Tuesday, June 16, 2026

Anwar umum turun kadar sewa bazar Ramadan Putrajaya

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini mengumumkan penurunan kadar sewa lot bazar Ramadan dari RM1,000 kepada RM850 kepada penjaja dan peniaga kecil di bawah Perbadanan Putrajaya.

Anwar berkata, ia adalah sebagai inisiatif kerajaan bagi mengurangkan bebanan kumpulan itu yang terpaksa menanggung kos tambahan RM150 berbanding kadar sewa yang ditetapkan pada tahun-tahun sebelum ini.

“Saya dapati Perbadanan Putrajaya telah menaikkan kadar sewa bagi bazar Ramadan Putrajaya di Presint 3 kepada RM1,000 bagi setiap lot.

“Bagi membantu para penjaja dan peniaga kecil kos mengurangkan kos operasi, sukacitanya saya umumkan pengurangan kadar sewa ini kepada RM850 sebulan sebagaimana tahun-tahun sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Jualan Agro Rahmah Bazar Ramadan Presint 3, di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan Kerajaan akan meneruskan usaha mengawal harga barangan termasuklah mengurangkan pembabitan orang tengah.

Menurut beliau, harga boleh dikawal sekiranya orang tengah hanya mengambil keuntungan berpatutan sahaja.

“Apa yang penting kita lihat di jualan agro bazar ini harga sayur jauh lebih murah kerana tidak melalui orang tengah dengan keuntungan berlebihan,” katanya.

Jelas beliau lagi, penghapusan peranan orang tengah boleh dilaksanakan dengan cara mengadakan pasar-pasar tani atau projek-projek seperti jualan agro bazar yang diselenggarakan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk mengawal harga barang.

“Ada juga barangan yang diimport, itu tak dapat kawal, tetapi hasil dalam negeri boleh dikawal,” katanya.

Ujarnya, teori peranan orang tengah menyebabkan harga sesuatu barangan itu meningkat adalah apa yang pernah disebut oleh Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz pada tahun 1990-an lagi mengenai ‘penyelewengan dalam infrastruktur pemasaran’.

-EDISI9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan