JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya di beberapa tempat di Johor dan Pahang sehingga esok.
Katanya, antara kawasan yang dijangka mengalami fenomena tersebut adalah Rompin di Pahang, sementara tiga lagi kawasan adalah di Johor termasuk Segamat, Kluang dan Mersing.
Sementara itu, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk di lapan daerah di Johor seperti Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru serta di Pekan, Pahang.
Hujan berterusan tahap waspada dijangka berlaku di Pahang termasuk Maran, Kuantan dan Bera; Negeri Sembilan (Jempol dan Tampin) dan Melaka juga sehingga 5 Mac ini.
II) Hujan berterusan dijangka berlaku di negeri Sarawak: Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu (Sibu dan Kanowit) dan Mukah (Tanjung Manis, Daro dan Matu) sehingga Sabtu, 4 Mac 2023.
“Amaran hujan berterusan tahap bahaya dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan lebat berterusan dijangka berlaku dengan jumlah hujan melebihi 150 mm dalam tempoh 24 jam.
“Bagi amaran hujan berterusan tahap buruk pula dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan lebat berterusan dijangka berlaku dengan jumlah hujan melebihi 60 mm dalam tempoh 6 jam.
“Sementara amaran hujan berterusan tahap waspada dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan/ribut petir sedang/dijangka berlaku melebihi 6 jam dalam tempoh tersebut di sesuatu kawasan,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia memaklumkan akan melakukan pelepasan air di beberapa empangan di Johor mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Oleh itu, orang awam dimohon untuk sentiasa bersiapsiaga dan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pusat kawalan operasi banjir di daerah dan negeri. – Edisi 9

