SERAMAI 30 warga kerja Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) turun padang menyertai program gotong-royong membersih dan mengecat semula rumah Pertubuhan Kebajikan Ehsan Ash-Shakur (Pekeas) di Bandar Tasik Puteri baru-baru ini.
Pengurus Komunikasi Korporatnya, Muhammad Sobree Zainal Abidin berkata, selain aktiviti gotong-royong, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu turut melibatkan pemberian sumbangan kepada 100 gelandangan di ibu kota.
Selain itu katanya, turut diedarkan bakul makanan kering kepada 50 asnaf yang melibatkan kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
“Kesemua aktiviti CSR yang akan dijalankan di bawah program ini memberi peluang kepada PKNS untuk berbakti kepada komuniti khususnya mereka yang tidak berkemampuan.
“Semoga Ramadan tahun ini lebih bermakna dan menambah keceriaan kepada mereka”, katanya menerusi kenyataan.
Program itu dianjurkan sempena Ramadan tahun ini menerusi Program Ramadan Kasih PKNS #Bersama Lebih Bahagia.
Gotong-royong itu turut mendapat kerjasama daripada Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Dalam pada itu, Muhammad Sobree berkata, anak-anak Pekeas seramai 40 orang berusia empat hingga 17 tahun itu akan turut ditaja membeli baju raya di Kompleks PKNS Shah Alam bagi persediaan menyambut Syawal
Katanya, mereka juga akan diraikan dalam majlis berbuka puasa bersama PKNS pada 7 April depan.
“PKNS turut menyumbang wang tunai sebanyak RM5,000 kepada Pekeas menerusi wang agihan zakat PKNS bagi menampung kos operasi pertubuhan tersebut,” ujarnya. – Edisi 9