KERAJAAN Negeri Perak hari ini mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri sebanyak RM700 kepada semua penjawat awam di negeri tersebut.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, insentif berkenaan akan disalurkan pada 17 April ini dan turut melibatkan kakitangan di bawah skim perkhidmatan kontrak dan kontrak perkhidmatan.
Ujar beliau, pemberian insentif tersebut secara tidak langsung dapat memberi manfaat kepada 7,892 penjawat awam di negeri itu.
“Penerima bantuan khas ini termasuklah Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT), guru i’dadi, guru thanawi, guru tadika Islam, Orang Besar Jajahan (OBJ) dan pegawai sambilan harian.
“Seperti tahun lalu, bantuan Khas Aidilfitri akan turut disalurkan kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dengan kadar RM500 seorang,” katanya hari ini.
Beberapa negeri lain turut mengumumkan BKK sempena Aidilfitri kepada penjawat awam yang berkhidmat di bawah kerajaan negeri berkenaan. – Edisi 9