31 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Apa ‘dosa’ Muhyiddin terhadap Mahathir?

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

TUN Mahathir Mohamad bagaikan tidur tak lena, selagi Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak dijatuhkan atas alasan mahu mengembalikan mandat rakyat.

Sambil merujuk kepada jumlah kerusi yang dikuasai oleh PN di Dewan Rakyat, kata bekas Perdana Menteri “Itu majoriti paling kecil yang pernah diperolehi mana-mana kerajaan di Malaysia. (Muhyiddin) akan berdepan masalah besar kerana apa saja peluang yang kami ada untuk membuktikan tidak sah bagi beliau menjadi Perdana Menteri, kami akan lakukannya.”

Dan ahli politik berusia 95 tahun itu juga menegaskan, parti pembangkang akan menolak rang undang-undang yang dibawakan kerajaan Muhyiddin di Parlimen, jika undi percaya tidak dibenar dibentangkan. Dan tegas Mahathir, “jika semua yang dibawanya ke Parlimen ditolak, bagaimana beliau mahu teruskan?.”

Hebat Ahli Parlimen Langkawi ini yang boleh dikategorikan ‘pembangkang jadi-jadian’ kerana sengaja menempatkan dirinya bersama empat lagi ahli Parlimen Bersatu di blok pembangkang walaupun parti itu sudah menjadi kerajaan.

Mengkaji hujah-hujah beliau dalam wawancara dengan agensi berita antarabangsa Reuters itu membuktikan, kemarahan Mahathir terhadap Muhyiddin sudah tidak dapat dikawal lagi. Sebab itulah beliau bersedia untuk melakukan apa sahaja bagi menjatuhkan Muhyiddin yang mereka gelar memimpin kerajaan Melayu-Islam.

Walaupun pemimpin-pemimpin pembangkang lain turut menentang Muhyiddin mereka tidaklah seghairah Mahathir yang menampakkan betapa benci beliau kepada Ahli Parlimen Pagoh itu dengan alasan Muhyiddin memberi peluang kepada parti (dimaksudkan ialah UMNO) dicemari rasuah yang ditolak pengundi dalam PRU-14 kembali berkuasa.

Sekali lagi seperti mana sebelum PRU-14, Mahathir terus bersedia menjadi “kuda tunggangan” bagi membolehkan PH berkuasa, kalau dulu sebelum PRU beliau membenci Datuk Seri Najib Tun Razak, kini Muhyiddin pula.

Apa dosa Muhyiddin terhadap Mahathir sehingga Ahli Parlimen Langkawi itu “ke sana ke sini, ke sana ke sini” mahu menjatuhkan Presiden Bersatu itu? Adakah tindakan Muhyiddin menolak DAP dan bekerjasama dengan UMNO dan Pas dilihat ‘satu dosa besar’?

“Adakah Mahathir sayang DAP termasuk pemimpin-pemimpinnya seperti Lim Guan Eng, Tony Pua dan lain-lain? Tak kan kerana marahkan kepada Muhyiddin, DAP mahu kembali dibiarkan dominan dalam Kerajaan Pusat?” tanya seorang ‘saudagar’ yang rapat dengan Mahathir.

Kalau dicongak-congak memanglah, jika Mahathir berjaya dalam misi menjatuhkan Muhyiddin yang akan kembali dominan dalam PH ialah DAP. Parti itu memiliki 42 kerusi berbanding PKR (39 kerusi), Amanah (11 kerusi) dan ahli Parlimen Bersatu bersama Mahathir termasuk beliau lima kerusi. – Dengan jumlah kerusi itu logiklah DAP dianggap dominan. Sama seperti mana pembangkang anggap UMNO dominan dalam PN kerana mempunyai kerusi terbanyak.

Advertisements

Sememangnya soal DAP dominan itu sudah wujud dalam fikiran rakyat khususnya orang Melayu, sama ada betul atau tidak, itu soal kedua tetapi itulah persepsi yang terbentuk sepanjang 22 bulan Kerajaan PH memerintah.

Bagaimanapun apa yang diperkatakan bukan soal DAP, lagipun dalam krisis sekarang, pemimpin-pemimpin parti itu lebih banyak mendiamkan diri. Yang rakyat lihat begitu bersungguh-sungguh mahu menjatuhkan Muhyiddin ialah Mahathir.

Walaupun Mahathir menegaskan berkali-kali bahawa tindakan beliau untuk menjatuhkan Muhyiddin ini adalah untuk mengembalikan mandat rakyat yang kononnya sudah dikhianati tetapi beliau terlupa mandat rakyat didakwa sudah lama dikhianati oleh beliau sendiri ketika memimpin PH.

Ia dikaitkan dengan kegagalan PH melaksanakan manifesto PRU-14 dengan alasan – “Saya ingatkan manifesto bukan Bible, ia hanyalah panduan. Kadang-kadang kita boleh melakukan sesuatu, kadangkala kita dapati ia tidak boleh dilakukan.”– Ini kata-kata Mahathir pada 16 Julai 2018 di Parlimen kepada pemberita.

Dan beliau juga dilaporkan pernah berkata, “Kami ingat tak boleh menang, sebab tu kami janji macam-macam.” – Kalau di negara lain termasuk negara idola beliau, Jepun – pemimpin seperti beliau sudah lama meletak jawatan kerana tidak menunaikan janji.

Persoalannya, adakah Mahathir bersedia jika ‘gangguan-gangguan’ yang beliau lakukan ke atas Muhyiddin akhirnya membuka jalan kepada pembubaran Parlimen, maknanya kembali semula mandat kepada rakyat untuk menentukan siapa kerajaan yang mereka mahu.

Mahathir sepatutnya faham kedudukan PH sekarang bukan seperti sebelum PRU-14. Bukan kata populariti PH semakin merudum malah populariti beliau sendiripun bak kata orang sudah ‘ke laut’ atau adakah Mahathir sengaja terus menyerang Muhyiddin dengan harapan, Parlimen dibubarkan?

Beranikah PH menghadapi PRU-15 dalam tempoh terdekat ini? Sama-samalah kita tunggu. – EDISI 9


Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Advertisements

Terkini

Tak boleh tolak permohonan pelanggan tidak fasih bahasa Melayu

PARA pegawai Jabatan Imigresen Malaysia tidak dibenarkan menolak sebarang permohonan hanya kerana pelanggan gagal menguasai bahasa kebangsaan. Bagaimanapun, menurut Ketua...

Lagi Artikel Berkaitan