29.4 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Mahathir didakwa tiada sokongan majoriti MPT Bersatu

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad didakwa sudah tiada sokongan majoriti dalam kalangan Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ketika membuat dakwaan tersebut, Ketua Bahagian Bersatu Kepong, Datuk Norizan Ali berkata, Pengerusi Bersatu itu tidak mahu memanggil mesyuarat dan parti seolah-olah tidak bergerak sejak lebih dua bulan lalu.

Sehubungan itu beliau mengalu-alukan keputusan Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (JPPM) yang menyatakan perletakan jawatan Mahathir selaku Pengerusi Bersatu adalah sah dan dengan itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin kini adalah Pemangku Pengerusi Bersatu.

“Langkah JPPM itu adalah tepat, tidak ada keraguan serta bersandarkan Perlembagaan Bersatu sendiri.

NORIZAN ALI

“Sebagai salah seorang pemimpin Bersatu di peringkat bahagian, saya percaya keputusan JPPM ini akan membolehkan Muhyiddin menguruskan parti dengan lebih baik, bukan saja menjelang pemilihan parti tidak lama lagi, tetapi juga di masa-masa yang seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dengan keputusan JPPM itu, Muhyiddin yang disahkan sebagai Pemangku Pengerusi, sudah boleh memanggil mesyuarat MPT bagi memastikan aktiviti parti berjalan seperti biasa dan meneruskan agenda pemilihan Bersatu.

“Dengan itu, Bersatu akan dapat berperanan secara lebih baik memberi khidmat kepada masyarakat selepas ini,” tegasnya.

Norizan juga berharap, Muhyiddin akan bertindak berani menangani isu Mahathir dan pengikutnya yang kini bercanggah pendirian dengan keputusan Bersatu membentuk kerajaan bersama Perikatan Nasional (PN) demi masa depan parti.

“Jika mereka didapati bersalah dari segi disiplin dan perlu diambil tindakan, termasuk gantung keahlian atau dipecat, Muhyiddin wajar bertindak pantas tanpa berlengah lagi dalam mengambil tindakan terhadap mereka,” tegas beliau.

Beliau berkata, masa depan parti dan negara lebih penting daripada individu dan jika Muhyiddin terus membiarkan gangguan wujud dalam parti, Presiden Bersatu itu dengan sendirinya akan terhalang daripada memberi khidmat yang lebih baik kepada rakyat dan negara.

“Selagi kewujudan golongan pengacau ini masih ada dalam parti, selagi itulah Bersatu akan berpecah, menjadi parti dua nakhoda dan tidak dapat bergerak ke mana-mana.

“Dalam hal ini, saya juga berharap semua pihak memberi sokongan sepenuhnya kepada Muhyiddin mengurus parti sebagaimana mandat yang dibuat oleh JPPM ini, lebih-lebih lagi sesuai dengan kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan ketua kerajaan.

“Masa untuk memberi sokongan kepada Mahathir sudah pun berlalu dan sebagaimana kita semua pernah memberi sokongan kepadanya sebagai Perdana Menteri sebelum ini, kita juga harus memberi sokongan yang sama kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri sekarang ini,” katanya.

Norizan mengakhiri kenyataan 13 para itu dengan menegaskan, “inilah satu-satunya pilihan untuk Bersatu bergerak ke hadapan dan menuju kecemerlangan, sebaliknya mengundur ke belakang bersama Mahathir dan pembangkang adalah jalan yang kelam dan tiada penentuan.” – Edisi 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan