29.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 11, 2024
Home Blog Page 1680

Jurufoto perkahwinan lega sudah dibenar ‘beraksi’

JURUFOTO perkahwinan kini menarik nafas lega apabila kerajaan membenarkan sektor industri itu beroperasi semula dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media harian pandemik Covid-19 di Putrajaya berkata, sektor itu dibenarkan tetapi perlu mematuhi syarat prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ismail Sabri turut menambah penggambaran hanya boleh dilakukan di luar sahaja seperti di taman tasik ataupun tempat yang bersesuaian bagi lokasi penggambaran yang hanya melibatkan pengantin dan jurufoto serta tidak dibenarkan berhimpun beramai-ramai.

PASANGAN pengantin boleh melakukan sesi fotografi luar selepas kerajaan membenarkan operasi jurufoto perkahwinan dalam PKPB ini. Foto: ATAN IMAGES

Bagaimanapun, ia hanya terhad kepada sesi penggambaran pra-perkahwinan dan akad nikah sahaja tanpa majlis keraian yang melibatkan jumlah perhimpunan yang ramai.

Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menetapkan pengoperasian semula industri ini selepas mengambil kira ribuan jurufoto perkahwinan yang hilang job sejak PKP dilaksanakan.

Dalam pada itu jurufoto perkahwinan sepenuh masa, Amir Hafiz Abd Rahman bersyukur dan terima kasih kepada kerajaan kerana membenarkan mereka beroperasi semula selepas kebanyakan pengantin dibenar mengadakan majlis pernikahan secara dalam talian. – Edisi 9

FOTOGRAFI pra-perkahwinan dibenarkan dalam tempoh PKPB ini. Foto: ATAN MAGES
FOTOGRAFI pra-perkahwinan dibenarkan dalam tempoh PKPB ini. Foto: ATAN MAGES
SESI aktiviti fotografi luar di kawasan terbuka dibenarkan dalam tempoh PKPB ini. Foto: ATAN IMAGES

Bubar Parlimen mampu hentikan strategi ‘bodoh’ PH

KRISIS politik yang tercetus berikutan tindakan Tun Dr.Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sehingga tumbangnya Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Februari masih terus membahang, walaupun Perikatan Nasional (PN) kini sudah mengambil alih pemerintahan negara.

Ketika Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sedang mengatur strategi untuk membolehkan Malaysia bangkin semula daripada segala aspek yang terjejas khususnya ekonomi dan pengangguran, kelompok dalam PH dengan dibantu oleh Mahathir terus ‘meroyan’ untuk kembali berkuasa.

Sejak beberapa hari kebelakangan ini mereka melancarkan ‘perang saraf’ dengan menyatakan PH sudah cukup majoriti sokongan ahli Parlimen bagi membolehkan mereka kembali meraih kuasa yang terlepas dari tangan akibat salah strategi Mahathir.

Mungkin mereka menganggap dengan menyebarkan berita seumpama itu, ia ada satu strategi politik dan akan mewujudkan kebimbangan dalam kalangan pemimpin-pemimpin kerajaan, tetapi sebenarnya ia adalah strategi ‘bodoh’ dan boleh dianggap usaha mensabotaj ketenteraman dan ekonomi negara.

Keterujaan pemimpin-pemimpin PH yang ‘semakin menggila’ mahu berkuasa semula membuktikan tiada perhitungan untuk meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.

Apa yang pemimpin pakatan itu dan konco-konco mereka fikirkan ialah hanya kepentingan politik sahaja.

Kalau benar mereka memikirkan soal rakyat dan kononnya mahu mengembalikan mandat rakyat, bukannya melalui cara `politik bodoh’ seumpama itu.

Sebaliknya, jika mereka ada keyakinan dan keberanian bahawa rakyat masih bersama PH, maka desak sahaja kerajaan membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Tetapi tiada seorangpun pemimpin PH berani membuat cabaran berkenaan kerana mereka tahu, jika itu dilakukan ia ibarat tindakan ‘membunuh diri’.

Populariti PH kini berada pada tahap cukup rendah, walaupun kaji selidik dangkal menyatakan pakatan itu masih mendapat sokongan majoriti.

Selain daripada kegagalan mereka ketika diberi peluang mentadbir negara selama 22 bulan, tindak tanduk politik Mahathir telah menyebabkan rakyat semakin ‘menyampah’ kepada pakatan tersebut.

Rakyat khususnya orang Melayu menanti masa sahaja PRU-15 diadakan bagi membolehkan mereka menghumban parti-parti dalam PH ke lembah kekalahan.

Pemimpin-pemimpin PH memahami hakikat ini sebab itulah mereka lebih teruja berusaha untuk kembali berkuasa tanpa melalui pilihan raya.

Mereka tahu kemenangan dalam PRU-14 bukannya tulen tetapi ia hasil menipu rakyat dengan pembentangan manifesto yang dibuat atas perkiraan ‘tidak sangka boleh menang’.

Kebijaksanaan mereka memanipulasikan sentimen rakyat untuk membenci Kerajaan BN melalui tohmahan dan fitnah turut membantu mereka mencapai kemenangan.

Dan kini apabila wajah sebenar mereka sudah terdedah, mereka takut untuk bertarung dalam pilihan raya, apatah lagi dalam lima pilihan raya kecil sebelum ini, kesemuanya mereka ‘bungkus’. Ia adalah isyarat awal bahawa peluang mereka untuk menang besar dalam PRU memang tipis.

Sebab itulah mereka beria-ia benar mahu menawan kembali tampuk pemerintahan negara dengan alasan mahu mengembalikan mandat rakyat.

Kalau betul mahu mempertahankan mandat rakyat serahlah kembali kepada rakyat untuk mendapat mandat baru. Tetapi pemimpin-pemimpin PH tidak akan berani berbuat demikian.

Oleh itu mereka mahu mengulangi tindakan naik bas beramai-ramai ke Istana Negara bagi membuktikan mereka majoriti. Namun percayalah senario itu tidak akan berulang.

Pakatan Harapan cuma ada dua pilihan iaitu terus menjadi pembangkang atau bersedia menghadapi pembubaran Parlimen!

Sememangnya pembubaran Parlimen adalah langkah terbaik memandangkan di peringkat negeri pun seperti Melaka, Negeri Sembilan, Sabah, Johor dan Kedah boleh dianggap tidak stabil.

Tidak payah berhujah kononnya pembubaran Parlimen akan menguntungkan UMNO dan Pas, semua itu hanya strategi untuk memecah belahkan PN. Siapa yang akan untung biar rakyat tentukan.

Apa yang PH takutkan kalau yakin rakyat masih menyokong mereka? Bukankah pemimpin-pemimpin PH melaungkan mereka hilang kuasa kerana dikhianati?

Siapa khianati siapa? Yang letak jawatan Perdana Menteri siapa? Yang nak tubuhkan Kabinet Perpaduan siapa?

Apakah cadangan penubuhan Kabinet seumpama itu membuktikan Mahathir tidak yakin dengan barisan Kabinet PH sebelum ini?

Atau adakah Mahathir sengaja meletakkan jawatan bagi membolehkan beliau ‘menyingkirkan’ menteri-menteri PH secara terhormat tanpa menduga ia akhirnya mengakibatkan mereka hilang kuasa?

Pemimpin-pemimpin PH perlu berhenti menyalahkan Muhyiddin mahupun PN terhadap apa yang berlaku ke atas mereka. Individu yang bertanggungjawab ‘meragut’ kuasa di tangan mereka ialah Mahathir bukan orang lain.

Oleh itu bagi menghentikan ‘kegilaan’ PH untuk kembali berkuasa sehingga menggugat kestabilan politik negara, bubar sahaja Parlimen dan kembalikan mandat kepada rakyat, kita sama-sama tengok siapa yang kena.


Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Ahmad Zahrul dulu ‘cuci filem’ sekarang cuci tangki

HENDAK seribu daya, tak hendak seribu dalih. Itulah pegangan seorang jurugambar profesional bebas yang terpaksa beralih kerjaya lantaran bidang yang beliau ceburi sebelum ini semakin suram sejak wabak COVID-19 menular.

Sedar permintaan untuk kerja-kerja fotografi semakin nazak ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak lebih dua bulan lalu, Ahmad Zahrul Kamaruzzaman, 48, tidak berfikir panjang selain mencari peluang kerjaya lain.

Berbekalkan pengalaman mempelajari kemahiran asas semasa belajar di sekolah vokasional dahulu, Ahmad Zahrul kini menukar kerjaya daripada seorang jurugambar menjadi pencuci tangki air.

KEADAAN air tangki sebuah rumah di Sungai Buluh sebelum dicuci.

“Selain kerja-kerja mencuci tangki air, saya juga membuat kerja pertukangan paip selain pendawaian elektrik rumah,” katanya ketika ditemui Edisi 9 di Desa Coalfields, Sungai Buloh, semalam.

Menurut Ahmad Zarul, buat masa sekarang dia hanya menerima pelanggan di sekitar taman perumahannya sahaja tetapi sedia melakukan kerja-kerja di luar kawasan itu jika ada permintaan.

Bagi yang ingin mendapatkan khidmat Ahmad Zahrul boleh menghubungi di talian 012-2851323 . – Edisi 9

AIR tngki dikeringkan dahulu sebelum proses cucian dimulakan.
AHMAD Zahrul membuka pili air keluar sebelum melaksanakan tugas cucian tangki.
PERKIRAAN diagram dilakar di atas kertas dibuat sebelum membuat sistem pembetulan paip tangki.
BALDI berisi peralatan diangkut naik ke atas menggunakan tali keselamatan.
KEADAAN tangki yang sudah dibersihkan sepenuhnya.

Krisis politik: Apakah PRU-15 semakin hampir?

Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR

MAJORITI rakyat Malaysia menantikan 2020 menjadi tahun kegemilangan bagi negara ini apatah lagi dengan Wawasan 2020 yang dilaungkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sejak berdekad lalu.

Namun hakikatnya, tahun ini tidak seindah dari khabar dan rupanya seperti dibayangkan selama ini.Ini kerana kita bukan sahaja semua terjejas akibat penularan Covid-19 malah ditambah senaknya dengan ketidakstabilan politik tanah air yang bergolak sejak awal tahun ini.

Suka atau tidak, semua kekacauan dan kekalutan politik negara ini sebenarnya berpunca daripada ketamakan segelintir pemimpin politik tersilap dengan pecaturan permainan sendiri.

Apa yang pasti rakyat merana, ekonomi bertambah buruk, saham jatuh pada tahap terburuk dalam sejarah. Senang cerita semua jadi susah dan terbeban.

Habis huru hara satu Malaysia dibuatnya, kerajaan yang diberi mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) tumbang dengan sendirinya sebelum menyaksikan peralihan kuasa kepada kerajaan baharu melalui pembentukan Perikatan Nasional.

Drama itu menyaksikan masing-masing mencari ‘nombor’ untuk mendapatkan majoriti kerusi di Parlimen, mungkin tidak perlu diulang kerana minggu tanpa kerajaan itu memperlihatkan ahli-ahli Parlimen ibarat macam ‘katak’ terlompat sana sani. Kejap sokong sini kejap sokong sana.

Ada yang mendakwa sebab faktor ‘duit’ berterbangan sana sini, mereka ini dah macam pemain bola antarabangsa yang ingin dibeli kelab dan apa pula disebabkan sentimen ‘termakan budi’.

Yang pasti, rakyat jadi muak dengan permainan politik mereka ini. Sehinggakan ramai yang dahulu menyokong sudah beralih gara-gara ‘mual’ dengan perangai pemimpin yang mereka pilih pada PRU sebelum ini.

Kemuncaknya, Yang Dipertuan Agong terpaksa campur tangan bagi menyelamatkan negara dari terus diheret dengan permainan pening ahli politik ini.

Mandat diberikan kepada kerajaan baharu maka pada 23 Februari lalu terbentuklah Perikatan Nasional hasil gabungan UMNO, Pas dan pecahan daripada Bersatu dan PKR yang tidak sekepala dengan pemimpin tertentu mengikut kem masing-masing.

Kewujudan Perikatan Nasional pula memperlihatkan lambaian ‘bye-bye’ kepada Dr. Mahathir dan pengikut Datuk Seri Anwar Ibrahim. Perpecahan ini menyaksikan Bersatu berterabur kerana ada ikut Tan Sri Muhyiddin Yassin dan PKR pula mengikut Datuk Seri Azmin Ali.

Itu antara sebab tumbangnya, Pakatan Harapan tolak tepi DAP dan Amanah serta yang ‘solid’ tidak diterima Perikatan Nasional.

Bukan itu sahaja kerajaan negeri juga dilihat bertukar arah, beberapa negeri yang dahulunya di bawah pentabiran Pakatan Harapan turut tumbang dan beralih kepada kerajaan sedia ada.

Apapun tidak keterlaluan jika dikatakan selepas kabinet baharu ditubuhkan di bawah tadbir urus Tan Sri Muhyiddin Yassin, banyak perubahan dilakukan dan antaranya suara rakyat didengari, perang antara Covid-19 dikendalikan dengan baik.

Malah Malaysia berada ditangga ke-3 antara pengurusan terbaik dalam mengawal dan mengendalikan penularan wabak yang menjadi pandemik bagi seluruh dunia.

Pujian harus diberikan kepada kerajaan baharu ini memandangkan ia dibentuk secara mengejut malah masih mentah kerana usianya pun belum cecah empat bulan.

Majoriti rakyat sudah memberikan tanda positif dan menerima inisiatif yang digerakkan kerajaan terkini.

Tetapi apa yang pelik, dua tiga hari ini timbul lagi ada ahli politik yang mahu menjadi ‘katak’ kerana mahu melompat dan beralih semula kepada kerajaan lama.

Sabtu lalu dijadualkan ada sidang akhbar jam 5 petang bakal dilangsungkan bagi memberi laluan kepada satu pengumuman mengejutkan. Sebaliknya tidak berlaku, apa yang terjadi?.

Didakwa ada juga permainan duit berlaku, jual beli lagi. Borak borak kedai kopi mengatakan individu berkenaan makan kiri kanan. Wahh sedapnya. Tetapi dalam keadaan negara begini. wajarkah amalan sedemikian diteruskan.

Apa yang difikirkan dalam kepala ahli politik berkenaan sehingga sanggup lompat-lompat sekali gus membelakangkan kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

Bayangkan sekali lagi negara bertukar kerajaan. Tidakkah sekali lagi hura hara tanah air ini sedangkan rakyat tengah tenggelam timbul dalam keadaan ekonomi yang makin menyempit ini.

Jika benarlah proses jual beli itu berlaku, individu yang terlibat memang layak digelar ‘bangsat’. Mana tidaknya, amanat yang diberi boleh dijual beli, mana letakknya maruah dan jati diri mereka, jika poket berisi menjadi keutamaan.

Adakah mereka ini layak digelar pemimpin? Kalau betul lah bertukar lagi kerajaan dalam masa terdekat ini, rasa-rasanya rakyat akan menerimanya?. Tepuk dada tanya selera.

Jika diteliti corak permainan yang ditunjukkan pemimpin pembangkang masih lagi tidak putus asa.

Tetapi kalau ‘pasukan’ gila majoriti kerusi parlimen ini buat lagi dan bertandang ke pagar istana. Rasanya apa keputusan Yang Dipertuan Agong?.

Sama ada tukar kerajaan atau bubar sahaja Parlimen sekali gus berikan mandat kepada rakyat untuk menentukan semula kerajaan mana yang mereka mahu untuk memerintah negara tercinta ini.

Kalau antara dua pilihan, tidak mustahil opsyennya adalah dengan mengadakan juga Pilihan Raya Umum Ke-15.

Sebab itu jangan terkejut jika PRU-15 ini bakal berlangsung tidak lama lagi. Silap-silap dalam tahun ini juga.

Apapun kita sama-sama berdoa agar Malaysia terus dilindungi dan diberikan kesejahteraan.


Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Kecelaruan fikiran seorang tua bernama Mahathir

TUN Mahathir Mohamad terus berusaha memburuk-burukkan pemimpin Bersatu dengan ‘serangan terbaru’ menyindir beberapa pemimpin dan ahli parti itu yang bersekongkol bersama pemimpin yang pernah digelar sebagai kleptokrat dan pencuri.

Kata ahli politik berusia 95 tahun itu, “Apa kata pemimpin lain dalam Bersatu. Apakah mereka sanggup menerima pencuri sebagai pemimpin? Okaylah – asal dapat nikmat.”

‘Serangan’ terbaru bekas Perdana Menteri itu menampakkan beliau kini semakin buntu bagaimana mahu menjatuhkan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Malang sekali sebagai seorang dianggap hebat, fikiran Mahathir kini semakin bercelaru dalam usaha beliau mencari modal untuk memburuk-burukkan Perdana Menteri.

Misi Mahathir ialah untuk memberi gambaran kepada rakyat bahawa Muhyiddin dan pemimpin Bersatu kini bersekongkol dengan ‘pencuri’ dan kleptokrat – modal yang sebelum ini memberi keuntungan besar kepada Pakatan Harapan (PH) menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Mahathir perlu ingat modal itu sudah basi dan tidak relevan lagi. Sebagai orang sudah lanjut usia, Mahathir sepatutnya mengelakkan daripada mengumpul ‘dosa-dosa kering’ dengan membuat tuduhan dan dakwaan terhadap satu kes yang ketika ini sedang dibicarakan di mahkamah.

Kalaupun sudah ketandusan modal politik, tidak payahlah membuat tuduhan yang hanya menampakkan ‘kecelaruan’ fikiran beliau dalam membuat pertimbangan.

Soalnya, adakah Mahathir terpaksa menggunakan taktik ini apabila pemecatan beliau bersama empat yang lain daripada Bersatu tidak dipedulikan oleh ahli-ahli Bersatu.

Kalau adapun hanya sekelompok kecil sahaja yang sama sekali tidak akan memberi apa-apa kesan, apatah lagi Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin sudah menyenaraikan kenapa Mahathir dan konco-konconya gugur sebagai ahli Bersatu.

Atau apakah Mahathir semakin tidak keruan apabila mendapati dalam PH juga semakin tidak stabil dan berada di ambang pergolakan apabila soal siapa harus menjadi Perdana Menteri jika pakatan itu kembali berkuasa masih belum ada kata putus?

Atau Mahathir cuba mengalihkan isu apabila beberapa PH sendiri menyatakan mereka masih belum cukup sokongan ahli Parlimen untuk kembali menjadi kerajaan?

Atau Mahathir semakin tidak selesa apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap menjadi pilihan untuk menjadi Perdana Menteri atau bakal menggantikan beliau sebagai Perdana Menteri?

Walaupun nampak tenang, tetapi semua situasi ini memberi tekanan mendalam kepada Mahathir yang mula dilihat semakin menjadi liabliti kepada PH.

Justeru Mahathir cuba membangkitkan modal lama yang tidak lakukan dengan cuba memburuk-burukkan Najib apabila menggunakan istilah ‘kleptokrat’ dan pencuri.

Pelik dan aneh kerana Najib terus menjadi sasaran Mahathir walaupun bekas Perdana Menteri hanya bermain fb dan twitter sahaja setiap hari serta tidak lagi memegang apa-apa jawatan penting dalam kerajaan dan parti.

Apakah Mahathir tidak dapat menerima hakikat bahawa selepas berusaha menjatuhkan Najib dengan melemparkan pelbagai tuduhan Ahli Parlimen Pekan itu terus popular dalam kalangan rakyat sedangkan beliau semakin dibenci oleh mereka?

Mahathir mungkin terpaksa menjadikan ‘serangan’ ke atas Najib sebagai modal kerana beliau tidak tahu apa lagi ‘peluru’ atau isu yang boleh beliau digunakan untuk menyerang bagi menjatuhkan Perdana Menteri.

Apatah lagi Muhyiddin kini semakin popular dan menunjukkan kemampuan memimpin negara.

Lebih mengganggu fikiran Mahathir ialah apabila hari ini sahaja bahagian-bahagian Bersatu di dua buah negeri telah menyatakan sokongan padu kepada Muhyiddin sebagai Presiden parti tersebut. Sudah pasti sokongan seumpama itu akan meningkat dari semasa ke semasa.

Sepatutnya Mahathir menerima hakikat bahawa karier politiknya kini sudah berada di penghujung.

Jika beliau betul-betul hebat sudah pasti lebih ramai ahli Parlimen menyertainya tetapi apa yang berlaku hanya empat orang sahaja bersama beliau, itupun termasuk anaknya Datuk Seri Mukhriz dan Syed Saddiq Syed Abd. Rahman yang kalau bertanding Ketua Armada pun belum tentu menang.

Majoriti ahli Parlimen dan ahli-ahli Bersatu tidak lagi bersama Mahathir kerana mereka melihat tidak ada salahnya tindakan Muhyiddin meninggalkan kerjasama dengan PH yang didominasikan oleh DAP.

Malah beberapa pemimpin termasuk Muhyiddin sendiri sudah mendakwa Mahathir yang mahu mereka mencari jalan meninggalkan pakatan tersebut.

Pada masa sama dalam kalangan pemimpin PH majoritinya dikhabarkan sudah kehilangan keyakinan untuk bergantung kepada ahli politik veteran tersebut.

Mereka mula merasakan kehadiran Mahathir yang sebelum dilihat mendatangkan ‘keuntungan besar’ kini sudahpun menjemput ‘petaka’ politik kepada mereka.

Tindakan beliau meletakkan jawatan Perdana Menteri tanpa berbincang dengan pemimpin-pemimpin PH sehingga tumbang Kerajaan PH pada Februari lalu dianggap satu tindakan yang tidak boleh diterima.

Oleh itu Mahathir tidak perlulah lagi mahu ‘menghuru-harakan’ suasana politik negara dengan tindakannya yang kadang kala sudah dilihat semakin ‘tidak keruan’.

Terimalah hakikat masanya sudah tiba untuk beliau berundur dan berehat secara terhormat sebelum ‘disingkirkan’ atau ‘terbuang’ bagaikan ‘kain buruk’.


Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Tun M, 4 bekas pemimpin kini lawan sebenar Bersatu

TUN Dr Mahathir Mohamad dan empat lagi bekas pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang digugurkan keahlian dari parti perlu dihadapi sebagai lawan yang sebenar.

Perkara itu ditegaskan oleh Ketua Bersatu Bahagian Kepong, Datuk Norizan Ali dalam kenyataannya bagi menyokong tindakan yang diambil oleh kepimpinan tertinggi parti.

Selain Dr Mahathir, bekas-bekas pemimpin Bersatu yang dimaksudkan Norizan ialah Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Dr Maszlee Malik dan Datuk Amiruddin Hamzah.

Beliau menyatakan bahawa bekas pemimpin Bersatu ‘lima serangkai’ itu tidak lagi boleh dianggap musuh dalam kelambu sendiri.

“Dengan tergugur keahlian mereka daripada Bersatu, kelima-lima mereka kini bebas untuk bersama secara sah dalam pembangkang dengan memilih sama ada mahu mengisi borang keahlian PKR, DAP atau Amanah.

“Tiada lagi kelima-lima mereka dalam Bersatu akan memberi lebih ruang dan kebebasan untuk Tan Sri Muhyiddin Yassin melaksanakan tugasnya sebagai Perdana Menteri,” jelasnya.

Melalui surat bertarikh 28 Mei 2020, kelima-lima bekas pemimpin Bersatu itu dimaklumkan bahawa mereka telah melanggar peruntukan 10.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan Bersatu kerana bertindak mengambil kedudukan di Parlimen pada 18 Mei lalu sebagai wakil rakyat yang tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan ia melanggar Perlembagaan Bersatu.

Akibatnya, Dr Mahathir, Mukhriz, Syed Saddiq, Maszlee dan Amiruddin telah digugurkan keahlian mereka dari parti.

Walau bagaimanapun, bekas pemimpin Bersatu lima serangkai itu menolak keputusan parti untuk menggugurkan keahlian mereka kerana mendakwa ia bertentangan dengan undang-undang.

lawan
Norizan Ali

Norizan juga tidak mahu rakyat terus tertipu dengan permainan golongan bangsawan yang didakwa mahu mengaut laba dari dunia politik dengan menjadikan golongan bawahan sebagai mangsa.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berharap Muhyiddin diberi peluang dan sokongan sepenuhnya untuk melaksanakan tanggungjawab menerajui pentadbiran negara.

Beliau mengingatkan, tindakan pihak lawan yang berterusan mengganggu PN telah menimbulkan perasaan meluat dalam kalangan rakyat.

“Rakyat mahukan kestabilan, tetapi pihak yang menentang kerajaan nampaknya sentiasa membuat onar dan gangguan terhadap kerajaan,” katanya.

Norizan percaya tindak-tanduk Pakatan Harapan (PH) itu telah menjadikan dunia politik sebagai lapangan beradu untuk mengambil kesempatan mengaut kepentingan diri masing-masing. – EDISI 9

Seni politik tidak matang Syed Saddiq

HEBAT anak muda dari Johor ini apabila muncul pada sidang akhbar dengan mendakwa Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin pernah menyatakan Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa masih dalam Timbalan Presiden UMNO “gila jawatan hendak jadi Perdana Menteri”.

Selain itu beliau yang gugur keahlian daripada Bersatu tetapi masih mengaku Ketua Armada parti tersebut berkata, ‘’Biarkan masa depan Bersatu ini ditentukan oleh akar umbi. Kalau betul kami tidak ada sokongan, biarlah kami dihukum tangan ahli akar umbi sendiri, bukan orang yang dulu UMNO dan kini masuk Bersatu.’’

Penulis hanya tersenyum membaca kenyataan anak muda ini yang baru-baru ini tular gambar beliau sedang mengacau bubur lambuk di atas dapur tanpa api dan sebelum itu awal tahun ini memanjat pagar selepas dikepung oleh beberapa individu di Ulu Tiram, Johor.

Bukan sahaja hujah malah tindakan beliau mengadakan sidang akhbar itu dengan mengungkit kisah lama yang entah betul atau tidak, hanya menampakkan ‘kecacatan’ dan ketidakmatangan seni politik beliau yang baru setahun jagung dalam dunia tersebut.

Penulis tertanya-tanya apakah kehebatan pemuda bernama Syed Saddiq ini sehingga ada menteri berjumpa dan mengajak beliau untuk meninggalkan Bersatu.

Kalaulah pertemuan itu berlaku sebelum pilihan raya umum lalu, adakah ketika itu Syed Saddiq sudah cukup popular dan berpengaruh sehingga UMNO dan Barisan Nasional (BN) terpaksa menjemput beliau ke dalam parti tersebut?

Syed Saddiq hanya dikenali selepas dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan pada 2018 setelah menang Pilihan Raya Umum pada tahun itu hasil ‘’tsunami’’ penolakan rakyat terhadap BN ketika itu.

Dalam bahasa mudahnya, sebagai individu kali pertama bertanding dan menang dalam pilihan raya, Syed Saddiq belum teruji dalam pertarungan sebenar berdasarkan kemampuan beliau bukannya menang kerana arus nasional.

Justeru tidak perlulah Syed Saddiq mahu melakukan tindakan dilihat seolah-olah setanding dengan Hamzah. Lagi pula tumpuan sidang akhbar Hamzah semalam ialah penjelasan kepada pemimpin idola Syed Saddiq, Tun Dr.Mahathir Mohamad kenapa keahlian bekas Perdana Menteri itu dan empat yang lain tergugur secara automatik.

Kalaupun Syed Saddiq mahu menjadi ‘wira’ mempertahankan Mahathir, gunalah hujah-hujah lain dan bukannya memaparkan kisah lama yang belum tentu benar.

Strategi seumpama ini sudah tidak laku lagi, kalau cerita lama mahu diungkit mungkin pemimpin-pemimpin Bersatupun ada banyak cerita pasal beliau.

Turut mencuit hati penulis apabila membaca kenyataan Syed Saddiq bahawa, ‘’biar dihukum akar umbi, bukan bekas pemimpin UMNO.’’

Adakah maksud Syed Saddiq kalau individu itu bekas pemimpin UMNO dan kemudiannya dilantik memegang satu jawatan dalam Bersatu, kemudian bertindak berdasarkan Perlembagaan parti, ia tidak boleh dilakukan?

Lupakah Syed Saddiq, Bersatu ditubuhkan oleh pemimpin UMNO?

Kesimpulannya, banyak lagi yang perlu Syed Saddiq belajar, kalau beliau betul-betul mahu menjadi ahli politik muda yang berjaya.

Kejayaan seseorang ahli politik bukan sekadar dilihat menumpang hubungan rapat dengan mana-mana pemimpin dan sudah pasti ia juga tidak bergantung kepada sekadar pandai berpidato sahaja sehingga akhirnya terkebil-kebil apabila diasak dalam wawancara orang media luar negara.

Sebaliknya, kehebatan ahli politik ialah bagaimana bijak dalam tindakan, pandai dalam strategi, ada fakta bila berhujah dan cerdik membaca arus politik. Tidak salah untuk mempertahankan prinsip dan setia kepada seseorang pemimpin.

Tetapi politik juga membuktikan, prinsip akhirnya tergadai, pembentukan kerjasama antara PKR,DAP,Amanah dan Bersatu adalah buktinya dan kesetiaan pula akan sampai masanya berubah kerana dalam politik tiada kawan dan musuh yang kekal.

Oleh itu pandai-pandailah Syed Saddiq melakukan percaturan supaya tidak tersemban ke dalam ‘kuali bubur lambuk’ perebutan kuasa ketika mahu ‘melompat pagar’ politik kerana beliau baru ‘setahun jagung’ dalam dunia yang bukan sekadar bijak ‘menampal plaster di muka’.


Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Kegetiran hidup kaum buruh latar karya D. H. Lawrence

Tajuk: D. H. Lawrence – Selected Tales

Penulis: D. H. Lawrence

Penerbit: Heinemann, London

Tahun penerbitan: 1988

Bil. Halaman: 236

Ulasan:

Sebanyak 11 cerpen nukilan D. H. Lawrence dalam antologi ini berkisar tentang kehidupan masyarakat di England terutamanya golongan buruh sekitar era sebelum dan selepas Perang Dunia Pertama.

Empat karyanya iaitu Odour of Chrysanthemums, Strike-Pay, The Christening dan Daughters of the Vicar berlatarkan suasana di kawasan perlombongan arang batu yang sebenarnya begitu dekat di hati Lawrence.

Beliau dilahirkan pada tahun 1885 dan dibesarkan di perkampungan lombong arang batu yang bernama Eastwood di Nottingham.

Justeru, kehidupan pelombong arang batu yang sentiasa dalam kesulitan dan kesempitan yang diketengahkan dalam cerpen-cerpennya adalah berdasarkan pengalaman yang diharunginya sendiri ketika kecil.

Empat kisah lain iaitu Tickets, Please, Monkey Nuts, Fanny and Annie dan You Touched Me memaparkan tentang kesukaran wanita-wanita di England pada era tersebut untuk mencari pasangan hidup yang sesuai.

Seperti yang ditekankan dalam Fanny and Annie serta You Touched Me, restu ibu bapa masih mempunyai pengaruh yang besar dalam menentukan jodoh yang sesuai untuk anak perempuan mereka.

Namun, Tickets, Please dan Monkey Nuts agak berbeza kerana watak-watak heroin dalam kedua-duanya digambarkan sebagai ‘perigi mencari timba’.

Tiga lagi cerpen yang masing-masing berjudul The Rocking-Horse Winner, The Man who loved Islands dan Things berunsur satira yang menyindir golongan kelas pertengahan atasan yang taksub dengan materialisme sehingga mengetepikan aspek kemanusiaan dalam kehidupan.

Kanak-kanak lelaki bernama Paul dalam The Rocking-Horse Winner dibesarkan dalam keluarga yang kaya namun sentiasa tidak cukup wang kerana suka berbelanja besar untuk menjaga status mereka.

Watak seorang lelaki bernama Cathcart dalam The Man who loved Islands pula mempunyai ‘ketamakan’ tersendiri di mana dia membeli tiga pulau yang terpencil semata-mata kerana mahu lari daripada dikelilingi orang ramai.

Malah, dia tergamak meninggalkan pasangannya yang bernama Flora dan anak perempuannya yang baru dilahirkan di pulau yang kedua dan berhijrah ke pulau ketiga yang lebih kecil dan sunyi.

Things pula agak berbeza kerana watak-watak utamanya ialah pasangan Erasmus dan Valerie Melville dari Amerika Syarikat.

Mereka yang digambarkan sebagai idealis sejati berasal dari New England dan mengimpikan kehidupan penuh bermakna dan indah.

Selepas berkahwin, pasangan muda itu merantau ke Paris, Itali, New York, kawasan pergunungan di barat Amerika Syarikat dan California sebelum kembali ke rumah ibu bapa Valerie di Massachussetts.

Semasa merantau, mereka mengumpul barangan antik seperti almari dari Bologna, rak buku dari Venice, kerusi biskop Ravenna, meja Louis-Quinze, tirai Chartres dan lampu gangsa Siena.
Walaupun usia semakin meningkat dan wang semakin berkurangan, Erasmus dan Valerie masih berasa tidak puas hati dengan kehidupan mereka di Amerika lalu mereka memutuskan untuk berhijrah kembali ke Paris.

Kehidupan mereka untuk kali kedua di Paris hanya menimbulkan kekecewaan kerana keadaan menjadi lebih buruk dan menyebabkan pasangan yang gemar bermewah-mewah itu terpaksa hidup secara ala kadar.

Malah, Erasmus hampir menjadi gila akibat tekanan yang dihadapinya.

Akhirnya, dia bersetuju untuk bekerja sebagai pensyarah kesusasteraan Perancis, Itali dan Sepanyol di Cleveland University.

Secara keseluruhan, karya-karya Lawrence dalam antologi ini memberi gambaran tentang pandangan serta sikapnya yang dianggap tidak konvensional dalam kalangan masyarakat kontemporari yang lebih mengejar aspek kebendaan pada era tersebut.

Beliau percaya aspek kemanusiaan telah dihakis oleh pertumbuhan pesat sektor industri dan menyalahkan golongan pemodal serta pemain-pemain industri yang tidak mempedulikan tentang kebajikan para pekerja.

Perasaan simpati Lawrence terhadap anggota masyarakat kelas bawahan dapat diterjemahkan melalui karya-karya pilihan dalam antologi ini. – EDISI 9

Sumber: Blog Bicara Buku

Salur cadangan tangani kesan COVID-19 kepada kerajaan

KERAJAAN mengalu-alukan cadangan daripada orang ramai untuk dipertimbangkan bagi penggubalan Rang Undang-undang (RUU) Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan COVID-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, cadangan boleh dikemukakan melalui pautan http://www.bheuu.gov.my/index.php/ruu-covid19 sebelum ada pada 5 Jun 2020.

Jelas beliau, pelawaan itu terbuka kepada semua pihak berkepentingan termasuk pertubuhan bukan kerajaan.

“Penggubalan RUU ini merupakan komitmen kerajaan untuk meminimumkan impak penularan pandemik COVID-19 yang memberi kesan langsung ekonomi dan sosial kepada rakyat dan industri.

“Perlu diingatkan, segala cadangan untuk dimasukkan dalam RUU ini hendaklah berbangkit daripada kesan penularan wabak COVID-19 dan mempunyai impak terhadap perniagaan, firma termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan rakyat secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan media.

Inisiatif mengumpul cadangan itu adalah susulan keputusan mesyuarat penggubalan RUU berkenaan pada 28 Mei lalu.

Seperti yang diketahui umum, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan COVID-19 memberi kesan terhadap ekonomi negara.

Kebanyakan PKS yang terjejas kerana tidak dibenarkan beroperasi pada fasa-fasa awal PKP.

Turut menerima kesan adalah perniagaan-perniagaan kecil seperti penjaja dan peniaga pasar malam yang sebahagian besarnya masih belum dibenarkan beroperasi sehingga kini.

Selain itu, ada rakyat yang hilang pekerjaan apabila syarikat mereka terpaksa ditutup atau mengambil langkah mengurangkan pekerja untuk menjimatkan kos operasi ekoran pendapatan terjejas.

Justeru, mereka yang menerima kesan secara langsung perlu mengambil peluang untuk menyuarakan pandangan mereka agar diberi pertimbangan sewajarnya oleh kerajaan.

Manfaatkan saluran yang disediakan agar RUU yang digubal kelak benar-benar berupaya untuk menangani kesan yang ditanggung mereka akibat COVID-19. – EDISI 9

Mahathir jangan akhirnya jadi ‘sampah politik’ – Syed Ali

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad dinasihatkan agar tidak terus keras kepala dan berdegil semata-mata mahu menjayakan agenda politik sehingga menyusahkan rakyat.

Bekas Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, tindakan Dr Mahathir yang dipercayai akibat pengaruh pihak-pihak sekeliling itu dikhuatiri akhirnya beliau dianggap sebagai ‘sampah politik’.

Syed Ali dikatakan antara pemimpin UMNO yang meninggalkan parti itu selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Berikut salinan penuh surat terbuka tersebut:

Salam sejahtera buat Tun Dr Mahathir Mohamad yang dikasihi semoga dilimpahkan rahmat Allah S.W.T.

Saya panjangkan surat terbuka kedua ini susulan ketiadaan langsung perubahan sikap politik Tun terhadap senario politik semasa, malah saya berpendapat tingkah-laku Tun jelas semakin merisaukan.

Sebelum ini saya menganggap tindak-tanduk Tun dipengaruhi oleh pihak-pihak sekeliling, namun mungkin saya silap.

Saya cukup khuatir apabila Tun secara sedar dan waras menegaskan untuk menumbangkan kerajaan pimpinan YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan apa cara sekalipun, rakyat akhirnya akan memandang jelek kepada Tun.

Sejujurnya, saya tidak tergamak untuk melihat akhirnya Tun akan dipandang orang sebagai ‘sampah politik’, tidak sepadan dengan jasa yang pernah Tun sumbangkan selama ini.

Apa lagi yang Tun mahu ketika usia sudah 95 tahun, yang secara adatnya bagi orang Melayu, usia sebegitu adalah saki baki untuk mencari redha dan keberkatan Allah S.W.T. sebelum menutup mata.

Ambillah contoh pemimpin besar dunia, seperti Presiden Obama misalnya, walaupun asyik diktitik teruk oleh Presiden Trump mengenai polisinya yang terdahulu, Obama terus bersikap tenang dan tidak melenting.

Saya cukup sedih dengan sikap pengampu dan penjilat politik Tun yang masih tergamak mempergunakan Tun untuk menyerang Muhyiddin, hanya dengan alasan kononnya mengembalikan mandat rakyat.

Untuk pengetahuan Tun, rakyat sebahagian besarnya orang Melayu dan umat Islam di Malaysia sudah tidak lagi memperdulikan kehadiran Tun dalam kancah politik, sebaliknya mereka mula merasai nikmat dan selesa dengan kerajaan Perikatan Nasional ( PN) pimpinan Muhyiddin. Malah jika tidak berubah kerajaan ini secara pra-matang pun, rakyat terutama orang Melayu sudah tak sabar-sabar menunggu ketibaan Pilihan Raya Umum. Mereka sudah serik dengan kerajaan PH, pimpinan DAP!

Apa sebenarnya ‘penyakit’ Tun yang masih tidak mahu menerima hakikat bahawa keberadaan politik Tun sekarang sudah tidak lagi relevan dengan dunia masakini. Berubah dan insaf lah Tun, generasi muda hari ini semakin meluat dengan perlakuan politik Tun yang paling menjijikkan dalam sejarah modern. Sudah-sudahlah.

Dua hari lalu, tindakan Tun memasuki ibu pejabat BERSATU seperti diketahui umum, adalah satu perbuatan yang pada mata orang ramai sebagai tidak masuk akal kerana Tun bukan lagi Pengerusi BERSATU seperti dinyatakan sebelum ini oleh pihak ROS dan keahlian Tun dalam parti itu ‘terhenti’ secara otomatik gara-gara perbuatan Tun sendiri yang melanggar perlembagaan parti.

Bagi orang yang waras akalnya dan yang tidak memihak kepada mana-mana pihak perbuatan Tun dan budak-budak Tun itu akan ditafsirkan sebagai menceroboh dan tidak hirau kepada peraturan. Sungguh memalukan sikap buruk sedemikian rupa kerana pernah memerintah negara ini selama 22 tahun 22 bulan. Bayangkan jika itu berlaku dalam kerajaan Tun?

Penjelasan Presiden BERSATU, Muhyiddin semalam berhubung isu keahlian Tun dan budak-budak Tun, ternyata boleh diterima umum dan memperlihatkan Muhyiddin sudah banyak bertolak ansur dan memberi ruang kepada Tun untuk memperkukuhkan BERSATU, sebaliknya Tun memilih haluan berbeza dengan bersekongkol dengan PH.

Saya tidak berniat untuk mencampuri urusan politik songsang Tun, tetapi sebagai rakyat Malaysia, saya tidak mahu melihat sifat dendam Tun terhadap Muhyiddin akan menjahanankan negara dan menyusahkan kehidupan rakyat jelata.

Apa sebenarnya Tun mahu? Takkan dengan usia lanjut itu Tun masih lagi ketagih untuk jawatan PM? Apakah Tun mahu jawatan PM perlu dijadikan harta pusaka agar diwarisi oleh keturunan Tun sahaja? Apakah lebih 30 juta rakyat Malaysia ini tidak layak, hanya Tun seorang sahaja yang selayaknya jadi PM?

Pada pemerhatian saya, Tun selalu berhelah dengan mendakwa untuk ‘kembalikan mandat rakyat’ dan Muhyiddin perlu dijatuhkan. Saya nak tanya Tun, rakyat mana? Rakyat Malaysia sudah tidak perlukan Tun lagi, kalau ada pun minoriti Melayu termasuk yang bersekongkol dengan DAP.

Tolonglah Tun. Cukuplah berhelah dengan nama rakyat. Tolonglah Tun, rakyat sudah tidak mahu lagi Tun jadi PM, rakyat mahu Tun berehat sesuai dengan usia Tun. Rakyat sudah bosan dengan karenah Tun. Rakyat mahu Muhyiddin teruskan tugasnya sebagai PM-8, sehingga PRU15.

Jika Tun berhajat sangat untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara, Tun sewajarnya menyokong Muhyiddin sebagai Presiden BERSATU dan Perdana Menteri. Tun boleh berkhidmat selaku seorang Negarawan yang dihormati.

Pada hemat saya, maruah Tun tidak akan ‘jatuh’ jika Tun menyokong perpaduan rakyat dan berlapang dada dengan ‘berketuakan’ Muhyiddin selaku PM yang sah di segi undang-undang dan perlembagaan negara.

Percayalah Tun, Tun tidak akan melakukan ‘kesilapan lagi’ dengan memilih Muhyiddin Yassin ini.

Sebaliknya, jika Tun masih keras kepala dan berdegil untuk menjayakan agenda politik yang menyusahkan rakyat, saya khuatir, kelak di penghujung usia Tun hanya akan dikenang sebagai ‘sampah politik’.

Sudahlah Tun. Rakyat sudah letih dengan adu-domba politik yang sedang berlaku ini, di masa negara sedang dilanda COVID-19.

Sekian. Terima kasih.

DATUK SERI SYED ALI ALHABSHEE


Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Masjid Nabawi dibuka semula hari ini

MASJID Nabawi di Madinah yang ditutup kepada jemaah sejak 5 Mac lalu ekoran wabak Covid-19, telah dibuka semula mulai subuh hari ini.

Haramain.com dalam twitternya bagaimanapun berkata, jumlah jemaah hanya dihadkan kepada 40 peratus daripada kapasiti masjid serta mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ketat.

Ini termasuk menjaga jarak sosial termasuk ketika solat manakala jemaah pula diambil suhu badan sebelum dibenarkan masuk selain diwajibkan memakai penutup mulut dan hidung.

Twitter itu juga memaparkan ratusan jemaah berbaris panjang sebelum memasuki masjid yang turut menempatkan makam Rasulullah SAW tersebut.

Arab Saudi sehingga kini mencatatkan 83,384 kes dan mengorbankan 480 nyawa, dengan jumlah kes pulih sebanyak 70.6 peratus. – Agensi

Taska sedia dibuka semula esok

KUALA LUMPUR – Bermula esok pusat penjagaan dan taman asuhan kanak-kanak (Taska) dibenarkan beroperasi semula semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

PELAPIK getah di susun mengikut penjarakan sosial di taska.

Tinjauan Edisi 9 di Taska DD Permata Desa Coalfields, Sungai Buloh kerja- kerja menyahnitasi dan susun atur penjarakan sosial sedang giat dijalankan.

Taska itu telah beroperasi sejak 2018 akan memulakan operasinya esok bermula dari jam 7 pagi sehingga 6 petang.

Pengusaha taska Norasmah Md Nor berkata pengoperasian taska semasa PKPB ini mengikut syarat dan prosuder operasi standard (SOP) yang telah digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).-Edisi 9

GARISAN penjarakan sosial dibuat mengikut garis panduan yang dikeluarkan MKN.
GURU taska bergotong royong mengemaskan ruang untuk keselesaan kanak – kanak.
ANTARA sijil pengiktirafan yang dipamerkan di Taska DD Permata.
BUKU laporan dan syarat pengoperasian taska diedarkan kepada ibu bapa.