31.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Mahathir ‘peluru ampuh’ DAP untuk kembali berkuasa

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

DALAM satu klip video ceramah seorang pemimpin DAP, beliau secara terbuka menyatakan kenapa parti itu menerima Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk bergabung dalam Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Melalui klip yang boleh ditonton di saluran Youtube itu, antara lain pemimpin DAP tersebut berkata, “Kita jadi pembangkang selama 52 tahun, dah bosan dah. Mengapa kita yakin akan menang. Pas punya Hadi ke sana. UMNO punya Mahathir pula datang sini.

“Kalau Mahathir tak datang sini, Hadi pulak pergi ke sana, PRU kali ini kita tak payah bertanding. Mesti jadi pembangkang lagi. Perak pun kita tak dapat, apatah lagi Putrajaya. Tapi disebabkan UMNO berpecah. Datang pula seekor kuda (Mahathir). Kal ini kita ada seekor kuda, kuda ini dah datang. Pas Hadi ke UMNO untuk jadi kawan, ialah lawan kita.

“Sekarang kita berkawan dengan Mahathir adalah untuk melawan musuh yang sama, musuh itu ialah Najib. Saya tak cakap Mahathir itu orang baik. Yang belajar sejarah kita tahu macam mana nak nilai politician macam Mahathir ni. Mahathir semestinya bukan orang yang baik.”

Walaupun ucapan ini tersebar pada April 2018, tetapi ia masih relevan sehingga ke hari ini kerana Mahathir masih setia berkawan dengan DAP.

Malah demi sayangnya kepada DAP, Mahathir tergamak mengatakan ramai orang Melayu bacul kerana takutkan parti itu.

Malah Mahathir juga sanggup ‘berperang’ dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila Perdana Menteri membuat keputusan membawa Bersatu keluar daripada PH kerana tidak mahu bekerjasama dengan DAP.
Justeru Mahathir bagaikan pembela tegar kepada DAP.

Perasaan benci beliau kepada UMNO khususnya Datuk Seri Najib Tun Razak seolah-olah tiada penghujungnya sehinggakan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat pemimpin-pemimpin Armada pun dikaitkan dengan Najib walaupun Ahli Parlimen Pekan itu tidak ada apa-apa kuasa sama ada dalam parti mahupun kerajaan.

Turut menjadi sasaran kemarahan Mahathir ialah Muhyiddin yang membentuk kerajaan bersama UMNO dan Pas.

Sikap Mahathir itu sudah tentulah menguntungkan DAP sebab itulah parti itu mahu Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim bekerjasama melawan Muhyiddin dan Najib.

DAP masih melihat Mahathir mempunyai pengaruh untuk meraih sokongan rakyat khususnya orang Melayu, oleh itu sementara mereka mengekalkan hubungan dengan Anwar tetapi DAP mahu Mahathir bersama mereka.

Dari segi faktor umur, mereka memahami Mahathir sudah tidak ada kekuatan lagi sama ada dari segi fizikal atau mental untuk sekali lagi menjadi Perdana Menteri.

Kalau diteliti klip video yang dinyatakan, pemimpin DAP berkenaan tanpa rasa bersalah “memperolok-olokkan” usia Mahathir tetapi pada masa sama menegaskan, “Sebab itu bila Mahathir nak jadi kawan kamu boleh tolong kamu dapatkan undi Melayu. Kita mestilah senyum, takkan nak marah Mahathir lagi.”

DAP sebenarnya tidak yakin dengan kemampuan Anwar untuk mengemudi PH kembali berkuasa. Sebab itulah mereka mahu terus ‘memperalatkan’ pengaruh Mahathir.

Lagipun mereka tahu kalau pun nanti Mahathir menjadi Perdana Menteri, beliau tidak ada kekuatan kerana di tangannya ada lima sahaja kerusi Parlimen.

Namun Mahathir tidak peduli semua itu dan apakah mungkin misi Mahathir bukan sekadar mahu menumbangkan Muhyiddin dan menyerang Najib tetapi juga mahu menghalang Anwar daripada menjadi Perdana Menteri?

Ramai melihat dan membuat tafsiran Mahathir dilihat tidak ikhlas mahu melantik Anwar menggantikan beliau.

Kalau beliau betul-betul jujur mahukan Anwar sudah tentu beliau tidak akan membuat kenyataan baru-baru ini apabila membayangkan hasrat mahu menjadi Perdana Menteri buat kali ketiga “untuk beberapa bulan sebab umur saya sudah 94 tahun…”.

Walaupun mungkin akan ada pelan peralihan kuasa tetapi adakah ia ditunaikan? Adakah Anwar akan dikecewakan lagi?

Sama-sama kita lihat apa kesudahannya tetapi apa yang pasti politik kebencian Mahathir terhadap Muhyiddin dan Kerajaan PN serta pengaruh bekas Perdana Menteri itu diharapkan oleh DAP boleh menjadi ‘peluru ampuh’ untuk mereka.

Persoalannya, dalam usia 95 tahun, mampukah Mahathir menjadi pemimpin yang kuat dan menguasai sepenuhnya PH serta kerajaan jika pakatan itu kembali berkuasa?

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan