29.2 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Sambung semula kontrak perkhidmatan penjawat awam – CUEPACS

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kerajaan supaya menyambung semula perkhidmatan kira-kira 603 orang pekerja kontrak di agensi-agensi kerajaan yang telah dan akan tamat tempoh kontrak.

Presidennya, Adnan Mat berkata, difahamkan daripada jumlah tersebut, seramai 265 orang telah tamat kontrak perkhidmatan manakala kontrak perkhidmatan 338 orang lagi akan berakhir dalam masa terdekat.

Menurut beliau, CUEPACS menerima banyak aduan daripada pekerja kontrak di agensi-agensi kerajaan yang memaklumkan kebimbangan kontrak mereka tidak akan disambung walaupun menunjukkan mutu kerja yang baik.

“Sehubungan itu, CUEPACS merayu kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya kesemua pekerja kontrak terutamanya yang telah ditamatkan perkhidmatan mereka sebelum ini diambil semula bekerja, manakala mereka yang kontraknya akan tamat disambung semula.

“Dalam hal ini, pekerja-pekerja kontrak yang terlibat tidak perlu dibuang tetapi penggunaan sumber manusia perlu disusun atau dinilai semula dengan menempatkan mereka-mereka ini di kementerian atau agensi yang kritikal,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Advertisements

Adnan menambah, usaha ini bukan sahaja mengurangkan kadar pengangguran, malah membolehkan kementerian dan agensi yang kritikal dapat berfungsi dengan lebih baik bagi membantu kerajaan menjayakan pakej-pakej rangsangan menjana semula ekonomi negara.

“Apatah lagi negara ketika ini telah memasuki tempoh perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), maka wajarlah kontrak mereka disambung semula bagi membantu kerajaan memberikan mutu perkhidmatan yang baik kepada rakyat serta melaksanakan pelan pemulihan ekonomi negara,” jelasnya.

Beliau memberitahu, pekerja kontrak juga adalah penjawat awam dan rata-rata mereka ada yang telah berkhidmat selama lima hingga 10 tahun.

“Sepanjang perkhidmatan pelbagai peranan dan jasa telah dicurahkan untuk agensi tertentu, jadi tidak salah jika kontrak mereka disambung lagi,” ujarnya.

Sehubungan itu, CUEPACS berharap kerajaan tidak menjadikan pekerja kontrak sebagai mangsa selepas ramai kehilangan pekerjaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan