26.1 C
Kuala Lumpur
Tuesday, October 19, 2021

Kegetiran hidup kaum buruh latar karya D. H. Lawrence

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

Tajuk: D. H. Lawrence – Selected Tales

Penulis: D. H. Lawrence

Penerbit: Heinemann, London

Tahun penerbitan: 1988

Bil. Halaman: 236

Ulasan:

Sebanyak 11 cerpen nukilan D. H. Lawrence dalam antologi ini berkisar tentang kehidupan masyarakat di England terutamanya golongan buruh sekitar era sebelum dan selepas Perang Dunia Pertama.

Empat karyanya iaitu Odour of Chrysanthemums, Strike-Pay, The Christening dan Daughters of the Vicar berlatarkan suasana di kawasan perlombongan arang batu yang sebenarnya begitu dekat di hati Lawrence.

Beliau dilahirkan pada tahun 1885 dan dibesarkan di perkampungan lombong arang batu yang bernama Eastwood di Nottingham.

Justeru, kehidupan pelombong arang batu yang sentiasa dalam kesulitan dan kesempitan yang diketengahkan dalam cerpen-cerpennya adalah berdasarkan pengalaman yang diharunginya sendiri ketika kecil.

Empat kisah lain iaitu Tickets, Please, Monkey Nuts, Fanny and Annie dan You Touched Me memaparkan tentang kesukaran wanita-wanita di England pada era tersebut untuk mencari pasangan hidup yang sesuai.

Seperti yang ditekankan dalam Fanny and Annie serta You Touched Me, restu ibu bapa masih mempunyai pengaruh yang besar dalam menentukan jodoh yang sesuai untuk anak perempuan mereka.

Namun, Tickets, Please dan Monkey Nuts agak berbeza kerana watak-watak heroin dalam kedua-duanya digambarkan sebagai ‘perigi mencari timba’.

Tiga lagi cerpen yang masing-masing berjudul The Rocking-Horse Winner, The Man who loved Islands dan Things berunsur satira yang menyindir golongan kelas pertengahan atasan yang taksub dengan materialisme sehingga mengetepikan aspek kemanusiaan dalam kehidupan.

Baca juga:   Dunia khayalan, teknologi dan magis dalam The Sea Raiders
Baca juga:   Citra 'dropshipper' di tengah laut Semporna

Kanak-kanak lelaki bernama Paul dalam The Rocking-Horse Winner dibesarkan dalam keluarga yang kaya namun sentiasa tidak cukup wang kerana suka berbelanja besar untuk menjaga status mereka.

Watak seorang lelaki bernama Cathcart dalam The Man who loved Islands pula mempunyai ‘ketamakan’ tersendiri di mana dia membeli tiga pulau yang terpencil semata-mata kerana mahu lari daripada dikelilingi orang ramai.

Malah, dia tergamak meninggalkan pasangannya yang bernama Flora dan anak perempuannya yang baru dilahirkan di pulau yang kedua dan berhijrah ke pulau ketiga yang lebih kecil dan sunyi.

Things pula agak berbeza kerana watak-watak utamanya ialah pasangan Erasmus dan Valerie Melville dari Amerika Syarikat.

Mereka yang digambarkan sebagai idealis sejati berasal dari New England dan mengimpikan kehidupan penuh bermakna dan indah.

Selepas berkahwin, pasangan muda itu merantau ke Paris, Itali, New York, kawasan pergunungan di barat Amerika Syarikat dan California sebelum kembali ke rumah ibu bapa Valerie di Massachussetts.

Semasa merantau, mereka mengumpul barangan antik seperti almari dari Bologna, rak buku dari Venice, kerusi biskop Ravenna, meja Louis-Quinze, tirai Chartres dan lampu gangsa Siena.
Walaupun usia semakin meningkat dan wang semakin berkurangan, Erasmus dan Valerie masih berasa tidak puas hati dengan kehidupan mereka di Amerika lalu mereka memutuskan untuk berhijrah kembali ke Paris.

Baca juga:   Hampir 'hilang darah' di San Diego

Kehidupan mereka untuk kali kedua di Paris hanya menimbulkan kekecewaan kerana keadaan menjadi lebih buruk dan menyebabkan pasangan yang gemar bermewah-mewah itu terpaksa hidup secara ala kadar.

Malah, Erasmus hampir menjadi gila akibat tekanan yang dihadapinya.

Akhirnya, dia bersetuju untuk bekerja sebagai pensyarah kesusasteraan Perancis, Itali dan Sepanyol di Cleveland University.

Secara keseluruhan, karya-karya Lawrence dalam antologi ini memberi gambaran tentang pandangan serta sikapnya yang dianggap tidak konvensional dalam kalangan masyarakat kontemporari yang lebih mengejar aspek kebendaan pada era tersebut.

Beliau percaya aspek kemanusiaan telah dihakis oleh pertumbuhan pesat sektor industri dan menyalahkan golongan pemodal serta pemain-pemain industri yang tidak mempedulikan tentang kebajikan para pekerja.

Baca juga:   Hampir 30 tahun cari rezeki baiki mesin basuh, peti sejuk

Perasaan simpati Lawrence terhadap anggota masyarakat kelas bawahan dapat diterjemahkan melalui karya-karya pilihan dalam antologi ini. – EDISI 9

Sumber: Blog Bicara Buku

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Terkini

Kes harian, kematian, penggunaan katil tunjuk tren penurunan

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan pelaporan kes harian, jumlah kematian, kapasiti penggunaan katil COVID-19 di hospital, dan Unit Rawatan...

Lagi Artikel Berkaitan