27.2 C
Kuala Lumpur
Wednesday, October 9, 2024

Rosmah dibenar ke Singapura lawat cucu sakit

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

MAHKAMAH Rayuan hari ini memulangkan sementara pasport Datin Seri Rosmah Mansor yang ditahan berkaitan kes jenayah yang dihadapinya.

Pemulangan ini sekaligus membolehkan Rosmah ke luar negara selama enam minggu untuk melawat ahli keluarga termasuk seorang cucu yang sakit di Singapura.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Seri Kamaludin Md. Said membenarkan pasport itu dipulangkan sementara kepada isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bermula Khamis ini hingga 5 Mei ini.

Beliau yang bersidang bersama Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Datuk Azman Abdullah memerintahkan Rosmah memulangkan semula dokumen perjalanan antarabangsanya kepada mahkamah pada 10 Mei.

Terdahulu, peguam Datuk Jagjit Singh yang mewakili Rosmah memohon pasport dikembalikan sementara bagi membolehkan anak guam melawat anak perempuan, menantu dan dua cucu lelaki yang mana salah seorangnya yang kini tidak sihat.

“Rosmah akan ke Singapura pada 23 Mac dan pulang kembali ke negara ini pada 5 Mei. Anak guam akan meluangkan masa di negara itu selama enam minggu memandangkan ketika itu cuti Aidilfitri.

“Saya difahamkan pihak pendakwan tiada bantahan terhadap permohonan dibuat dan pasport dipulangkan seminggu selepas anak guam pulang dari Singapura,” katanya.

Susulan itu, Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn mengesahkan tidak membantah permohonan berkenaan.

Advertisements

“Saya mohon pasport Rosmah dipulangkan semula ke mahkamah pada 10 Mei ini,” katanya.

Pada 1 September 2022, Hakim Mohamed Zaini Mazlan mendapati Rosmah, 72, bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta

Hakim Mohamed Zaini (kini hakim Mahkamah Rayuan) memerintahkan Rosmah dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda itu.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya yang akan didengar di Mahkamah Rayuan pada 11 hingga 14 Julai ini.

Rosmah yang memfailkan petisyen rayuan pada 13 Oktober lalu, mengemukakan 127 alasan antaranya mendakwa keseluruhan keputusan Hakim Mohamed Zaini berat sebelah dan tidak berlandaskan pertimbangan betul.

Rosmah turut berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytihar pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Perbicaraan kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai dihadapi Rosmah ditetapkan selama 15 hari antara 12 Mei dan 8 September ini. 

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Visa Perubatan: Imigresen beri kerjasama penuh siasatan EAIC

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) akan memberi kerjasama penuh berhubung siasatan yang dilakukan oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) ke...

Lagi Artikel Berkaitan