Spadafora mengumumkan semua kelab dibenarkan untuk memulakan sesi latihan penuh.

Beliau juga telah mengaturkan mesyuarat dengan ketua-ketua persekutuan bola sepak Itali dan Serie A minggu depan.

“Saya fikir kita akan mempunyai semua data yang kita perlukan untuk menentukan sama ada liga boleh disambung semula dan bila.

“28 Mei adalah tarikh di mana kita akan mengetahui bila liga akan disambung semula,” jelasnya kepada stesen penyiaran Rai.

Liga bola sepak Itali telah ditangguhkan sejak 9 Mac dan dijangka bermula pada pertengahan Jun, bergantung kepada kelulusan kerajaan.

Pada masa ini, kerajaan Itali menegaskan bahawa semua pemain dalam sesebuah kelab mesti dikuarantin selama 14 hari sekiranya salah seorang daripada mereka didapati positif COVID-19.

Walau bagaimanapun, peraturan itu dibantah oleh kelab-kelab Serie A yang berpandangan, hanya pemain yang positif COVID-19 perlu dikuarantin.

Serie A mempunyai baki 12 pusingan perlawanan dan empat perlawanan dari pusingan terdahulu sebelum musim ini berakhir.

Juventus yang sedang mengejar kejuaraan kesembilan mendahului Lazio dalam carta liga dengan kelebihan tipis 1 mata.

Sumber: Sky Sports

Itali merupakan antara negara yang terjejas teruk akibat COVID-19 di mana sebanyak 226,699 kes positif dicatatkan setakat ini.

Daripada jumlah itu, seramai 32,169 pesakit meninggal dunia manakala 129,401 orang lagi telah sembuh. – EDISI 9

Aminuddin dan Amirudin wajar bimbang

“KAMI di Selangor – PKR Team Azmin 21 + Bersatu Team PM 8 + BN 5 + Pas 1 = 35 seat, PH plak 21 tumbang lagi, salah Najib la ni.” – Mesej ini tular di dalam media sosial semalam.

Ia mungkin perang psikologi berikutan satu demi satu negeri di bawah Pakatan Harapan (PH) beralih arah kepada Perikatan Nasional (PN).

Empat negeri yang sebelum ini berada di bawah PH iaitu Johor, Melaka, Perak dan Kedah kini dikuasai PN berikutan perpecahan di dalam Bersatu dan PKR.

Ketika ini PH hanya menguasai tiga negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Berbanding Pulau Pinang, bibit-bibit perpecahan akibat kemelut dalam dua parti itu sedikit sebanyak mula ‘mengoncang’ kedudukan PH di Selangor dan Negeri Sembilan. Mungkin menyedari hakikat inilah, kedua-dua Menteri Besar mula bersuara.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menangkis dakwaan bahawa enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH akan menyertai PN dan menganggap ia satu fitnah.

Di Shah Alam, Datuk Seri Amirudin Shari menyifatkan sabotaj paling besar kepada usaha pemulihan ekonomi negeri dan negara akibat kesan penularan wabak Covid-19 adalah “ganggu gugat politik.”

Tanpa berdolak dalih, Menteri Besar Selangor itu turut mengakui wujud “usaha sedemikian dalam pentadbirannya, namun beliau yakin kerajaan Selangor di bawah PH masih kuat kerana mempunyai jumlah majoriti kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

DUN Selangor mempunyai 56 kerusi dengan PH memiliki 48 kerusi, Barisan Nasional (5), Pas (1) dan Bebas (2).

Kalau mengikut khabar angin yang tersebar, lebih 10 ADUN PKR di Selangor sedia meninggalkan PH untuk menyertai PN. Ketika ini, PKR menguasai 19 daripada 56 kerusi di DUN.

Sememangnya senario politik yang berlaku seharusnya membimbang Aminuddin dan Amirudin itu, tetapi mereka perlu mengkaji kenapa semua itu berlaku?

Ia bukan salah UMNO atau Pas, kedua-dua parti itu hanya cuba menstabilkan keadaan apabila sesebuah kerajaan sama ada di peringkat pusat atau negeri tergugat berikutan pertelingkahan dalaman parti memerintah.

Itulah yang berlaku apabila Bersatu berpecah dua selepas Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri kerana tidak bersetuju dengan ketegasan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang semakin tidak tahan dengan perangai DAP dalam Kerajaan PH.

Tindakan Mahathir mengubah lanskap pentadbiran kerajaan negeri di bawah PH seperti kita saksikan di Johor, Melaka dan Perak. Keadaan menjadi lebih parah kepada PH apabila berlaku pula pertembungan antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Azmin mengambil keputusan meninggalkan PKR dan bersama Muhyiddin di dalam Bersatu seterusnya menubuhkan Kerajaan PN. Berikutan itu perpecahan di peringkat akar umbi dalam PKR tidak boleh dielakkan, satu demi satu pemimpin kanan meninggalkan parti tersebut dan ia menjadi semakin kritikal apabila tindakan pecat memecat dilakukan.

Semua itu yang menyebabkan PKR tidak stabil dan Bersatu pula semakin ‘huru-hara’ dengan keghairahan Mahathir ‘menyerang’ Muhyiddin.

Justeru bukanlah sesuatu yang aneh jika pertelingkahan dalam dua parti itu akan menyaksikan jika selepas ini Selangor dan Negeri Sembilan pula dimiliki oleh PN. Dan jangan lupa di Sabah pun, kedudukan kerajaan negeri yang ditubuhkan hasil ‘lompat parti’ berada dalam keadaan terumbang-ambing.

Kalau betullah seperti mana kata Amirudin, “sabotaj paling besar kepada usaha pemulihan ekonomi negeri dan negara akibat kesan penularan wabak Covid-19 adalah ganggu gugat politik” – bagaimana pula dengan tindakan Mahathir mengganggu gugat pentadbiran Muhyiddin yang kini bertungkus lumus memerangi wabak itu.

Bagaimana pula dengan maki hamun dihamburkan oleh ahli Parlimen PKR apabila sidang Dewan Rakyat hanya sehari?

Apa pula pandangan Amirudin apabila Presiden partinya sendiri menyatakan bahawa misi PH dan Mahathir adalah mengembalikan mandat rakyat yang didakwa dirampas oleh PN.

Kesimpulannya, Amirudin dan Amiruddin berhak untuk bimbang kerana dalam politik segalanya berkemungkinan, sama seperti mana siapa sangka Mahathir akan letak jawatan Perdana Menteri, bubar Kabinet PH selepas itu mahu tubuh Kabinet Perpaduan dan kini ‘meracau-racau’ mahu menjatuhkan Muhyiddin. – EDISI9