Sunday, June 14, 2026

PRU15: Calon BN perlu jalani tapisan jabatan agama

Langkah itu kali pertama diperkenalkan dalam PRU kali ini kerana parti tidak mahu sebarang isu berbangkit membabitkan calon berkaitan dengan pejabat agama.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

CALON Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan turut menjalani saringan status mereka dengan pejabat agama.

Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semakan berkenaan adalah sebagai tambahan kepada saringan yang ditetapkan sebelum ini dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Insolvensi Malaysia.

Menurut beliau, langkah itu kali pertama diperkenalkan dalam PRU kali ini kerana parti tidak mahu sebarang isu berbangkit membabitkan calon berkaitan dengan pejabat agama.

“Kalau dulu kita tidak ‘check’ perkara ini, …kali ini kita akan periksa. Ini kita akan periksa status jika ada yang berkahwin di Siam atau ada kes tuntutan nafkah yang sudah ada keputusan di Mahkamah Syariah,” katanya dalam sidang media selepas Taklimat Khas PRU15 dan Monsun Timur Laut di Ibu Pejabat Polis di Bukit Aman, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai calon BN pada PRU15, Ismail Sabri berkata, proses saringan peringkat pertama sudah selesai dengan Pengerusi Perhubungan Negeri dan peringkat kedua oleh ‘top five’ selepas ini.

“Manifesto parti juga akan diumumkan tidak lama lagi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, tiada keperluan untuk tiga calon Perdana Menteri mewakili tiga gabungan utama parti untuk berdebat kerana ia tidak mendatangkan apa-apa hasil.

Malah menurut beliau, debat sebelum pilihan raya juga bukan budaya Malaysia dan tidak pernah dibuat sedemikian.

“Bukan budaya kita debat ini, tidak pernah dibuat dan dan tidak mendatangkan hasil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya diadakan debat terbuka tiga calon Perdana Menteri mewakili PH, Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) menjelang PRU15.

Anwar dalam Program Jelajah PH Pahang di Mentakab mencadangkan perkara itu supaya perbahasan itu perlu memberi tumpuan kepada soal dasar dan perancangan bukan berbentuk tuduhan serta dakwaan.

“Saya rasa tidak perlu berdebat sebelum pilihan raya lagi pun kita sibuk di kawasan masing-masing,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan