BIARPUN gagal mempertahankan jawatan Naib Presiden pada Pemilihan UMNO kelmarin, Datuk Seri Mahdzir Khalid berikrar akan terus menabur khidmat bakti kepada UMNO.
Mahdzir berkata, beliau menerima dengan hati terbuka keputusan perwakilan UMNO bahagian seluruh negara yang memilih dua muka baharu bagi mengisi jawatan tersebut.
“Saya secara peribadi menerima dengan hati terbuka dan berlapang dada apabila perwakilan berhasrat memilih kepimpinan baharu di barisan Naib Presiden bagi membantu Presiden dan Timbalan Presiden khususnya dan UMNO secara amnya.
“Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada perwakilan yang telah mengundi saya pada kali ini”, katanya dalam kenyataan kepada hari ini.
Mahdzir menduduki kerusi Naib Presiden UMNO bagi penggal lalu selepas menerima undi daripada 125 Bahagian UMNO pada pemilihan 2018.
Pada Pemilihan UMNO penggal 2023-2026 yang berlangsung serentak di peringkat Bahagian UMNO di seluruh negara kelmarin, Mahdzir memperolehi 42 undi daripada keseluruhan 191 Bahagian UMNO.
Jawatan Naib Presiden UMNO dimenangi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Sementara itu, Mahdzir yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang Terap berkata, beliau menghormati setiap keputusan yang dibuat oleh perwakilan dalam proses pemilihan kali ini.
Mahdzir turut yakin UMNO akan kembali bangkit dan mampu menawan semula hati rakyat sejajar dengan proses pemilihan kepimpinan parti yang baru diselesaikan secara penuh demokrasi.
“Saya juga menyeru kepada semua saf kepimpinan baharu UMNO termasuk di peringkat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) serta seluruh ahli UMNO kekal bersatu padu dalam parti keramat ini.
“Saya akan meneruskan khidmat bakti saya kepada parti, ahli-ahli UMNO dan juga rakyat sebagai Ketua UMNO Bahagian Padang Terap dan juga membantu saf kepimpinan di peringkat UMNO Pusat,” ujarnya. – Edisi 9

