30.7 C
Kuala Lumpur
Monday, April 29, 2024

Mahkamah tetapkan 1 Julai tahun depan rayuan Zuraida

Mesti Baca

MAHKAMAH Rayuan menetapkan 1 Julai tahun depan untuk mendengar rayuan bekas Naib Presiden PKR, Datuk Zuraida Kamaruddin bagi membatalkan perintah membayar RM10 juta kepada parti itu kerana berpaling tadah selepas memenangi kerusi parlimen Ampang buat kali ketiga pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Peguam Navpreet Singh, yang mewakili PKR selaku responden, mengesahkan tarikh perbicaraan di mahkamah rayuan pagi ini.

“Susulan pengurusan kes di Mahkamah Rayuan pada Isnin di hadapan timbalan pendaftar Mariam Hasamah Othman, pendengaran rayuan dijadualkan didengar oleh Mahkamah Rayuan pada 1 Julai 2024.

“Dalam pada itu, pihak-pihak berkaitan telah diarahkan untuk mengemukakan hujah bertulis masing-masing, yang akan difailkan sebelum perbicaraan,” kata Navpreet kepada Malaysiakini.

Zuraida membuat rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada 23 Jun lalu yang membenarkan tuntutan RM10 juta daripada PKR terhadap bekas menteri itu.

Hakim Akhtar Tahir turut memerintahkan bekas Ahli Parlimen Ampang itu membayar kos sebanyak RM50,000 kepada PKR.

Ketika perbicaraan pada 29 Mac, Setiausaha Agung PKR yang juga Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail memberi keterangan bahawa Zuraida memenangi kerusi Ampang kerana bertanding di bawah tiket parti itu dan bukan kerana kekuatan dirinya sendiri.

Advertisements

Pada 30 Mac, Zuraida memberi keterangan bahawa dia tidak mengetahui butiran bon RM10 juta itu kerana didakwa dipaksa menandatanganinya sebelum bertanding.

Zuraida, bersama 11 ahli Parlimen lain diketuai bekas timbalan presiden PKR Azmin Ali, meninggalkan parti itu pada Februari 2020 bagi menyokong Bersatu, Umno-BN dan GPS dalam membentuk Perikatan Nasional.

Kejadian yang digelar sebagai Langkah Sheraton itu membawa kepada kejatuhan pentadbiran Pakatan Harapan yang mendapat mandat untuk menjadi kerajaan melalui PRU ke-14.

Pada September tahun yang sama di hadapan Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, PKR memfailkan saman sivil untuk menuntut RM10 juta daripadanya kerana meninggalkan parti itu

Pada Mei tahun lalu, Zuraida meninggalkan Bersatu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM). Pada Disember tahun lalu, dia dan 10 ahli PBM lain dipecat berikutan pertelagahan dengan penyandang presiden Larry Sng.

Awal tahun ini, Zuraida dipilih sebagai timbalan presiden NGO Muafakat Nasional. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Mahkamah lulus permohonan bekas kakitangan Utusan Melayu

SELEPAS hampir lima tahun tiada sebarang berita mengembirakan buat bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang ditamatkan perkhidmatan selepas...

Lagi Artikel Berkaitan